Sabtu, 8 September 2018

Mereka Datang... Dan Mereka Bina Sekolah-Sekolah Mubaligh

Penang Free School

Misionari-misionari Anglikan adalah yang pertama memulakan sekolah mubaligh di Malaysia. Pada 1816, Rev Robert Hutchings telah membuka Penang Free School. Ianya kemudian telah diserahkan untuk ditadbir oleh kerajaan.

Di Sarawak, misionari Anglikan, Rev Francis Thomas McDougall dan isterinya telah mengasaskan St Thomas School di Kuching pada 1848.

St Thomas School, Kuching

Seterusnya, misi Katolik datang dan menubuhkan St Xavier Institution (Menengah) dan St Xavier School (Rendah) melalui La Salle Brothers di Pulau Pinang pada 1852. 

St Xavier Institution, Pulau Pinang

Di sebelah Sabah, misionari-misionari Katolik telah membuka sekolah rendah pertama mereka pada 1883 - Sekolah Rendah St Mary di Sandakan.

Sesungguhnya, majoriti daripada sekolah-sekolah mubaligh yang kita lihat hari ini adalah yang telah ditubuhkan oleh lembaga misi Katolik. Umpamanya, Convent Light Street di Pulau Pinang, St John Institution di Kuala Lumpur, St Paul di Seremban dan banyak lagi.

St John Institution, Kuala Lumpur

Sekolah-sekolah mubaligh Methodis telah bermula pada 1880an apabila Rev William F. Oldham memulakan Anglo-Chinese School di Singapura pada 1 Mac 1886. Lima tahun kemudian, Anglo-Chinese School telah dimulakan di Pulau Pinang.

Sekolah-sekolah mubaligh juga telah ditubuhkan oleh Gereja Presbyterian, Gereja Brethren dan Borneo Evangelical Mission (BEM).

Pada waktu kini terdapat 201 sekolah mubaligh di Semenanjung Malaysia dan 227 di Sabah dan Sarawak, dengan jumlah keseluruhannya 428 sekolah. Daripada jumlah itu, 305 adalah sekolah rendah dan 123 adalah sekolah menengah.