Ahad, 4 Mac 2018

Sokong KM Sarawak Selesai Isu Murtad - Juanda Jaya



Oleh Datuk Juanda Jaya, Timbalan Yang Di Pertua Majlis Islam Sarawak:

3 MAC — Ini adalah suatu langkah berani daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg untuk membetulkan keadaan yang tergantung selama ini.

Usaha ini adalah bagi mengelakkan ketegangan keadaan sedia ada bagi membolehkan jalan keluar dan penyelesaian bagi isu yang menghantui semua pihak di dalam negara kita dan di negeri Sarawak khususnya.

Langkah ketua menteri wajar dipuji kerana berani menyelesaikan isu yang paling sensitif dalam negara kita. Bahkan langkah ini sebenarnya telah dimulakan oleh dua ketua menteri Sarawak sebelum ini, Tun Taib Mahmud dan Tan Sri Adenan Satem.

2. Penyelesaian yang terbaik secara pentadbiran boleh dilakukan kerana isu utama permohonan mereka ini adalah untuk menghilangkan status agama Islam pada kad pengenalan mereka.

Tanpa perintah daripada Majlis Islam Sarawak atau Mahkamah Syariah Sarawak atau Jabatan Agama Islam Sarawak, maka Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak sukar untuk meluluskan permohonan permohonan ini.

3. Bagi menyelesaikan kemelut ini, isu emosi hendaklah diketepikan. Isu perpaduan dan keharmonian kehidupan beragama di dalam negara hendaklah dijadikan keutamaan.

Janganlah akibat perbuatan beberapa orang yang nakal ini maka keharmonian kehidupan beragama dalam negara kita menjadi korban.

4. Memang beban menyelesaikan kemelut ini berat. Namun dengan pemikiran yang waras dan melihat maslahat yang lebih besar yang dibenarkan oleh maqasid syariat, maka insya-Allah semua pihak akan menarik nafas lega apabila isu ini dapat dirungkaikan dan diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

5. Keputusan Mahkamah Persekutuan wajar dihormati dan dilaksanakan. Mahkamah Persekutuan telah menyatakan dengan tegas bahawa Mahkamah Syariah Sarawak memang mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan kemelut ini walaupun ia tidak dinyatakan secara jelas dalam teks undang undang.

Oleh itu beban bagi memutuskan kemelut ini sekarang berada di atas bahu Mahkamah Syariah Sarawak.

6. Saya menyeru semua pihak agar menyokong penuh usaha ketua menteri Sarawak bagi menyelesaikan kemelut yang menghantui semua pihak beragama di Sarawak pada masa ini. Buangkan buruk sangka. Buangkan niat buruk.

Fokuskan kepada usaha mengekalkan keharmonian kehidupan beragama yang telah wujud selama ini. Isu peribadi satu dua individu yang mempunyai masalah adalah tidak berbaloi untuk mengorbankan keharmonian kehidupan beragama yang telah dikecapi sejak ratusan tahun yang lalu.

* Datuk Juanda Jaya adalah wakil rakyat Jemoreng dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Islam Sarawak. Beliau juga mantan mufti Perlis.

(Diambil daripada ruangan Pendapat di Malay Mail Online yang bertajuk, "Sokong KM Sarawak Selesai Isu Murtad - Juanda Jaya" yang ditulis oleh Juanda Jaya bertarikh 3 Mac 2018)