Khamis, 31 Mei 2018

Pegawai SB Nafi Beri Maklumat Kehilangan Amri, Kata Polis



KUALA LUMPUR: Pegawai Cawangan Khas (SB) yang dikatakan memberi maklumat tentang kehilangan Amri Che Mat kepada isterinya menafikan pernah berbuat demikian, menurut polis hari ini.

Ketua Polis Sentul, R Munusami memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa pegawai SB berkenaan, Sarjan Shamzaini Mohd Daud, ada membuat laporan polis menafikan dakwaan isteri aktivis itu, Norhayati Ariffin.

Semalam, Norhayati memberitahu panel siasatan Suhakam bahawa Shamzaini pada malam 12 Mei lepas memberitahunya Amri Che Mat diambil polis dari Bukit Aman.

“Ada puan tahu Sarjan Shamzaini membuat laporan polis menafikan memberi apa-apa maklumat tentang apa yang puan katakan dalam panel ini?” kata Munusami ketika menyoal Norhayati.

Isteri orang hilang itu menjawab dia tidak tahu tentang laporan polis itu.

Menurut Munusami, Shamzaini dalam laporannya menafikan keterangan Norhayati sebagai tidak benar, dan berkata dia pergi menemui isteri Amri pada malam itu untuk menyewa kedai milik keluarga Amri.

Munusami juga memberitahu Suhakam dan Norhayati bahawa Shamzaini tidak terlibat dalam operasi Cawangan Khas dari November 2016 hingga Januari 2018.

Amri dilaporkan hilang 24 November 2016.

“Adakah puan tahu dari November 2016 hingga Januari 2018 Shamzaini hanya bertugas di bahagian pentadbiran yang tidak melibatkan operasi?” kata Munusami.

Norhayati berkata Shamzaini malam itu hanya memberitahu yang dia seorang pegawai SB Perlis.

Tak bincang sewa kedai

Sementara itu, anak kedua Amri, Noramira memberitahu Suhakam pada malam itu Shamzaini tidak membincangkan langsung soal mahu menyewa kedai milik keluarganya.

Noramira tampil memberi keterangan kerana dia bersama Norhayati dan Shamzaini pada malam kejadian.

Semalam, Norhayati, berdasarkan maklumat yang didakwa didedahkan Shamzaini, memberitahu Suhakam bahawa Amri diambil polis dari Bukit Aman secara kasar, termasuk dipukul.

“Dia kata pegawai Bukit Aman guna cara kasar pukul Amri, pecahkan cermin kereta Amri, letak kereta di Bukit Cabang,” katanya.

Menurut Norhayati, Shamzaini memberitahu penangkapan Amri mempunyai kaitan dengan aktiviti Syiah dan tukaran mata wang asing.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pegawai SB Nafi Beri Maklumat Kehilangan Amri, Kata Polis" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 31 Mei 2018)