Rabu, 19 Disember 2018

Persatuan Gereja Sarawak Khuatir Pendirian "Medan Dakwah" Maszlee


KUCHING: Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) mahu kerajaan persekutuan untuk henti menggunakan kakitangan awam atau guru-guru untuk menjalankan apa pun bentuk Islamisasi di Sabah dan Sarawak. 

Persatuan itu juga menggesa Putrajaya untuk menunaikan janji kebebasan beragama dan Borneonisasi perkhidmatan awam seperti yang terjamin dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada waktu yang sama ACS melafazkan kebimbangan besar atas kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk menjadikan Sarawak dan Sabah medan dakwah untuk Ustaz dan Ustazah. 

AGC melafazkan pendapat bahawa kenyataan Maszlee tidak sejajar dengan semangat MA63, Laporan IGC dan Perlembagaan Sarawak. 

"Kenyataan oleh Menteri Pendidikan untuk menjadikan Sabah dan Sarawak medan untuk penyebaran Islam tidak sejajar dengan semangat MA63 dan kelihatan memberikan izin kepada guru-guru agama Islam dari Semenanjung Malaysia untuk mempromosikan Islamisasi dan penyebaran agama kepada pelajar-pelajar tempatan di sekolah-sekolah bukan agama di Sabah dan Sarawak.

"Jika guru-guru Semenanjung Malaysia menjadikan Sabah dan Sarawak 'medan dakwah' mereka, ianya boleh menjadikan suasana di dalam dan di luar sekolah menakutkan dan pelajar-pelajar tempatan serta ibu bapa akan merasa tidak selesa dan pembelajaran yang sewajarnya tidak dapat dijalankan. 

"Manakala amalan menghantar guru-guru dari Semenanjung Malaysia untuk berkhidmat di Sabah dan Sarawak boleh membantu mengurangkan masalah kekurangan guru untuk sementara waktu, guru-guru yang merupakan kakitangan awam tidak harus dijadikan alat untuk mempromosikan Islamisasi di Sabah dan Sarawak," kata ACS dalam satu kenyataan akhbar semalam.



Kenyataan akhbar itu sebagai respons kepada kenyataan Maszlee baru-baru ini yang disampaikan di Parlimen. Dia telah merayu kepada Ustaz dan Ustazah dari Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang sedang mengajar di sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, agar tidak kembali ke Semenanjung Malaysia dan menjadikan Sabah dan Sarawak medan dakwah mereka.

ACS menekankan bahawa kebebasan beragama dilindungi dan dijamin bagi orang-orang di Sabah dan Sarawak, tidak mengira bangsa di bawah Laporan IGC, MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

"Majoriti penduduk Sarawak adalah bukan Islam dan Perlembagaan Sarawak memperuntukan kerajaan dan masyarakat sekular, di mana Islam bukanlah agama rasmi Sarawak.

"Ianya telah dinyatakan dengan jelas dalam Laporan IGC bahawa tidak akan ada perlaksanaan ke atas Negeri-Negeri Borneo berkenaan persyaratan persekutuan mengenai pendidikan agama.

"Laporan IGC juga menyatakan Borneonisasi perkhimatan awam di negeri-negeri Borneo adalah objektif utama dalam dasar itu, dan persediaan-persediaan khas adalah diperlukan untuk mencapai objektif itu dan untuk melindungi hak-hak yang sah penduduk-penduduk pribumi Sabah dan Sarawak," ACS menjelaskan.

ACS menyatakan bahawa setelah 55 tahun sejak pembentukan Malaysia, janji dan jaminan Borneonisasi dalam perkhidmatan awam di Sabah dan Sarawak masih belum ditunaikan.

"Akan ada bilangan guru-guru agama Islam yang layak dan berkecukupan dari Sabah dan Sarawak pada waktu ini untuk mengajar di sekolah-sekolah tempatan jika kerajaan telah berpegang kepada janji Borneonisasi perkhimatan awam di Sabah dan Sarawak.

"ACS ingin menegaskan komitmennya terhadap mempromosikan harmoni dan perpaduan di kalangan semua rakyat Sarawak dan negara kita Malaysia," kata ACS.

(Diterjemahkan daripada artikel Dayak Daily yang bertajuk, "Association of Churches In Sarawak Alarmed By Maszlee's 'Medan Dakwah' Stand" bertarikh 18 Disember 2018)