Selasa, 12 Jun 2018

Isteri 2 Aktivis Hilang Rayu Bantuan Perdana Menteri



PETALING JAYA: Isteri kepada 2 aktivis yang hilang merayu Tun Dr Mahathir Mohamad membantu mengesan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh yang hilang lebih setahun lalu.

Ia selepas dakwaan seorang pegawai Cawangan Khas di Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud yang suami mereka ditahan sepasukan polis sama atas alasan Syiah dan memurtadkan umat Islam.

Susanna Liew dan Norhayati Ariffin dalam surat terbuka kepada perdana menteri hari ini berkata, mereka sedar cabaran yang dihadapi kerajaan baru pimpinan Dr Mahathir selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Akan tetapi, kerajaan Tun ialah kerajaan berkuasa hari ini: apa-apa kelewatan menangani isu ini mungkin boleh ditafsirkan oleh pihak luar dan dalam negara sebagai suatu pelanggaran kedaulatan undang-undang dan suatu penafian hak asasi suami kami diberi perlindungan di bawah undang-undang tersebut.”

Amri yang juga pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016. Norhayati dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Koh, 62, pula yang dalam perjalanan ke rumah rakannya, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya, pada 13 Februari 2017.

Rakaman kamera litar tertutup dari sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam insiden siang hari itu.

Norhayati dan Liew merayu pihak berkuasa memberi imuniti kepada Shamzaini untuk bercakap kepada penyiasat bebas dan Jabatan Peguam Negara menyediakan ruang selamat kepada pemberi maklumat membuat pendedahan mengenai kehilangan Amri serta Koh.

Norhayati membuat laporan polis pada 15 Mei lalu dan menulis surat kepada menteri dalam negeri mengenai perkara itu, manakala Liew mengarahkan peguamnya menulis surat permohonan meminta ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor memaklumkan perkembangan kes suaminya.

Namun, sehingga kini, tiada maklum balas daripada pihak berkaitan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Isteri 2 Aktivis Hilang Rayu Bantuan PM" bertarikh 12 Jun 2018)