Khamis, 18 Oktober 2018

Sabtu Lepas Saya Beribadah Di Westminster Abbey

Westminster Abbey di London

Westminster Abbey di London adalah sebuah gereja yang bersejarah dan penting di London. Ianya terletak berdekatan Rumah Parlimen dan Big Ben di samping Sungai Thames. Sejak 1066, semua pertabalan raja dan ratu England telah diadakan di Westminster Abbey.

Westminster Abbey pada waktu malam

Ianya juga telah menjadi tempat berlangsung perkahwinan di raja. Ratu Elizabeth dan Putera Phillip telah berkahwin di situ pada 20 November 1947. Pada tahun 2011, Putera William dan Kate Middleton juga telah menjalankan perkahwinan di situ,

Perkahwinan Putera William dan Kate Middleton di Westminster Abbey pada 2011

Saya teringat semua itu semasa mengikuti ibadah di Westminster Abbey Sabtu lepas. Pagi itu saya terlambat sedikit tiba untuk kebaktian Sung Eucharist yang diadakan pada 11.30 pagi. Para penyambut tetamu mengalu-alukan saya dan memberikan saya dua buku acara dan aturan ibadah pagi itu. 

Buku-buku acara dan aturan ibadah 13 Oktober 2018

Di bahagian depan buku-buku kecil itu tertera tajuk, "Acara Ziarah Kebangsaan Tempat Persemadian Suci St Edward the Confessor." Westminster Abbey sedang mengadakan acara ziarah untuk memperingati Raja Edward yang telah membina semula gereja Abbey ini pada abad kedua.

Pemimpin kebaktian memimpin doa dan lagu mengikut liturgi yang telah disediakan dalam buku ibadah. Setelah beberapa doa dan lagu, Right Reverend Jonathan Goodall, Bishop Ebbsfleet dan Paderi Vicar bangkit untuk menyampaikan khutbahnya.

Rev Jonathan Goodall

Dalam khutbahnya, Reverend Goodall mengingatkan jemaat mengenai kesalehan Raja Edward yang juga dikenali dengan gelaran Edward the Confessor. (Gelaran "Confessor" adalah untuk orang saleh yang telah hidup suci dan mempamerkan kesaksian iman tetapi tidak mengalami mati syahid).

Edward the Confessor

Reverend Goodall mengingatkan bahawa Raja Edward telah mengalami banyak cabaran dalam hidup sebelum dan semasa menaiki takhta sebagai Raja England. Katanya, Raja Edward telah menunjukkan kesetiaannya dalam mempamerkan kesaksian iman meskipun menghadapi banyak pancaroba dalam hidup.

Reverend Goodall berkata kita harus mencontohi teladan iman yang ditinggalkan oleh Raja Edward, yang kerana kesalehannya dan jasanya membina semula gereja Abbey tetap dikenang oleh rakyat jelata. Apabila Raja Henry VIII membina semula gereja itu pada abad ke-13, baginda telah memindahkan tempat persemadian suci Raja Edward ke bahagian belakang mimbar tinggi di Westminster Abbey.

Mimbar tinggi Westminster Abbey

Selepas ibadah selesai, jemaat dijemput menziarahi tempat persemadian suci Raja Edward di belakang mimbar tinggi. 

Selain tempat persemadian suci Raja Edward, Westminster Abbey juga terkenal sebagai tempat persemadian raja-raja dan ratu-ratu serta tokoh-tokoh seni, muzik, sains dan politik Inggeris.  

Saya meluangkan hampir sejam selepas ibadah melihat di sekeliling gereja bersejarah yang cantik itu. Saya bersyukur dapat mengunjungi dan beribadah di Wesminster Abbey, London. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan!


Jika anda mengunjungi London, ambillah kesempatan mengikuti ibadah di Westminster Abbey. Acara ibadah diadakan setiap hari di situ.