Khamis, 31 Mei 2018

Pegawai SB Nafi Kenyataan Norhayati

Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin (kiri) dan isteri Pastor Koh, Susanna Liew
di siasatan awam Suhakam semalam.

KETERANGAN Norhayati Ariffin kepada panel siasatan Suhakam semalam mengenai penculikan suaminya, Amri Che Mat dinafikan pegawai cawangan khas (SB) yang membuat laporan polis semalam.

Ketua polis Sentul, Timbalan Komisioner R Munusamy yang menyoal balas Norhayati menunjukkan laporan polis kepadanya yang dibuat Sarjan Shamzaini Mohd Daud, menafikan semua yang diberitahunya kepada panel semalam.

Selepas membaca laporan itu, Norhayati memberitahu panel yang Shamzaini menyatakan tujuan dia melawat rumah Norhayati di Kangar, Perlis pada 12 Mei adalah untuk bertanya jika Shamzaini boleh menyewa rumahnya.

“Saya tak tahu apa-apa mengenai laporan ini,” katanya kepada panel siasatan.

Norhayati sebelum itu membuat laporan polis selepas bercakap dengan Shamzaini mendakwa pegawai SB itu memberitahunya polis terlibat dalam penculikan suaminya dan Pastor Raymond Koh.

Dia juga memberitahu panel mendakwa Shamzaini ada mengatakan dia berani tampil dengan maklumat itu kerana perubahan kerajaan yang berlaku.

Tetapi dalam sesi soal balas hari ini, Munusamy bertanya kepada Norhayati jika dia tahu semua maklumat diberikan Shamzaini adalah maklumat umum.

Norhayati membalas dia tidak tahu semua butiran.

“Adakah anda terima maklumat lain daripada Shamzaini sebelum membuat laporan polis pada 15 Mei?”

Norhayati membalas dia tidak pernah berjumpa atau bercakap dengan Shamzaini selepas 12 Mei.

Munusmany kemudian memberitahu panel siasatan ketika penculikan Amri pada November 2016, Shamzaini hanya melakukan kerja pentadbiran di Cawangan Khas.

“Dia melakukan kerja pentadbiran sehingga Januari 2018,” katanya.

Siasatan awam Suhakam dilakukan bagi menyiasat sama ada kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth adalah kes kehilangan paksa. – 31 Mei, 2018.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pegawai SB Nafi Kenyataan Norhayati" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 31 Mei 2018)