SUSANNA Liew, isteri Pastor Raymond Koh yang hilang secara
misteri berharap petunjuk terbaru diperolehi polis mengenai kehilangan suaminya
itu adalah tulen, kerana seluruh dunia sedang menyaksikan perkembangan terkini
kes itu.
Semalam, polis mengumumkan yang mereka sudah mendakwa
seorang suspek berkaitan penculikan itu setelah hampir setahun Koh hilang tanpa
jejak.
“Jika polis tidak mampu membuktikan petunjuk berkaitan
penculikan suami saya tulen, saya akan membawa persoalan berkaitan ini kepada
mereka sekali lagi dan saya akan meminta jawapan yang memuaskan.
“Ini adalah kerana saya adalah isteri Raymond dan berhak
tahu apa yang berlaku kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang pemandu sambilan, Lam Chang Nam dari Taman Sri
Ampang, Ipoh didakwa atas kesalahan menculik di Mahkamah Petaling Jaya Isnin
lalu.
Lam ditahan tahun lepas kerana cuba memeras ugut anak lelaki
Koh, Jonathan sebanyak RM30,000.
Liew berkata seperti semua orang, keluarga itu terkejut dengan perkembangan itu dan mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam pendakwaan suspek itu.
Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana dengan pendakwaan
Lam, siasatan awam dilakukan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)
berkaitan kehilangan Koh ditangguhkan serta merta kerana ia sudah menjadi
kes mahkamah.
“Saya sangat kecewa kerana polis memutuskan untuk mengambil
tindakan yang menganggu siasatan (Suhakam), dan mereka tak cuba pun untuk
maklumkan kepada saya dan anak-anak mengenai ‘perkembangan terbaru’ ini.
“Ini adalah gaya bekas Ketua Polis Negara (Khalid Abu Bakar)
tahun lepas, dan saya secara peribadinya berharap yang KPN baru (Fuzi Harun) ia
akan berubah menjadi lebih baik.
“Tetapi saya masih bersyukur yang sekurang-kurangnya saksi
utama sudah memberi keterangan dalam siasatan penculikan suami saya.
“Saya harap kes lain akan terus (disiasat) tanpa gangguan
atau campur tangan supaya kebenaran akan terdedah,” katanya.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang mengetuai siasatan
awam berkaitan kehilangan Koh menyatakan yang suruhanjaya menerima surat pada Isnin
memberitahu polis sudah menahan seorang suspek pada 12 Januari.
Suhakam memutuskan untuk menangguhkan siasatan awam selepas
mendapati polis sudah mendakwa Lam berkaitan kehilangan Koh.
Panel Suhakam itu diwujudkan bermatlamat untuk menyiasat
sama ada penculikan Koh serta tiga yang lain pada 2016 adalah kes kehilangan
paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Isteri Pastor Hilang Harap Petunjuk Terbaru Polis Tulen" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 17 Januari 2018)