Khamis, 14 Februari 2019

10 Cara Untuk Mencari Pasangan Hidup Anda


Saya ada beberapa kawan yang membenci Februari. Mereka tidak menghantar bunga atau coklat pada Hari Valentine. Mereka tidak tunggu sejam untuk mendapatkan tempat duduk di restoran pada 14 Februari seperti pasangan-pasangan lain yang dilamun cinta. Perayaan ini adalah peringatan yang menyakitkan bahawa cinta romantik telah mengelakkan mereka.

Ini juga adalah masanya kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga tampil untuk memberikan nasihat bagaimana untuk mencari pasangan hidup. Tidak hairanlah satu gerakan "Aku Benci Valentine" telah timbul beberapa tahun yang lepas. Orang-orang bujang tidak suka tekanan untuk dipasangkan; mereka juga benci perasaan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka jika mereka tidak ada seseorang untuk dimanjakan pada satu hari tertentu itu dalam setahun. 

Kawan-kawan Kristian saya yang masih bujang itu, sebilangannya muda dan sebilangan tidak begitu muda, masih menanti perkenalan yang besar ertinya itu. Mereka sering diberitahu bahawa apa yang mereka cuma perlu lakukan adalah "menantikan Tuhan" untuk pasangan hidup. Tetapi saya fikir bahawa kata-kata itu telah terlalu sering digunakan dan disalahgunakan. Dalam banyak kes, seseorang itu tidak perlu menantikan Tuhan; sebenarnya mungkin Tuhan sedang menantikan anda untuk mengambil tindakan. 

Jika anda ingin bernikah, di sini adalah beberapa langkah mudah yang dapat membantu anda maju lebih jauh dalam perjalanan anda:

1. Pastikan Yesus berada di atas takhta hidup anda. Anda tidak pernah silap untuk mengutamakan Tuhan dalam hidup anda. Matius 6:33 mengatakan, "Tetapi carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu." Perkahwinan adalah satu keperluan, dan Tuhan sangat ingin untuk menunaikannya. Dan oleh kerana ianya kemungkinan keputusan terbesar yang anda akan buat, kenapa bergantung pada naluri anda untuk memilih orang yang tepat? Tuhan adalah pencari jodoh yang terbaik. Mohon kepada-Nya untuk membantu anda. 

2. Jadikan pertumbuhan rohani keutamaan anda. Sesebuah perkahwinan itu kukuh apabila kedua-dua suami dan isteri adalah orang-orang Kristian yang kuat. Jika salah seorang adalah tidak matang secara rohani, masalah akan berlipat ganda. Itulah sebabnya anda patut menghabiskan zaman bujang anda untuk menjadi pengikut yang matang. Paulus memberitahu orang-orang Korintus bahawa orang-orang percaya yang bujang harus "melayani Tuhan tanpa gangguan" (1 Kor 7:35b). Libatkan diri dalam sebuah gereja, pelajari Firman Tuhan dan jadilah penyembah yang penuh semangat. 

3. Buat senarai ciri-ciri pasangan yang anda inginkan. Tidak salah untuk menginginkan ciri-ciri tertentu dalam pasangan hidup. Bagaimanakah anda tahu apakah yang anda inginkan jika anda tidak menyatakannya? Mungkin anda suka seorang gadis yang pendek, seorang jejaka yang lebih tua dari anda atau seseorang yang memiliki latar belakang pendidikan yang  tertentu. Mazmur 37:4 mengatakan: "Dan bergembiralah kerana Tuhan; maka Ia akan memberikan kepadamu apa yang diinginkan hatimu." Cuma periksalah niat anda dan pastikan keinginan anda tidak bersifat kepentingan diri atau tidak realistik. 

4. Lenyapkan jangkaan dan fantasi palsu. Ramai orang bujang mempunyai idea-idea yang tidak realistik mengenai apa itu perkahwinan dan cinta romantik. Sesetengah gadis telah dibentuk oleh kartun-kartun Disney untuk menantikan seorang jejaka yang akan tiba-tiba muncul,  terus menawan hati mereka dan membawa mereka ke istana dongengnya. Itu tidak akan berlaku. Anda juga tidak akan merasakan tahap degupan jantung seperti yang diceritakan dalam novel-novel romantik. Pornografi juga telah merosakkan cinta romantik bagi sesetengah orang; sesetengah lelaki yang ketagih kepada pornografi tidak dapat mengalami rangsangan tanpanya. Kembalilah ke bumi nyata. Perkahwinan tidak akan menyerupai dunia impian anda yang sempurna. 

