Isnin, 11 Februari 2019

Lauren Daigle: Ketika Tuhan Menunjukkan Saya Masa Hadapan


Sewaktu remaja, penyanyi dan penulis lagu ini bergelut dengan suatu penyakit yang serius. Kemudian dia mendapat penglihatan akan masa hadapannya.

Ketika saya berusia 15 tahun, saya jatuh sakit, betul-betul sakit. Pada mulanya semua orang fikir itu demam kelenjar. Saya hanya mahu tidur sahaja. Saya hanya dapat tidur sahaja. Tidak dapat ke sekolah, tidak dapat jumpa kawan-kawan, cuma berbaring di katil atau sofa di hadapan TV.

Emak saya seorang guru. Sehari suntuk dia tiada di rumah. Begitu juga abang dan adik perempuan saya. Ayah saya jurujual ubat-ubatan farmasi dan dia akan kembali untuk sediakan saya makan tengahari. "Mungkin saya harus berhenti kerja untuk menjaga kamu," kata Mak. Saya memberitahunya itu tak masuk akal. Apa gunanya tinggal di rumah hanya untuk melihat saya tidur?

Saya berkira-kira bahawa saya akan pulih. Kembali ke hidup normal. Pergi ke sekolah, melepak dengan kawan-kawan, mendengar muzik. Sebaliknya, keadaan saya bertambah teruk. Saya begitu penat sehingga tidak dapat mengangkat alat kawalan TV untuk menukar rangkaian TV. Ibu bapa saya membawa saya berjumpa doktor demi doktor, pakar demi pakar. Doktor-doktor itu menanya saya sejuta soalan dan melakukan sejuta ujikaji. Pada akhirnya mereka kata ianya sejenis penyakit yang dinamakan cytomegalovirus - sepupu yang lebih kuat dan teruk daripada demam kelenjar - yang boleh menyerang hati dan organ-organ lain.

Doktor-doktor itu menyuruh saya berehat. Memang pun itu saja yang saya dapat buat. Saya mengheret diri di sekeliling rumah, ingin untuk menjadi orang lain, berada di tempat lain. Menjadi diri yang lama. Menelefon kawan-kawan, membuat kerja rumah, tidur lewat, menyanyi dalam koir - cuma menyanyi, itu saja. Tetapi itu yang paling teruk. Saya terlalu lemah untuk menyanyi. 

Mengapakah semua ini terjadi? Adakah saya akan seperti ini seumur hidup saya? Apakah jenis hidup yang seperti itu? Sepertinya tak hidup sebenarnya. Namun saya tidak dapat membayangkan akan merasa sihat semula. Baru 15 tahun, rasanya seperti hidup saya sudah berakhir. Impian saya seperti suatu gurauan. Saya semakin tenggelam dalam kekecewaan. Dan para doktor masih tidak dapat menjanjikan apa-apa. Berehat, mereka berkata. Tetapi rasanya lebih seperti saya sedang mati.

Saya rindu mencari tempat untuk melepaskan diri. Ada loteng di rumah kami di Lafayette, Louisiana, dan selepas semua orang keluar, saya akan merangkak ke situ, sambil menarik tiang anak tangga, menggunakan setiap titik tenaga yang saya ada. Saya akan letakkan beberapa bantal di bawah saya dan berbaring di bawah sinaran matahari yang menyinari melalui jendela. Itulah tempat rahsia saya, bilik doa saya. Emak telah membelikan saya sebuah buku saat teduh semasa jualan murah di sesuatu tempat: One Minute of Praise, nama buku itu. Itulah saja yang saya mampu lakukan. Satu minit.


Saya akan tutup mata dan cuba membayangkan seorang yag lain, Lauren Daigle yang lain, yang dulunya saya, yang tidak menyerupai saya sekarang. Yakin, bersemangat dan pasti mengenai dirinya. Seorang penyanyi. Saya masih ingat ketika saya baru berusia tiga tahun dan pengarah muzik di gereja meminta saya menjadi unta dalam drama muzik Krismas. Dia memberikan saya sekeping muzik yang saya harus nyanyikan. "Solo," begitu dituliskan. Saya faham perkataan itu, S-O-L-O. "Adakah itu bererti saya boleh menyanyi seorang diri?" saya bertanya, hanya untuk memastikan.

