Selasa, 10 Julai 2018

Pujian Penyembahan Dan Doa Untuk Pasukan Bola Sepak Yang Terperangkap Dalam Gua Di Negara Thai


Chiang Rai, Negara Thai - Usaha penyelamatan untuk ahli-ahli pasukan bola sepak yang terperangkap dalam gua Tham Luang di sini masih diteruskan. Setakat ini lapan daripada pelajar-pelajar itu telah berjaya diselamatkan. Tinggal lagi empat pelajar dan jurulatih mereka yang menanti usaha penyelamatan oleh pakar-pakar terjun dari pasukan penyelamat.

Pagi tadi saya melihat sebuah video dari negara Thai bagaimana orang-orang Kristian menyanyi dan berdoa untuk campur tangan Tuhan dalam pencarian dan penyelamatan ahli-ahli pasukan bola sepak dan jurulatih mereka. Video itu telah dimuatkan di Facebook oleh keluarga misionari Witmers pada 29 Jun 2018. 


Berikut catitan The Witmers in Thailand:

Pencarian masih berjalan di sini di negara Thai untuk pasukan bola sepak yang terperangkap dalam gua. Usaha-usaha penyelamatan telah dihalang oleh keadaan banjir. Saya mendapat tahu hari ini bahawa ramai daripada pengikut Buddhisme dan animisme percaya ini terjadi kerana ada satu roh yang tinggal dalam gua itu yang tidak senang dengan pasukan itu. Mereka berfikir pasukan itu telah tidak menghormati roh itu dengan satu cara atau lain, mungkin dengan tidak memberikan persembahan makanan dan barangan lain yang sepatutnya. 

Sementara itu, salah satu daripada remaja yang kehilangan itu datang dari keluarga Kristian dari suku kaum Lahu. Orang-orang Kristian yang lain sedang berkumpul bersama keluarga ini, dan mereka sedang menyanyi, menyembah dan berdoa sambil mereka menunggu, bukan sahaja menggalakkan keluarga itu tetapi juga memberikan kesaksian kepada orang-orang lain di sekeliling mereka. 

Video ini adalah klip daripada salah satu waktu penyembahan dan doa mereka. Wanita berbaju putih dalam video itu adalah ibu kepada salah satu daripada remaja yang kehilangan. Tolong terus doakan seluruh keadaan ini, dan semoga kebesaran Tuhan kita dinyatakan di negara Thai.

Pasukan bola sepak yang terperangkap dalam gua di Chiang Rai, Negara Thai

Laporan CNN bertarikh 8 Julai mengenai penyelamatan pasukan bola sepak di gua Thai

(Diterjemahkan daripada catitan Facebook The Witmers in Thailand bertarikh 29 Jun 2018)

Berita Terkini 10 Julai 2018 (8.26 malam) - Kesemua 12 remaja dan jurulatih mereka telah berjaya diselamatkan!