Dua hari yang lalu, orang-orang di sekeliling dunia telah memperingati ulangtahun ke-100 kematian Edith Cavell, jururawat Inggeris yang telah ditembak mati oleh skuad penembak Jerman semasa Perang Dunia Pertama. Edith Cavell, yang juga dikenali sebagai "Florence Nightingale Belgium" kerana usahanya membangunkan kejururawatan di Belgium, sentiasa memikirkan untuk menyelamatkan nyawa manusia dan akhirnya itulah yang membawa padah atas dirinya...
Edith Cavell adalah anak seorang pastor, dia seorang matron Inggeris di hospital pelatihan dan seorang perintis kejururawatan modern di Belgium.
Sewaktu Perang Dunia 1 meletus, dia sedang melawat ibunya di England. Dia kembali ke Belgium kerana dia merasakan kemahiran kejururawatannya diperlukan lebih-lebih lagi pada waktu itu dan merasakan bahawa adalah tanggungjawabnya untuk berada di negara yang telah ditawan itu daripada kembali kepada keadaan yang selamat di England.
Hospital Edith dijadikan hospital Palang Merah, dan askar-askar yang tercedera dari semua negara dirawat secara saksama di situ. Iman Kristiannya yang kuat mendorongnya untuk membantu semua yang memerlukan, kedua-dua pihak askar Jerman dan Perikatan. Dia pernah mengatakan, "Saya tidak dapat berhenti ketika ada lagi nyawa untuk diselamatkan."
Bagaimananpun, apabila beberapa askar British yang tercedera, yang telah terpisah daripada rakan-rakan sepasukan mereka tiba, Edith terpaksa menghadapi dilema yang hampir mustahil: jika dia membantu askar-askar itu, dia akan membawa risiko kepada kedudukan berkecuali Palang Merah dan berkemungkinan membahayakan orang-orang lain yang bekerja bersamanya. Jika dia enggan membantu mereka, mereka di dalam bahaya ditembak mati, bersama dengan mana-mana orang awam yang melindungi mereka.
Edith Cavell memberi rawatan kepada askar-askar yang tercedera |
Edith mengambil keputusan menolong mereka meskipun membawa risiko kepada dirinya sendiri. "Jika saya tidak membantu, mereka akan ditembak mati," dia mengatakan kemudiannya. Kemudiannya dia bersetuju menyertai suatu gerakan bawah tanah dan membantu lebih 200 askar Perikatan untuk melarikan diri ke wilayah berkecuali. Apabila rangkaian itu dikhianati, dia ditangkap, dibicarakan dalam mahkamah perang, didapati bersalah untuk pengkhianatan dan dihukum mati.
Hukuman mati itu telah dijalankan pada waktu subuh oleh skuad penembak, pada 12 Oktober 1915, di Brussels. Dia serta-merta menjadi wirawati nasional kepada orang-orang British dan kematiannya dijadikan propaganda menentang Jerman.
Bagaimanapun, Edith tidak pernah ingin menjadi orang yang disanjung kematiannya; bagi Edith perlindungan orang-orang yang diburu adalah satu tindakan Kristian dan kemanusiaan yang dia sanggup terima akibatnya. Dan juga sama pentingnya, dia juga diingati kerana pengampunannya.
Pada hari sebelum hukuman matinya, dia telah berkata, "Saya bersyukur untuk sepuluh minggu yang aman ini untuk bersiap diri. Sekarang saya telah melaluinya dan telah dilayani dengan baik di sini. Saya telah menjangka akan dijatuhkan hukuman itu dan saya percaya itu adalah adil. Sambil berdiri kini menghadapi Tuhan dan kekekalan, saya menyedari bahawa patriotisme tidak mencukupi, saya tidak boleh ada kebencian atau kepahitan terhadap sesiapapun."
Tugu peringatan Edith Cavell di Trafalgar Square di London (perhatikan kata-kata Edith yang terpahat di tugu itu) |
"Patriotisme tidak mencukupi, saya tidak boleh ada kebencian atau kepahitan terhadap sesiapapun" - Edith Cavell (1865-1915).
(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel History Heroes bertajuk, "Edith Cavell In Brief")