Rabu, 25 Julai 2018

Pegawai SB Buat Laporan Terhadap Isteri Amri Kerana Takut Kepada Polis

Pegawai SB, Mohd Shamzaini Mohd Daud

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis yang terbabit dalam kes kehilangan Amri Che Mat membuat laporan terhadap isteri aktivis Perlis itu kerana takut kepada rakan sekerja dalam pasukan keselamatan itu.

Pegawai Cawangan Khas (SB) di Perlis, Sarjan Mohd Shamzaini Mohd Daud berkata, beliau tertekan selepas mendapat tahu Norhayati Ariffin mendakwa beliau mendedahkan sepasukan polis dari Bukit Aman menculik suaminya dalam pertemuan mereka pada 12 Mei lalu.

Katanya, beliau membuat laporan polis pada 18 Mei untuk menyangkal dakwaan Norhayati, 2 hari selepas isteri Amri membuat laporan polis terhadapnya.

“Macam-macam persepsi orang terhadap saya, sebab itu saya tertekan dan membuat laporan polis,” katanya kepada panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dipengerusikan Datuk Mah Weng Kwai bagi menyiasat kehilangan Amri pada November 2016.

Shamzaini bagaimanapun tidak mendedahkan sebab beliau takut kepada polis.

Katanya, beliau tidak membuat laporan polis selepas Norhayati berbuat demikian pada 16 Mei lalu kerana kesian terhadapnya selepas pertemuan mereka pada 12 Mei.

“Saya kesian pada dia dan dia tertekan…saya faham keadaan dia sedang beremosi.”

Beliau mengulangi kenyataannya pada 6 Julai lalu yang pertemuannya dengan Norhayati bertujuan membincangkan penyewaan sebuah kedai milik Norhayati untuk memulakan perniagaan membaiki kereta.

“Bagaimanapun, tak ada perbincangan mengenai sewa kedai terbabit, sebaliknya perbincangan berkaitan kes penculikan Amri,” katanya sambil menambah Norhayati turut mendesaknya memberitahu maklumat mengenai kehilangan Amri, tetapi beliau tidak mempunyai butiran berhubung kes itu.

Amri hilang sejak 24 November 2016 dan saksi kejadian memberitahu panel inkuiri Suhakam, mereka ternampak beberapa lelaki mencurigakan memintas kenderaan Amri pada malam itu dan Toyota Fortunernya ditemui kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Pada 30 Mei lalu, Norhayati memberitahu panel inkuiri Suhakam yang Shamzaini memberitahu beliau, suaminya ditahan sepasukan polis dari Bukit Aman pada November 2016 atas alasan Syiah.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy memberitahu panel inkuiri Suhakam yang Shamzaini membuat laporan polis menafikan pernah membuat pendedahan mengejutkan itu dan dakwaan Norhayati tidak benar.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pegawai SB Buat Laporan Terhadap Isteri Amri Kerana Takut Kepada Polis" yang ditulis oleh Khairil Ashraf bertarikh 24 Julai 2018)