Sabtu, 8 September 2018

Sekolah-Sekolah Mubaligh Menghadapi Masalah Kerana Peruntukan Dari Kerajaan Tidak Mencukupi


Pada bulan lepas, salah satu sekolah mubaligh tertua di negara ini bergelap selama dua jam apabila bekalan elektriknya telah diputuskan kerana tidak membayar bilnya.

St John Institution yang berusia 114 tahun telah mengumpulkan bil dengan jumlah mengejutkan RM245,348.54 dan terpaksa mendapatkan derma daripada orang-orang awam untuk menyelesaikan jumlah itu. Pada waktu ini, jumlah yang masih belum diselesaikan adalah RM78,000.

Telah dilaporkan bahawa kos operasi bulanan di St John adalah RM20,000, yang mana RM13,000 daripada itu adalah untuk bekalan elektrik. 

St John tidaklah sendirian, kebanyakan sekolah-sekolah mubaligh sedang bergelut dengan kos operasi yang tinggi. Dan apabila sekolah-sekolah itu juga merupakan sekolah warisan bersejarah seperti St John, jumlah wang untuk menjaga dan memperbaiki bangunan-bangunannya adalah lebih tinggi lagi.

Foto keratan akhbar The Star (7 Sep 2018)

Alumni St John (bekas pelajar-pelajar St John) telah dengan cepat tampil untuk membantu sekolah mereka tetapi terdapat beratus sekolah-sekolah mubaligh di sekeliling negara dalam keadaan yang teruk dan tidak mempunyai sumber atau alumni yang kaya untuk memberi pertolongan.

Sebagai contohnya, Sekolah Rendah St John dan SMK La Salle Sentul telah mengumpulkan bil dengan jumlah mengejutkan RM155,651 dan RM85,000 masing-masing untuk caj Indah Water Konsortium sahaja. 

Bil-bil utiliti SMK Convent Bukit Nanas di Kuala Lumpur mencapai RM90,000 setahun manakala SK Convent (1) Bukit Nanas perlu membayar sekitar RM70,000 setahun.

Ini baru sebahagian kecil daripada masalahnya

SJK (T) St Joseph masih menggunakan bangunan lama ini yang dibina pada 1924
(Foto-foto: Low Lay Phon & Low Boon Tat / The Star)

Bil-bil utiliti yang tinggi menggunung itu bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi sekolah-sekolah. Kebanyakan sekolah-sekolah mubaligh menghadapi pelbagai jenis masalah, dari kekurangan kemudahan, pintu-pintu, meja-meja dan kerusi-kerusi yang rosak, atap-atap bocor, keretakan dan keadaan sesak.

Sekolah-sekolah mubaligh dibantu oleh kerajaan tetapi mereka perlu membayar untuk penjagaan dan pembaikan bangunan serta bil-bil utiliti.

Keadaan yang dihadapi oleh St John juga sedang berlaku di sekolah-sekolah mubaligh lain kerana jurang perbezaan dalam peruntukan dana oleh Kerajaan.  

Dinding tembok SMK La Salle Sentul belum dibaiki kerana sekolah tidak mempunyai dana

"Amalan sekarang bersifat diskriminasi," kata pengerusi lembaga pentadbir St John, Megat Mizan Nicholas Denney.

"Kelihatannya tidak adil bahawa bil-bil utiliti sekolah-sekolah kebangsaan dibayar sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan, manakala sekolah-sekolah mubaligh, yang dikelaskan sebagai sekolah bantuan kerajaan, hanya menerima satu sumbangan dana yang langsung tidak mencukupi untuk membayar bil-bil utiliti bulanan." 

Megat Mizan berkata jumlah sumbangan dana itu berbeza dari sekolah ke sekolah, dan merupakan pembayaran satu kali yang boleh digunakan untuk memasang wayar, menghapuskan haiwan perosak dan untuk mempertingkatkan kemudahan sekolah.   

"Tapak dan bangunan sekolah adalah milik sekolah-sekolah mubaligh,

SK La Salle (2) Jinjang terpaksa menggunakan kontena perkapalan

"Cukai tanah untuk tapak sekolah dibayar oleh pemilik-pemilik sekolah mubaligh," kata penyelaras La Salle Brothers Malaysia, Brother Andrew Loke.

"Tetapi selain tapak dan bangunan, kerajaan berkuasa atas seluruh aspek sekolah-sekolah mubaligh termasuk kurikulum, pengambilan pelajar, guru dan perlantikan guru besar."

Adalah wajar kerajaan membuat pembayaran untuk utiliti, penjagaan dan penaikan taraf sekolah-sekolah mubaligh, tambahnya.

"Sekolah-sekolah mubaligh terasa seperti anak-anak tiri yang tidak dikehendaki," kata bekas pelajar Infant Jesus Convent Light Street Pulau Pinang, Ho Chee Kit.

Ho, yang juga merupakan penasihat kepada Provincial Infant Jesus Sisters, menambah bahawa kelihatannya seperti usaha-usaha yang mereka lakukan untuk mendidik generasi akan datang tidak dihargai.

Longkang-longkang yang rosak adalah perkara biasa di sekolah-sekolah mubaligh

Hidup kais pagi makan pagi

Sebahagian daripada dinding tembok SMK La Salle Sentul yang berusia 70 tahun telah runtuh tetapi sekolah tidak mempunyai wang untuk memperbaikinya yang mungkin memerlukan perbelanjaan sebanyak RM100,000. 

