Isnin, 10 September 2018

Mimpi: "Buaya Di Tepi Pantai"


Bertahun yang lalu, saya pernah bermimpi suatu suasana yang indah di tepi laut. Dalam mimpi itu, saya melihat rumah kampung yang terbina di tepi pantai. Pemandangannya cantik sekali.

Rumah di tepi pantai (Gambar hiasan)

Saya dan anak-anak pun turun bermain di tepi pantai.

Tiba-tiba saya melihat buaya-buaya di atas pantai. Saya terkejut. Anak-anak saya masih bermain di pantai. Dengan cepat saya memanggil mereka, "Cepat naik ke rumah! Ada buaya di pantai!"

Dengan cepat kami semua pun menaiki rumah. Dalam mimpi itu, saya melihat pintu kayu di bahagian belakang rumah yang menghala laut. Setelah semua anak-anak telah menaiki rumah, saya menutupi ketat-ketat pintu itu dan menguncinya dengan mangga.

Saya dengar pesan yang jelas, "Biar dikunci kuat-kuat pintu itu. Jangan dibuka mangganya."


Saya terjaga dari tidur. Saya menanya Tuhan apakah maksud mimpi itu.

Tuhan memberikan jawapannya sepert berikut:

Laut di dalam mimpi itu melambangkan dunia luar yang luas, iaitu kehidupan di kota besar.

Suasana pantai pula melambangkan suasana kehidupan yang indah yang dapat dibayangkan oleh anak-anak muda ketika mereka berpindah ke kota samada untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran.

Namun begitu dalam kehidupan di kota yang penuh kemudahan dan kemodenan itu terdapat bahaya yang tidak disangka.

Buaya di pantai itu melambangkan bahaya yang dihadapi anak-anak muda yang berpindah ke kota. Satu bahaya besar kehidupan di kota adalah pergaulan di antara pemuda-pemudi. Jika mereka bergaul rapat dengan orang-orang yang tidak baik, mereka juga mudah terpengaruh dengan hal-hal yang tidak baik.

Jika mereka bergaul dengan kawan yang tidak seagama dan jatuh cinta, itu akan menjadi bahaya besar kepada iman mereka. Ramai yang kalah kerana percintaan dan akhirnya meninggalkan iman Kristian.

Mangga dalam mimpi itu bererti bahawa pemuda-pemudi yang berpindah ke kota harus menutup pintu (dan mengunci mangganya!) kepada pergaulan-pergaulan yang tidak sihat, samada yang membawa pengaruh buruk kepada mereka ataupun yang membawa mereka dalam percintaan dengan teman berlainan iman.

Hai pemuda-pemudi di kota! Berhati-hatilah dalam pergaulanmu. Jangan memberi ruang kepada pergaulan yang membawa kita dalam bahaya, terutama yang boleh membuatkan kita meninggalkan iman kita!

"Biar dikunci kuat-kuat pintu itu. Jangan dibuka mangganya" (kepada pergaulan yang membahayakan kita!)

- Si Domba Putih

(Saya mendapat foto buaya di atas daripada artikel Berita Harian hari ini (10 September 2018) mengenai seekor buaya besar, spesies air masin yang muncul di Pantai Batu 1, Kuala Baram)