Isnin, 7 Mei 2018

Laksanakan Ikrarmu Untuk Berkhidmat, Kata Biskop Besar Kepada Ahli-Ahli Politik


John Ha berkata adalah tugas ahli-ahli politik untuk berkhidmat bagi semua orang, termasuk mereka yang tidak mengundi mereka.

KUCHING: Biskop Besar emeritus John Ha telah mengingatkan ahli-ahli politik mengenai tanggungjawab mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat walaupun mereka tidak berjaya dalam pilihan raya.

"Apabila anda menawarkan diri sebagai calon, anda telah membuat ikrar yang bersungguh-sungguh untuk berkhidmat bagi rakyat dan negara. Adalah salah untuk berpatah balik dari ikrar itu apabila anda kalah," biskop Katolik dari diosis besar Kuching mengatakan dalam pesanan Ahadnya di St. Joseph Cathedral di sini.

Dia berkata ianya bukan penghujung jalan untuk calon-calon yang kalah sebab akan ada banyak lagi pilihan raya yang mereka boleh tandingi. Dia menambah bahawa mereka juga boleh berkhidmat dalam kedudukan lain dalam arena politik. 

Sementara itu, untuk para pemenang, Ha berkata adalah tugas mereka untuk berkhidmat bagi semua orang, termasuk mereka yang tidak mengundi mereka. 

"Adalah salah untuk mengabaikan mereka yang tidak menyokong anda, kerana politik haruslah inklusif bukan eksklusif. 

"'Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu.'" kata biskop besar emeritus itu sambil merujuk kepada teks Ahad yang diambil daripada Injil Yohanes. 

Dia berkata bahawa kerjaya politik adalah sesuatu panggilan yang tinggi dan ianya amat penting bagi seseorang yang memegang kuasa untuk memiliki rasa takut akan Tuhan pada setiap waktu. 

"Hanya dengan rahmat Tuhan, seseorang ahli politik akan berdiri teguh dan mendahulukan kepentingan negara dan rakyat."

Biskop besar emeritus itu juga menggesa umat Katolik agar turun berama-ramai pada 9 Mei, dengan berkata bahawa tidak mengundi bukanlah satu pilihan. 

Dengan mengatakan bahawa ini adalah "hak demokrasi yang luhur" mereka, dia memberitahu mereka untuk mengundi dengan hikmat, bertanggungjawab dan mengikut suara hati nurani yang bermoral.

"Dalam membuang undi, kita memilih bukan sahaja pemimpin-pemimpin negara kita tetapi juga hala tuju moral dan rohani negara tercinta kita," katanya. 

Dia juga memberitahu sidang jemaat untuk mengundi bagi calon-calon yang mempertahankan keadilan, integriti dan pemerintahan yang baik; yang takut pada Tuhan, yang mengasihi umat dan yang dapat melindungi kebebasan beragama.

(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Walk The Talk On Your Pledge To Serve, Archbishop Tells Politicians" yang ditulis oleh Francis Paul Siah bertarikh 7 Mei 2018)