Bro Loke berkata seperti kebanyakan sekolah-sekolah mubaligh lain, SMK La Salle berkekurangan dari segi kemudahan.

"Saya dimaklumkan bahawa pengurusan sekolah menggunakan meja-meja dari kantin untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup," katanya.

Padang hoki dan gelanggang futsal sekolah tidak terjaga dan juga dalam keadaan yang teruk.

Sekolah-sekolah mubaligh memerlukan meja-meja dan kerusi-kerusi baharu

La Salle Sentul tidak mempunyai dana untuk memberi penjagaan kepada gelanggang itu kerana wang diperlukan untuk membayar bil Indah Water sebanyak RM85,000. 

Bil-bil utiliti bulanan sekolah itu boleh mencapai RM10,000.

Berhampiran sekolah itu, pelajar-pelajar SJK (T) St Joseph di Sentul belajar dalam keadaan yang sesak. Sekolah itu mempunyai 150 pelajar.

Setiap sudut dan ruang telah digunakan, namun St Joseph, yang telah dibina pada 1924, tidak mempunyai kantin, padang, perpustakaan, makmal sains atau bilik komputer.

Pelajar-pelajarnya duduk di bawah pokok semasa waktu rehat, dan mengunakan tepi jalan raya untuk aktiviti-aktiviti sukan.

Foo menunjukkan pintu besi yang sudah bengkok di La Salle (2) Jinjang

Di SK La Salle (2) Jinjang yang berusia 60 tahun, bangunan sekolahnya yang tua semakin menjadi rosak. 

Pintu-pintu besi sudah bengkok dan tergantung pada engselnya, terdapat lubang-lubang di silingnya, dindingnya perlu dicat semula dan kekurangan ruang menyebabkan pelajar-pelajarnya terpaksa menggunakan kontena perkapalan.

Megan Mizan berkata kerajaan mempunyai
tanggungjawab untuk mebayar bil-bil
utiliti sekolah-sekolah mubaligh

"Kami perlukan lebih banyak bilik darjah, sebuah makmal sains, bilik muzik, klinik pergigian, bilik mesyuarat dan bilik stor," kata anggota lembaga pengurus La Salle Jinjang, David Foo.

"La Salle Jinjang adalah satu-satunya sekolah rendah kebangsaan di kawasan ini dan populasi penduduk telah meningkat kerana beberapa Projek Perumahan Rakyat di sini."

Jumlah wang yang diberikan kerajaan
kepada sekolah-sekolah mubaligh
tidak mencukupi, kata Loke

Megat Mizan berkata guru besar dan guru-guru enggan dipindahkan ke sekolah-sekolah mubaligh kerana mereka tidak ingin terbeban dengan masalah mencari dana untuk membayar bil. 

"Itu tidak adil bagi mereka ataupun pelajar-pelajar sebab mereka seharusnya memberikan tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran dan bukannya pengumpulan dana," tambahnya.

Kurang sokongan

Sumbangan dana yang diberikan kepada sekolah-sekolah mubaligh telah semakin berkurang pada tahun-tahun yang lalu. 

Bro Loke berkata jumlah RM100 juta yang telah diperuntukkan untuk sekolah-sekolah mubaligh di negara ini pada 2012 telah dikurangkan menjadi RM50 juta pada tahun berikutnya. Menjelang 2016, jumlahnya hanyalah RM16.5 juta.

Pada tahun ini jumlahnya RM50 juta, tetapi sesetengah sekolah mendapat RM50,000 setahun dan yang lain-lain mendapat RM30,000. Sekolah-sekolah kecil di kawasan pedalaman memerlukan lebih banyak dana."

Terdapat 428 sekolah mubaligh di negara ini, yang terdiri daripada 305 sekolah rendah dan 123 sekolah menengah.

Pelajar-pelajar SJK (T) St Joseph terpaksa menggunakan ruangan yang terhad

Di Semenanjung Malaysia, terdapat 201 sekolah, dengan 26 sekolah di Selangor dan 34 di Kuala Lumpur. 

(Di Sabah dan Sarawak, paling banyak sekolah mubaligh iaitu sebanyak 227 sekolah).

Terdapat lebih kurang 10,000 sekolah kerajaan di Malaysia, dan sekolah-sekolah mubaligh merupakan 4% daripada jumlah itu.

Daripada itu, lebih kurang 14% atau 18 sekolah mubaligh telah diberi pentarafan di kalangan 135 sekolah berprestasi tinggi di Malaysia pada 2017.

"Adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menyediakan sekolah-sekolah mubaligh dengan infrastruktur yang baik dan suasana pembelajaran yang selesa termasuklah pembekalan perabut dan kemudahan dan juga pembayaran bil-bil utiliti.

"Malangnya, jabatan-jabatan pendidikan negeri telah gagal menjalankan kewajipan mereka untuk menyediakan dengan secukupnya bagi sekolah-sekolah mubaligh di negara ini," kata Bro Loke.

(Diterjemahkan daripada artikel The Star bertajuk, "Mission Schools Struggling Because Of 'Discriminatory Practice'" yang ditulis oleh Bavani M bertarikh 7 September 2018)