Selasa, 11 September 2018

Richard DeVos, Jutawan Kristian, Pengasas Bersama Amway dan Pemilik Orlando Magic Meninggal Dunia Pada Usia 92 Tahun


Jutawan Kristian Richard DeVos meninggal dunia Khamis lepas pada usia 92 tahun, meninggalkan suatu warisan keusahawanan dan nilai-nilai terpuji. 

DeVos meninggal dunia di Ada, Michigan, berikutan komplikasi daripada suatu jangkitan. Rick DeVos, cucunya telah menghantar beberapa pemberitahuan melalui Twitter minggu lepas.

"Awal pagi ini, ketua keluarga kami, Richard DeVos Sr telah kembali ke rahmat Tuhan untuk menyertai isteri tersayangnya Helen bersama dengan Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus. Beberapa hari yang seterusnya ini akan dipenuhi dengan sukacita dan kesedihan besar sambil keluarga kami meraikan suatu kehidupan yang telah dijalani dengan sungguh baik dan berkabung akan hari-hari depan tanpa kehadirannya," begitu ditulis Rick DeVos.

"Kami akan meraikan legasi Datuk dan Nenek yang mengkagumkan dalam penciptaan dan kemurahan hati sambil satu riwayat generasi berakhir. Generasi seterusnya telah bangkit meneruskan legasi mereka, dan satu lagi generasi mengikuti, tidak jauh di belakang. Adalah satu penghormatan yang besar untuk membawa nama Richard Marvin DeVos III," tambahnya dalam kenyataan itu.

"Saya berdoa agar kita semua dapat terus membina atas dasar yang telah diletakkannya untuk kita dan saya bersyukur atas kurnian masa selama bertahun-tahun - jauh melebihi apa yang kami dapat jangkakan - dengan seorang lelaki yang hebat dan bagi saya, Datuk. 

"Sesiapa yang pernah meluangkan masa - biar hanya beberapa saat - dengan Datuk tahu bahawa dia benar-benar dan sungguh-sungguh mengasihi orang. Dia berminat pada mereka, ingin mempelajari apa yang mereka fikirkan dan lakukan. Dan dia seorang pendorong yang bersungguh-sungguh."

Richard DeVos (kiri) telah mengasaskan Amway dengan kawannya Jay Van Andel pada 1959

DeVos telah dilahirkan di Grand Rapids Michigan pada 4 Mac 1926, dan meneruskan pendidikan di Calvin College sebelum berkhidmat untuk Tentera Udara Amerika Syarikat semasa Perang Dunia II. Di antara banyak kejayaan perniagaannya yang cemerlang, dia telah mengasaskan bersama syarikat jualan terus Amway pada 1959, dan pada 1991 dia telah membeli pasukan NBA Orlando Magic.

"Kemurahan hati Encik DeVos, kepimpinannya yang menginspirasikan dan semangatnya yang menggerakkan akan selalu diingati," kata Ketua Eksekutif Magic, Alex Martins dalam satu kenyataan. 

"Ringkasnya, dia adalah tukang sorak No.1 untuk pasukan ini dan pemilik terbaik yang boleh diimpikan oleh penyokong-penyokong untuk pasukan mereka. Ketika keluarga DeVos membeli Magic, visinya adalah pasukan dan kelab ini akan menjadi pentas untuk memajukan komuniti Florida."

DeVos dan mendiang isterinya, telah menderma kepada gereja-gereja dan pelayanan-pelayanan Kristian melalui Yayasan Richard dan Helen DeVos. Yayasan itu telah menjadi penyumbang penting kepada pertubuhan-pertubuhan evangelikal seperti Focus on the Family dan Family Research Council. 

Tokoh perniagaan ini akan dikenang oleh lima anak, dua adik perempuan, dan beberapa orang cucu. Kebaktian pengkebumian telah ditetapkan pada 13 September di LaGrave Avenue Christian Reformed Church di Grand Rapids. 

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel The Christian Post bertajuk, "Richard DeVos, Christian Billionaire and Orlando Magic Owner, Dies At 92; Hailed For Vision, Values" yang ditulis oleh Stoyan Zaimov bertarikh 10 September 2018)