Khamis, 20 Disember 2018

Gereja-Gereja Sabah Kritik Kenyataan "Medan Dakwah" Maszlee

Datuk Maszlee Malik

KOTA KINABALU: Gereja-gereja Sabah telah mengkritik kenyataan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Maszlee Malik dan telah memintanya untuk menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan menjadikan Sabah dan Sarawak "medan dakwah" untuk guru-guru agama. 

Datuk Jerry Dusing, pengerusi Inisiatif Pemberdayaan Masyarakat (CEI) Sabah dan Presiden Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, berkata ramai rakyat Sabah, terutamanya daripada komuniti bukan Islam, terkejut dan bimbang mengenai betapa kurang pekanya Maszlee terhadap keseimbangan agama di Malaysia Timur. 

"Apakah maksudnya untuk menjadikan Sabah dan Sarawak medan untuk dakwah Islam? Adakah dia mempromosikan dakwah Islam kepada pelajar-pelajar bukan Islam yang di bawah umur kematangan?" tanya Dusing, yang menambah bahawa dia berharap ahli-ahli Parlimen lain juga telah membangkitkan soal itu.

Pada 11 Disember, Maszlee semasa menjawab soalan di Parlimen, telah menggesa guru-guru agama Islam dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak untuk tidak memohon perpindahan ke Semenanjung Malaysia, dan untuk menganggap Sabah dan Sarawak sebagai "medan dakwah" untuk mereka menyebarkan agama Islam.

Maszlee hari ini telah mempertahankan kenyataannya, mendakwa dalam satu laporan Malaysiakini bahawa dia telah disalahfaham.

Dia berkata dia telah menggunakan istilah Arab "dakwah" dalam konteks sejagat untuk mengajak orang melakukan kebaikan dan bukannya apa yang disifatkannya satu tafsiran sempit mengenai penyebaran agama.

Datuk Jerry Dusing

Dusing bagaimanapun berkata bahawa telah sering terjadi kisah-kisah yang dilaporkan mengenai tindakan mempengaruhi dan menyebarkan agama secara halus atau tidak, samada dengan mengajar anak-anak kecil bukan Islam untuk mengulangi doa-doa atau memaksa mereka untuk memakai tudung, dan sehingga menukarkan agama mereka kepada Islam tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

"Apabila kami membangkitkan  perkara ini kepada kerajaan yang sebelumnya, mereka hanya menafikannya. Kini apakah pendirian kerajaan sekarang mengenai perkara ini?" katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Dusing berkata walaupun guru-guru dari Semenanjung Malaysia dihargai dan dialu-alukan di Sabah dan Sarawak, guru-guru agama Islam di sekolah sepatutnya menyediakan pendidikan Islam kepada murid-murid Islam sahaja, dan bukannya untuk berdakwah dan menukar agama murid-murid lain yang di bawah umur kematangan.

"Lebih penting lagi, kami tidak ingin kemasukan beramai-ramai guru-guru agama dengan falsafah agama yang ekstrim yang kami tidak dapat terima di Sabah. Seorang menteri pendidikan persekutuan yang menggalakkan secara terbuka dakwah Islam oleh guru-guru yang merupakan kakitangan awam adalah sesuatu yang langsung tidak dapat diterima. Adalah jelas kenapa kenyataan Maszlee telah dikecam secara meluas," katanya.

Di Sabah, dasar dan amalan Kementrian Pendidikan adalah untuk memperuntukkan satu guru agama Islam untuk setiap lima pelajar Islam di kedua-dua sekolah kerajaan dan misi.

"Kami tidak pernah membuat bantahan terhadap dasar ini. Jika terdapat kekurangan guru di Sabah, maka ya, kerajaan boleh mendapatkan daripada Sarawak dan Semenanjung. Namun begitu, bagaimanakah pula keperluan pelajar-pelajar bukan Islam?

"Manakala pelajar-pelajar Islam dikehendaki mengambil pelajaran agama di sekolah-sekolah awam, pelajar-pelajar bukan Islam telah dinafikan pilihan untuk mengikuti kelas pelajaran untuk agama bukan Islam semasa waktu persekolahan," katanya.

Kelas Bahasa Arab

"Tambahan kepada itu, di Sabah ada satu kewajiban untuk pelajar-pelajar bukan Islam mempelajari satu bahasa ketiga, samada Mandarin atau Kadazan. Namun begitu, oleh kerana kekurangan guru-guru bahasa Mandarin dan Kadazan di kawasan pedalaman Sabah, pelajar-pelajar kami telah dikehendaki mempelajari bahasa Arab.