"Ya, begitulah," katanya.

Bahagian itu cuma dua tiga baris, tetapi pertama kali saya menyanyikannya, saya berfikir, saya mahu lakukan ini untuk selama-lamanya. Pada suatu kali, sewaktu latihan, pengarah itu terlepas bahagian saya. "Saya sepatutnya menyanyi di bahagian ini," saya mengumumkan dan menghentikan semuanya. "Ya, betul," katanya. Dia tidak pernah membuat silap itu lagi.

Emak memanggil saya peti muziknya yang kecil. Anda tak perlu menyuruh saya. Saya akan menyanyi di sekeliling rumah, meniru nyanyian Whitey Houston dan Celine Dion. "Mak, Bolehkah suruh dia berhenti?" tanya abang saya, Brandon.

"Saya tak akan pernah lakukan itu," kata Mak. Begitu juga dia tidak pernah menghentikan abang dari melontar bola keranjang di belakang rumah.

Pada suatu hari hujan, yang kami sering alami di wilayah Cajun, saya melihat air bercampur dengan tanah dan menjadi lumpur. Ianya cantik, seperti susu coklat. Fikiran saya melonjak laju, sesuatu rangkap terbentuk dalam kepala. Saya menuliskannya dan melukis gambar untuk menghiasinya. "Itu boleh jadi buku" kata Mak. Saya mewarnakan lukisan itu dengan krayon dan marker, dan kemudian Mak menunjukkan saya bagaimana untuk mengepilkannya bersama. Kami duduk bersama dan membacakannya. Saya tidak dapat percaya bahawa saya telah menulis puisi. Dan saya sepertinya tahu puisi itu boleh menjadi lagu. Itu suatu inspirasi.

Kini, tenaga itu, keghairahan itu, sudah lenyap, dicabut dari saya. Saya berbaring di lantai di bilik doa saya, dengan mentari menyinari melalui jendela, yang memanaskan lantai. Kenapakah ianya tidak dapat menembusi saya? Kenapakah ianya tidak dapat menyembuhkan saya?

"Apakah yang Engkau ingin beritahu saya, Tuhan?" saya menanya. "Siapakah yang saya harus jadi sekarang?" Saya pernah memiliki pelbagai jenis sangkaan apa yang saya akan lakukan suatu hari nanti. Menjadi misionari dan membantu orang miskin. Pergi ke bidang perubatan dan menolong orang sakit. Sekarang saya yang sakit. Saya yang perlukan pertolongan.

Saya membaca buku saat teduh yang berharga lima dolar itu dan mendengar untuk suara Tuhan. Hari lepas hari, saya terus kembali ke loteng itu, bergelut untuk menaiki anak tangganya, berhenti di setiap anak tangga untuk bernafas. Dari dulu saya memiliki iman yang kuat. Atau itulah yang saya fikir. Kini ianya diuji melebihi kekuatan saya. Jika pun saya dapat melalui penyakit ini secara fizikal, dapatkah saya melaluinya secara rohani?

Pada suatu hari saya ada di bilik air, berdiri di hadapan cermin, memerhatikan gadis pucat dalam baju tidurnya, terlalu letih untuk memberus gigi. Sesuatu yang paling pelik terjadi. Seseorang yang berbeza memandang kembali kepada saya. Lauren Daigle yang lain. Ya benar-benar. Sesuatu imej diri saya yang mustahil. Kelihatan sangat nyata dan benar. Adakah saya khayal? Tidak, ini rasanya seperti diberi oleh Tuhan.


Saya melihat seorang gadis - saya - menyanyi di hadapan ribuan orang di sebuah stadium terbuka. Kemudian saya melihat diri saya naik dan turun bas jelajah. Saya melihatnya menulis lagu, lagunya sendiri, dan menyanyikannya. Dan pergi ke studio untuk merakamkannya.

