Rabu, 17 Oktober 2018

Cuba Teka... Siapa Yang Saya Temui Di London?


Pada minggu lepas, saya sempat mengunjungi London semasa mengikuti kursus pendek di sana. 

Saya sempat melawat beberapa lokasi tarikan pelancong di ibu kota England itu. antaranya Big Ben, Tower Bridge, Buckingham Palace dan lain-lain lagi.

Selain tempat-tempat bersejarah itu, saya juga sempat melawat National Portrait Gallery di Trafalgar Square. Di galeri itu, saya sempat melihat banyak potret raja-raja dan tokoh-tokoh ternama Inggeris.

Semasa memasuki ruangan untuk gabenor-gabenor Inggeris di tanah jajahan masa lampaunya, saya terkejut melihat suatu potret besar seorang tokoh yang saya kenal dari sejarah - Sir James Brooke, Rajah Putih pertama Sarawak!


Potret yang berukuran 4 kaki setengah tinggi dan 2 kaki setengah lebar itu tergantung megah di galeri potret nasional itu. Rupa-rupanya gambar yang saya biasa lihat di buku sekolah adalah daripada potret ini!

Potret Sir James Brooke itu adalah lukisan catan minyak atas kanvas oleh Sir Francis Grant sebagai tanda persahabatan, dan dikatakan telah diberikan kepada Brooke oleh artis itu tanpa bayaran. 

Dan tentu saja, saya ternampak potret Ratu Elizabeth II di galeri itu! 


Cantikkan potret Ratu Elizabeth? Seakan foto kelihatannya!

Potret ratu itu bersama dengan anjing Corginya, Spark di Yellow Drawing Room di Istana Buckingham telah dilukis oleh Michael Leonard dengan cat akrilik di atas kanvas linen cotton. 

Selepas mengambil foto lukisan Ratu Elizabeth, saya menghantarkan mesej kepada isteri saya, "Cuba teka siapakah yang saya temui di London?" dan selepas itu menghantar foto ratu itu.

Isteri saya tidak mudah terpedaya. Ini jawapannya, "Wow.. betul ke bukan potret??? ...haha..."

(Sebelum ke London, saya telah bergurau dengan isteri saya bahawa. "I am going to London to see the Queen." Dapatlah juga, walaupun hanya protret sahaja!)

Selepas keluar dari National Portrait Gallery, saya melihat sebuah tugu peringatan di seberang jalan dari galeri itu. Apabila saya mendekati tugu itu, saya menyedari bahawa ada kalungan-kalungan bunga di kaki tugu itu. 


Rupa-rupanya itu adalah tugu Edith Cavell, seorang jururawat dan wirawati perang Inggeris. Dan hari itu, 12 Oktober adalah ulang tahun kematiannya di tangan Jerman semasa Perang Dunia Pertama.

Saya sangat kagum dengan Edith Cavell. Saya pernah menulis artikel mengenainya di blog ini (baca kisahnya di sini). Sungguh tak sangka saya akan mengunjungi tugunya di London dan pada hari ulang tahun dia memberikan nyawa demi negaranya! 

Edith Cavell, jururawat dan wirawati perang Inggeris

Banyak lagi pengalaman yang saya lalui di London. Selepas ini saya akan tulis mengenai pengalaman beribadah di Westminster Abbey, sebuah gereja yang bersejarah dan ternama di London.