Khamis, 31 Mei 2018

Polis Cawangan Khas Beritahu Saya Amri Dipukul Ketika Diculik, Kata Isteri



Isteri aktivis itu berkata pegawai Cawangan Khas Perlis bernama Shamzaini berani mendedahkan cerita sebenar kerana pemerintahan kerajaan sudah bertukar.

KUALA LUMPUR: Isteri aktivis Perlis, Norhayati Arifin memberitahu siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa suaminya ditangkap secara kasar, termasuk dipukul pihak polis.

Pendedahan Norhayati itu dibuat selepas seorang pegawai polis berpangkat sarjan bernama Shamzaini mendedahkan perkara itu kepada beliau pada malam 12 Mei lalu, jam 10.30 malam.

Norharyati berkata, Shamzaini yang juga pegawai Cawangan Khas Perlis memberitahu: “Dia (Sarjan Shamzaini) kata pegawai Bukit Aman guna cara kasar pukul Amri, pecahkan cermin kereta Amri, letak kereta di Bukit Cabang.

“Shamzaini kata sepatutnya cara betul yang perlu digunakan pihak polis adalah buat laporan setelah Amri diambil (bukan membuat cara kasar),” katanya sambil menambah sarjan itu berkata polis Bukit Aman tidak mengetahui adanya pengawal keselamatan di kawasan kereta Amri ditinggalkan.

Norhayati turut memaklumkan ketika beliau bertanyakan punca suaminya ditangkap, Shamzaini memberitahu ia mempunyai kaitan dengan aktiviti Syiah dan Forex (tukaran matawang asing).

Tambah Norhayati, ketika beliau bertanya kenapa pendedahkan sebenar itu baru dibuat kerana kes itu sudah lama berlaku, Shamzaini berkata tindakan itu dibuat kerana pemerintah kerajaan sudah bertukar.

“Pendedahan itu dibuat sekarang kerana Shamzaini menyatakan perasaan bersalah bagi anak bini makan dengan cara hasil kerja tak betul, dia tak mahu bersubahat dalam perkara itu, beliau maklumkan kepada ASP Razman Ramli, ketuanya yang ditugaskan memantau Amri (pada masa itu).

“Shamzaini berkata dia buat keputusan untuk bercakap tentang Amri kerana dia tidak mahu terlibat. Saya tanya lagi adakah dia pegawai polis pada masa itu, dia tunjukkan kad pengenalan polisnya dan kad pengenalan.

“Shamzaini turut memaklumkan pendedahan itu dibuat kerana keadaan sudah berubah, maksudnya dia berani dedahkan sebab kerajaan sudah bertukar, dan nama-nama orang atasan (pegawai kanan polis) sudah disebut, nama bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga disebut,” katanya merujuk kepada nama Khalid yang sudah diketahui umum terlibat dengan kehilangan Amri.

Beliau dimaklumkan Shamzaini bahawa ketua kepada kehilangan Amri ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Datuk Awaludin Jadid.

Norhayati berkata Shamzaini datang ke rumahnya pada 12 Mei untuk memberitahu perkara sebenar dalam keadaan takut.

“Pada malam itu, Shamzaini datang dalam keadaan takut-takut semasa tiba di rumah saya, dia berada di sebalik tiang, sebab dia takut orang nampak motor dia, kemudian saya minta dia masukkan motor dalam pagar rumah saya,” katanya sambil memaklumkan semasa Shamzaini memberi keterangan, beliau turut ditemani anak perempuannya.

Dalam keterangannya, Norhayati turut memaklumkan beliau diberitahu pasukan polis yang menangkap Amri adalah pasukan sama yang menangkap Pastor Raymond Koh, yang hilang sejak Februari tahun lalu.

“Saya tanya Shamzaini secara spontan adakah kes Amri sama dengan kehilangan Pastor Koh, dia kata, ya,” katanya sambil memberitahu Amri diambil pasukan Bukit Aman tanpa pengetahuan polis Perlis.

Norhayati turut diberitahu Shamzaini berkhidmat sebagai anggota polis selama 18 tahun.

Mac lalu, seorang saksi, Syed Amri Abdul Jalil yang dipanggil memberi keterangan dalam siasatan awam itu berkata beliau menyaksikan penculikan Amri.

Syed Amri memberitahu, Toyota Fortuner milik aktivis Perlis Hope itu dihentikan oleh 3 kenderaan pacuan 4 roda dan 2 buah kereta.

Amri, 43, hilang sejak 24 November 2016. Isterinya sebelum ini berkata 5 kenderaan menyekat keretanya sebelum beliau dibawa pergi kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Antara saksi yang disoal siasat ialah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, berikutan lawatannya ke rumah Amri yang diiringi polis dan pegawai dari Jabatan Mufti.

Asri berkata beliau ke rumah Amri untuk menyiasat “aduan” terhadap kecenderungan Amri terhadap Syiah, aliran yang dilabel “sesat” oleh pihak berkuasa Islam di Malaysia.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertaajuk, "Polis Cawangan Khas Beritahu Saya Amri Dipukul Ketika Diculik, Kata Isteri" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 30 Mei 2018)