Majlis Gereja-gereja Sabah berkata cadangan Mais
mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka sediakan terjemahan rasmi Bible menghina
orang Kristian Sabah.
Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah Bishop
Melter Jiki Tais berkata cadangan Mais mencadangkan DBP menyediakan terjemahan
Bible rasmi bahasa Melayu menghina orang Kristian di Sabah.
“Kami sangat tersinggung dengan kenyataan peguam Mais,
Mohamed Haniff Khatri Abdulla, dan mahu beliau memohon maaf,” katanya.
Haniff dilaporkan membuat cadangan itu di mahkamah pada
Rabu, mengatakan DBP boleh membetulkan kesalahan yang didakwa dilakukan orang
Kristian apabila menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada Tuhan.
Beliau mendakwa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak
tersalah menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada “God” dalam bahasa
Malaysia, dan berkata mereka sepatutnya menggunakan “Tuhan”, yang tidak akan
mengurangkan hak mereka.
Haniff membuat cadangan itu kepada mahkamah di pendengaran tuntutan
oleh seorang Bumiputera penutur bahasa Melayu dari Sarawak yang beragama
Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, terhadap menteri dalam negeri dan
kerajaan supaya menegakkan hak perlembagaan beliau yang menurutnya dilanggar
oleh larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.
“Haniff harus tahu cadangannya itu mencerminkan kejahilan
mengenai teologi, dan tafsiran bahasa asal Bible yang betul dan baik.
“Haniff harus tahu kita masyarakat Kristian di Sabah sama
sekali tidak akan menerima Bible bahasa Malaysia yang disediakan DBP,” kata
Melter.
Majoriti penutur bahasa Melayu beragama Kristian di Sabah
dan Sarawak menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada Tuhan dalam
upacara dan penerbitan sebelum kedua-dua negeri menyertai pembentukan Malaysia
pada 1963.
Melter berkata majlis berpendirian tiada pihak boleh
tentukan bahasa yang boleh digunakan orang Kristian dalam menyatakan
kepercayaan mereka.
“Kita akan terus menggunakan kaliimah ‘Allah’
sebagai merujuk kepada Tuhan secara lisan atau bertulis hingga akhir zaman,”
katanya.
(Dipetik daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "TKM Sarawak: Sesiapa Pun Boleh Terjemah Bible, Kecuali Mais" yang ditulis oleh Nawar Firdaws dan Tracy Patrick bertarikh 16 November 2017)
(Dipetik daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "TKM Sarawak: Sesiapa Pun Boleh Terjemah Bible, Kecuali Mais" yang ditulis oleh Nawar Firdaws dan Tracy Patrick bertarikh 16 November 2017)