Isnin, 23 Julai 2018

Muslim Mengikut Yesus? Tapi Yesus Yang Mana?


Baru-baru ini beberapa orang Muslim telah kelihatan memakai baju T dengan tulisan yang menarik perhatian, "I am a Muslim, and I follow Jesus. Ask me why?" (Saya Muslim, dan saya ikut Yesus. Tanya saya kenapa?). Mereka sedang menjalankan dakwah di jalanan berdekatan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Untuk menguatkan dakwaan mereka, mereka juga mengedarkan Al-Quran dan juga buku, Jesus: Man, Messenger, Messiah yang ditulis oleh Abu Zakariya.


Buku itu diterbitkan oleh IERA (Islamic Education and Research Academy, UK), sebuah kumpulan dakwah Islamiah yang diasaskan oleh Abdur Raheem Green. Dakwah jalanan ini adalah sebahagian daripada inisiatif dakwah yang juga termasuk pameran "Jesus, Son of Mary Exhibition" yang diadakan pada 26 Februari 2018 di Kelab Golf Selangor, Petaling Jaya.

Berikut adalah link video menunjukkan salah satu perbualan mereka dengan seorang pemuda Kristian yang kelihatan mengalami kerumitan menjawab soalan-soalan mereka mengenai Tritunggal dan keilahian Yesus.



Secara jujur, dapatkah pemuda-pemudi dari gereja anda menjawab dengan lebih baik? Sedihnya, terlalu sering orang-orang Kristian tidak mampu menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh pendakwah-pendakwah Muslim. Itu adalah salah satu akibat yang terjadi apabila gereja-gereja di Lembah Kelang gagal meletakkan dasar iman anak-anak muda Kristian dengan memberi pengajaran mengenai Alkitab dan doktrin secara sistematik.

Mungkin anda boleh lakukan dengan lebih baik sebagai seorang pemimpin gereja. Marilah kita lihat.

Mari kita ambil kapsyen, "I am a Muslim, and I follow Jesus. Ask me why?" seperti yang tertulis. Tetapi untuk lebih jelas, saya ingin menanya kawan Muslim saya, "Yesus yang mana anda ikuti?" Iaitu, "Adakah ini Yesus yang merupakan wahyu Allah yang terakhir dan yang sempurna, yang menjalankan kehidupan tanpa dosa dan mati di salib untuk menyelamatkan orang-orang berdosa dari penghukuman Allah, yang kebangkitan-Nya dari maut memberikan bukti yang tidak dapat disangkal bahawa dia sepenuhnya Allah dan sepenuhnya manusia?"

Apa pun yang didakwa oleh kapsyen yang menarik perhatian itu, kita boleh membuat kesimpulan daripada buku itu bahawa Yesus yang disampaikan oleh pendakwah-pendakwah Muslim itu bukanlah Yesus dari Alkitab. Dengan lebih jelas, saya ingin menanya pendakwah-pendakwah Muslim ini, "Anda kata anda mengikuti Yesus. Baiklah begitu. Adakah anda menerima-Nya sebagai Tuhan dan Juruselamat untuk dosa-dosa anda dan memberi penyembahan yang selayaknya kepada-Nya yang adalah sepenuhnya Allah dan sepenuhnya manusia? Jika jawaban anda adalah tidak, saya hanya dapat membuat kesimpulan bahawa dakwaan anda mengikuti Yesus adalah tidak jujur, kalau bukan menipu daya."

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Krisis & Praxis bertajuk, "Muslims Following Jesus, But Which Jesus?" yang dituliskan oleh Ng Kam Weng bertarikh 16 Julai 2018)