5. Letakkan standard moral yang tinggi dan tidak pernah berkompromi. Setiap orang Kristian yang belum berkahwin perlu ada senarai yang tidak boleh dirunding. Jangan pernah berkompromi perihal kesucian seksual anda. Jika ada seseorang jejaka yang bermulut manis dari pasukan pujian dan penyembahan gereja anda cuba menggoda anda bermalam dengannya, tolak kata-kata manisnya. Jika anda tertarik dengan seorang gadis dan kemudian menyedari dia bermain cinta dengan setiap lelaki dan tidak memiliki nilai-nilai yang sama dengan anda, undurkan diri. Dan jangan sekali-kali pernah berpacaran dengan seseorang yang tidak seiman dengan niat mengubah kepercayaan mereka. "Missionary dating" (Penginjilan sambil berpacaran) jarang sekali membawa hasil yang baik.

6. Sibukkan diri dengan hidup dan kerjaya. Perkara yang paling teruk untuk dilakukan oleh orang bujang adalah duduk termenung menunggu pasangan. Duduk bermuram tidak kelihatan menawan - ianya kelihatan kasihan benar. Jangan jadi terdesak. Tuhan mengasihi anda seperti seadanya anda, dan anda tidak perlukan seorang suami atau isteri untuk menjadikan anda berharga. Jalanilah kehidupan anda. Tamatkan pengajian anda, capailah matlamat profesional anda dan libatkan diri dalam pelayanan. Kemungkinan lebih besar anda akan menjumpai pasangan ketika mengejar impian-impian anda daripada ketika anda duduk di suatu sudut dan berkabung akan kebujangan anda.

7. Dapatkan kesembuhan emosi. Saya kenal orang-orang bujang yang berpindah dari satu hubungan pacaran yang tidak berfungsi baik kepada yang satu lagi dan tidak pernah menyedari bahawa mereka ada isu-isu serius yang perlu dikendalikan. Jangan tunggu sehingga anda sudah berkahwin untuk menyedari bahawa anda ada ketagihan, kepahitan atau sakit hati yang belum diselesaikan. Jika anda tidak menyelesaikan drama anda sekarang, perkahwinan anda akan pernah dengan drama. Dapatkan pelayanan doa dari gereja anda atau carilah seorang kaunselor.

8. Menjaga diri secara fizikal. Anda tidak perlu menjadi peragawati kulit depan majalah atau peragawan GQ untuk mencari pasangan. Kita semua memiliki saiz dan bentuk badan yang berbeza, dan pasangan anda akan mengasihi anda dan semua ketidaksempurnaan anda. Tetapi tidak salah menjadikan diri anda lebih menawan! Jika anda sentiasa kelihatan seperti baru bangun tidur, tanya pandangan daripada beberapa kawan yang jujur untuk membantu anda membina penampilan yang baru. Jika anda perlu kurangkan berat badan, berhenti memberi alasan dan mulakan rancangan pemakanan dan rutin senaman yang munasabah.

9. Binalah hidup sosial yang aktif. Sesetengah pemuda Kristian yang saya kenal takut untuk mengajak seseorang gadis untuk keluar minum teh, tetapi mereka bermain permainan video sepanjang hari sambil mengadu bahawa mereka kesepian. Itu adalah strategi yang teruk. Anda tidak perlu berpasangan ketika anda berkumpul dengan sekumpulan orang-orang bujang untuk persekutuan. Banyak hubungan berpacaran bermula sebagai persahabatan yang biasa - dan kemudian suatu nyala kecil romantik bertukar menjadi nyala cinta.

10. Carilah seorang mentor yang sudah berkahwin untuk membantu anda bersedia. Anda tidak perlu seorang diri menjalani seluruh perjalanan dari berpacaran sehingga perkahwinan. Carilah seorang kawan yang lebih tua untuk membantu anda. Tanya soalan. Ceritakan ketakutan anda. Perkahwinan adalah keputusan yang besar, tetapi seseorang mentor boleh memberi anda keberanian untuk menghadapi masa hadapan anda. Dan merekalah yang akan paling kuat bersorak untuk anda di perkahwinan anda sebab mereka telah memainkan peranan kecil dalam keajaiban Tuhan.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "10 Ways To Find Your Soul Mate" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 9 Februari 2019)