Uskup Melter Jiki Tais (Foto Free Malaysia Today) |
PORTAL berita berpangkalan di Sabah diminta memohon maaf dan
mengeluarkan "artikel rekaan" yang didakwa menggambarkan Uskup
Anglikan dan Kristian di Sabah sebagai penyokong Barisan Nasional (BN).
Uskup Anglican Sabah, Melter Jiki Tais memberikan portal
berita itu tempoh tiga hari untuk meminta maaf dan menarik balik artikel
bertajuk "Majlis gereja selar presiden Warisan politikkan agama
Kristian" dan akan mengambil tindakan undang-undang jika ia gagal berbuat
demikian.
Tempoh tiga hari itu akan berakhir esok.
Melter, yang juga ketua Majlis Gereja Sabah berkata artikel
itu merendahkan dan merosakkan reputasinya sebagai pemimpin agama yang tidak
partisan kepada mana-mana parti politik atau kumpulan.
Artikel itu membuatkannya dan gereja-gereja di Sabah
kelihatan memihak kepada BN.
Artikel itu diterbitkan pada Rabu selepas Melter dan
penganjur sambutan Kota Kinabalu (Gaya) Christmas mengadakan kunjungan hormat
kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman.
Lawatan itu adalah untuk memberi keterangan kepada ketua
menteri mengenai program Krismas gereja dan secara peribadi menjemputnya ke
sambutan Krismas.
"Selepas kunjungan hormat saya, saya tahu saya perlu
berhati-hati dengan apa yang saya katakan kepada media (menunggu di luar
pejabat ketua menteri).
"Saya tahu saya tidak pernah menyebut nama mana-mana
pemimpin politik atau nama mana-mana parti.
"Ini kerana gereja bukan politik. Saya hanya menyatakan
fakta lawatan kami," kata Melter kepada The Malaysian Insight.
Melter menambah beliau juga memberitahu wartawan yang
penganut Kristian di negeri ini menikmati kebebasan beragama dan tidak
mempunyai masalah di Sabah, walaupun menggunakan kalimah Allah.
"Semua media lain melaporkan dengan betul apa yang saya
katakan tetapi bukan portal berita ini," kata Melter.
"Mereka mengatakan apa yang tidak saya katakan dan
kemudian mereka beritakan.
"Saya tidak pernah mengulas apa-apa mengenai politik.
Walaupun selepas mendengar rakaman itu (wawancara media) tidak menyebut politik,
nama ahli politik atau parti politik," katanya.
Portal pro-BBN memuat naik artikel itu pada malam Rabu dan
penyokong siber BN dilaporkan menyebarkan pautan di media sosial.
Artikel itu melaporkan Melter sebagai "mengkritik sikap
pemimpin Warisan yang menggunakan agama untuk politik".
"Saya terkejut (dengan berita itu) apabila seseorang
menunjukkan kepada saya," kata Melter.
Beliau sangat "marah" dengan gambar yang
mengiringi artikel itu di mana gambar Presiden Warisan Shafie Apdal diletakkan
di atas gambarnya (Melter).
"Saya tidak tahu mengapa mereka mahu menyeret saya ke
dalam politik. Saya tidak begitu. "
Melter hari ini berkata, dia tidak pernah mendengar sebarang
berita daripada portal itu.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada portal
itu. – 24 November, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Uskup Sabah Minta Portal Tarik Balik Artikel Gambarkannya" yang ditulis oleh Desmond Davidson bertarikh 24 November 2017)