Khamis, 14 Februari 2019

St. Valentine, Kisah Yang Sebenarnya


Bunga, coklat, jantung merah dan tindakan romantik. Itulah segalanya mengenai Hari Valentine bukan? Sebenarnya mungkin tidak. 

Asal-usul untuk perayaan yang menyatakan cinta ini sebenarnya tidak romantik langsung - sekurang-kurangnya bukan dalam bentuk tradisinya. Father Frank O'Gara dari Gereja Whitefriars Street di Dublin, Ireland memberitahu kisah sebenar orang di sebalik perayaan itu - St. Valentine.

"Dia adalah seorang Paderi di Rum pada ketika adanya seorang maharaja bernama Claudius yang menganiaya gereja pada waktu itu," jelas Father O'Gara. Maharaja itu juga telah mengeluarkan satu perintah yang melarang perkahwinan orang-orang muda. Itu adalah berdasarkan hipotesis bahawa askar-askar yang belum bernikah bertempur dengan lebih baik berbanding dengan askar-askar yang sudah bernikah sebab askar-askar yang sudah bernikah mungkin akan takut apa yang akan terjadi kepada mereka atau isteri dan keluarga mereka jika mereka mati."

"Kita mesti ingat bahawa masyarakat pada zaman Valentine adalah sangat terbuka," kata Father O'Gara. "Poligami merupakan jauh lebih popular berbanding dengan pasangan seorang suami dan isteri. Namun begitu, sesetengah daripada mereka kelihatan tertarik kepada iman Kristian. Dan tentu sekali Gereja berpendapat bahawa perkahwinan itu sangat suci di antara seorang lelaki dan seorang wanita dalam hidup mereka dan bahawa itu harus digalakkan. Dan dengan itu ianya menimbulkan persoalan kepada Gereja apakah yang harus dilakukan mengenainya." 

"Idea untuk mendorong mereka berkahwin dalam gereja Kristian, itulah yang menjadi pegangan Valentine. Dan dia mengahwinkan mereka secara rahsia oleh kerana perintah itu."

Akhirnya Valentine telah ditangkap, dipenjara dan diseksa kerana menjalankan upacara perkahwinan bertentangan dengan perintah Maharaja Claudius kedua. Ada beberapa lagenda berkenaan tindakan-tindakan Valentin ketika di penjara.

"Salah seorang lelaki yang akan menghakiminya menurut  undang-undang Rum ketika itu adalah seorang yang bernama Asterius, yang anak perempuannya buta. Valentine dikatakan telah berdoa dan menyembuhkan gadis muda itu dengan cara yang menakjubkan sehingga Asterius sendiri telah menjadi seorang Kristian."

Pada tahun 269 Tahun Masihi, Valentine telah dijatuhkan hukuman tiga bahagian iaitu dipukul, direjam dan akhirnya dipenggal kepala,  semuanya kerana pendiriannya untuk perkahwinan Kristian. Kisah itu menyatakan bahawa kata-kata terakhir yang ditulisnya adalah dalam suatu nota kepada anak Asterius. Dia telah menginspirasikan mesej-mesej cinta hari ini dengan menandatanganinya, "dari Valentinemu."

"Apa maksud Valentine bagi saya sebagai seorang paderi, " jelas Father O'Gara, "adalah akan tiba suatu waktu di mana anda perlu menyerahkan hidup anda untuk apa yang anda percayai. Dan dengan kuasa Roh Kudus, kita boleh melakukan itu - walau sampai maut." 

Kematian syahid Valentine tidaklah dilupakan oleh masyarakat umum. Gereja Whitefriars Street adalah di antara tiga gereja yang mendakwa masih menyimpan bekas jenazah Valentine. Pada hari ini, ramai orang membuat kunjungan ke gereja itu untuk menghormati keberanian dan memori santo Krisitan ini. 

"Jika Valentine ada di sini hari ini, dia akan berkata kepada pasangan-pasangan yang berkahwin bahawa akan tiba suatu waktu anda akan perlu menderita. Adalah tidak mudah untuk anda mengekalkan komitmen dan ikrar anda dalam perkahwinan. Jangan hairan bahawa cinta "bergelojak" yang anda rasakan terhadap seseorang berubah menjadi sesuatu yang kurang "bergelojak" tetapi jauh lebih matang. Soalnya adakah anak muda itu bersedia untuk itu?"

"Valentine telah menjadi santo penaung pasangan kekasih. Sebelum anda memasuki perkahwinan Kristian, anda harus inginkan ada sesuatu kesedaran mengenai Tuhan dalam hidup anda - sesuatu keperluan besar untuk Tuhan dalam hidup anda. Dan kita tahu, terutamanya dalam dunia modern ini, ramai orang sedang bertemu Allah melalui Anak-Nya, Yesus Kristus." 

"Oleh itu pada hari perkahwinan, mereka perlu mengambil itu sebagai konteks," kata Father O'Gara. "Cinta -  cinta manusia dan naluri seks itu indah, dan diberkati Tuhan -  tetapi begitu juga bayangan salib. Itulah makna Valentine bagi saya."

(Diterjemahkan daripada artikel CBN bertajuk, "Valentine, The Real Story" yang ditulis oleh David Kithcart)