"Kami tidak faham kenapa ada keperluan bahasa yang ketiga ketika pelajar-pelajar kami sudah pun bersusah payah untuk mempelajari bahasa Inggeris. Tiga waktu yang diperuntukkan untuk pembelajaran bahasa ketiga adalah lebih berfaedah digunakan untuk memperbaiki pengajaran Inggeris, Matematik dan Sains di mana kita telah jauh ketinggalan dalam ranking PISA," katanya sambil merujuk kepada Programme for International Student Assessment.

Dusing berkata sudah lama tiba waktunya di mana hak-hak Sabah ke atas pendidikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan.

"Kami tidak perlu bergantung sepenuhnya pada dasar-dasar Kerajaan Persekutuan dan kami tentu sekali tidak ingin dasar-dasar yang tidak sejajar dengan MA63, budaya kami dan yang sedang membawa kami ke arah pemikiran yang sempit," katanya.

Dia berkata pemikiran yang kritikal perlu digalakkan pada anak-anak, dan penggunaan bahasa Inggeris dan dan bahasa-bahasa penduduk asal haruslah digalakkan.

Jika negeri itu kekurangan guru-guru bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa penduduk asal, bahasa Mandarin, Sains dan Matematik, maka fokusnya seharuslah untuk bagaimana melatih lebih ramai guru-guru untuk memenuhi keperluan ini.

"Kami mempunyai harapan tinggi agar Kementrian Pendidikan Sabah akan mengambil pendirian berani untuk mencorakkan masa hadapan pendidikan Sabah dengan menyesuaikan dasar-dasar dan amalan-amalan pendidikan kami menurut nilai-nilai dan keperluan kami, dan untuk mempersiapkan anak-anak kami agar memiliki daya saing secara global.

"Rakyat Sabah mempunyai tradisi kami sendiri dan kami berbangga dengan budaya saling menghormati kepercayaan agama satu sama lain. Ini kita harus kekalkan dan haruslah dicerminkan dalam dasar-dasar dan amalan-amalan yang secara jelas tidak bersifat diskriminasi. Harapan saya adalah Kementrian Pendidikan kita akan berusaha untuk menerapkan dasar-dasar yang adil dan saksama untuk kesejahteraan generasi akan datang," katanya.

Bishop Melter Jiki Tais

Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) juga telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa kenyataan Maszlee menunjukkan bahawa Kementrian Pendidikan bersedia untuk menghantar guru-guru yang dibayar dengan dana awam untuk menjalankan pengislaman di sekolah-sekolah bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Mereka berkata kenyataan seperti ini langsung tidak boleh diterima dan melanggar aturan sosial di negeri-negeri Malaysia Timur.

"Manakala terdapat isu-isu yang lebih penting yang mencabar standard dan kualiti generasi masa depan kita, terutamanya di Sabah dan Sarawak, kami dapati sungguh sedih bahawa kerajaan telah menyalahgunakan sesungguhnya sumber-sumber wang rakyat dan tenaga kerja yang berharga untuk menyebarkan Islam di sekolah-sekolah awam, dan dengan itu menjadikan sekolah-sekolah itu 'medan dakwah'," kata pengerusi SCC, Bishop Melter Jiki Tais dalam satu kenyataan semalam.

Tais berkata sementara kerajaan mempunyai hak untuk menubuhkan sekolah-sekolah agama, seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 12 Perlembagaan Persekutuan, ianya adalah hal yang berbeza untuk menggunakan guru-guru itu menyebarkan Islam di sekolah-sekolah awam bukan agama.

Perlembagaan Persekutuan telah dirangka dengan pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 161e yang memberikan kepada Negeri-negeri itu kuasa untuk menentukan isu-isu berkaitan agama dan imigresen.

"Kami menggesa kerajaan persekutuan untuk menghentikan tindakan ini yang menghakis hak-hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak, dan untuk berhenti serta-merta dari melanggar Perlembagaan," katanya.

Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (SCC) telah sebelum ini menyuarakah rasa tidak senang mereka dengan kenyataan Maszlee.

(Diterjemahkan daripada artikel The Malay Mail bertajuk, "Sabah Churches Alarmed By Maszlee's 'Medan Dakwah' Remark" yang ditulis oleh Julia Chan bertarikh 20 Disember 2018)