Rabu, 7 Februari 2018

Balingan Yang Membawa Kemenangan


Quarterback Eagles, Nick Foles membuat balingan cantik, yang ditangkap kemas oleh Zach Ertz yang seterusmya membuat touchdown kemenangan dalam perlawanan Super Bowl ke-52 dua hari yang lepas. Dengan jaringan terakhir itu Philadelphia Eagles menang 41-33 ke atas New England Patriots. Kemenangan yang amat bermakna bagi Philadelphia Eagles yang pertama kalinya menjuarai Super Bowl.

Dalam American Football, balingan seorang quarterback amat penting sekali. Balingan yang tepat akan dapat membuka peluang kepada rakan sepasukan menerimanya dan membuat jaringan touchdown.

Sebagai seorang blogger, saya menyedari bahawa setiap penulisan saya adalah seperti satu balingan. Jika penulisan itu tepat, ianya dapat disambut dengan baik oleh pembaca dan membawa kemenangan dalam kehidupan.

Bagaimanakah saya dapat membuat balingan yang tepat yang dapat membantu rakan-rakan membuat tangkapan kemas lalu menjaringkan touchdown dalam hidup mereka?

Ketika merenungkan perkara ini, saya diingatkan akan pesanan Paulus kepada umat Kristian di Filipi. Dalam Filipi 4:8 (AVB), Paulus menggariskan lapan perkara yang harus difikirkan dan diberi tumpuan. Saya fikir 8 perkara ini juga menjadi ciri penting dalam menghasilkan penulisan yang baik, yang boleh membawa manfaat dan kemenangan bagi pembacanya.

Berikut adalah 8 perkara yang harus difikirkan dan dituliskan:

1) Apa sahaja yang benar

2) Apa sahaja yang mulia
 
3) Apa sahaja yang adil

4) Apa sahaja yang suci

5) Apa sahaja yang indah

6) Apa sahaja yang dipandang tinggi

7) Apa sahaja yang baik

8) Apa sahaja yang terpuji

Dengan kasih karunia Allah, itulah perkara-perkara yang akan saya tumpukan dan tuliskan dalam blog domba2domba. Dan berharap ianya akan menjadi penulisan yang tepat dan yang dapat disambut baik oleh pembaca sehingga membawa kemenangan dalam kehidupan peribadi dan pasukan umat Tuhan.