Imej-imej itu terus menerus datang kepada saya pada hari itu dan keesokannya dan keesokannya lagi. Ianya seperti wayang yang diputarkan di kepala saya, suatu siri pelbagai bahagian yang memaparkan peribadi yang saya ingin jadi - impian yang saya fikir telah diambil dari saya oleh penyakit saya. Perkataan-perkataan ini datang kepada saya: Lampu, kamera, rakam. Apakah yang sedang terjadi? Bagaimanakah itu boleh terjadi?

Akhirnya, ianya menjadi jelas pada saya: Ini adalah jawapan Tuhan kepada doa-doa saya. Dia sedang memberikan saya janji-Nya. Ya, saya akan sihat semula, tapi saya akan sakit dulu. Ya, saya akan kembali ke hidup yang normal tetapi bukan sebagai orang yang saya fikirkan. Waktu keseorangan ini - kesepian yang teruk ini - bermaksud memberikan saya kekuatan. Semua kawan-kawan yang saya rindukan. Dan kalaupun saya punya tenaga untuk berjumpa dengan mereka, para doktor sangat khuatir mengenai saya terdedah kepada apa-apa kuman dalam keadaan saya yang rapuh. Apa yang saya ada cumalah loteng doa saya. Dan imej-imej sesebuah janji.

Kesihatan saya bertambah baik sedikit demi sedikit. Ianya mengambil masa jauh lebih lama daripada yang disangka oleh para doktor - hampir dua tahun. Saya terlepas acara majlis tarian tahunan sekolah. Dengan kekuatan saya yang mulai kembali, saya belajar di rumah selama enam bulan, kemudian menamatkan pendidikan di sebuah sekolah swasta. Saya sempat pergi ke Brazil sebagai seorang misionari - satu impian tercapai - kemudiannya memasuki Louisiana State University.

Saya menyanyi dalam koir di LSU, digandingkan semula dengan sukacita yang nyanyian sering memberikan saya. Saya menyertai American Idol. Lampu, kamera, rakam? Semua lampu menyinari saya, yang menyanyi di hadapan para penonton. Saya melakukan dengan agak baik dalam beberapa musim, dan hanya dikeluarkan pada waktu yang terakhir. Itu tidak menjadi hal. Ada jalan yang lain untuk saya.

Lauren Daigle di American Idol

Saya telah didedahkan kepada segala jenis muzik. Ayah suka muzik rock klasik; dia peminat besar Led Zeppelin. Dalam perjalanan kereta yang jauh, dia akan main permainan dengan kami - Permainan Dolar, kami memanggilnya. Kami mendengar radio dan perlu menamakan sesiapa sahaja yang kami dengar mempersembahkan lagu. Jika kami mengagak dengan tepat, ayah akan memberi kami satu dolar. Mak mempunyai kesukaannya sendiri - jazz, pop, lagu-lagu lama. Saya suka Adele seperti saya sukakan Tony Bennett. Tetapi setelah menyanyi di American Idol, saya ingin menulis lagu-lagu saya sendiri, lagu-lagu mengenai apa yang saya percayai. Apa yang benar. Apa yang kudus. Bukankah itu yang telah ditunjukkan kepada saya di cermin itu?

Kesempatan mulai terbuka untuk saya. Saya membuat persembahan di tapak persembahan yang semakin besar. Merakamkan lagu -  lagu-lagu saya sendiri. Saya melancarkan album penuh pertama saya pada 2015 dan yang kedua pada tahun lepas. Saya telah memenangi Anugerah Dove dan telah dicalonkan untuk pelbagai kategori Grammy. Kadang-kadang terlalu mempegunkan rasanya! Para pengkritik telah membandingkan saya dengan Amy Grant, seorang penyanyi dengan angka-angka carta Billboard yang akan menggembirakan mana-mana penyanyi arus perdana.

Namun begitu bukanlah kerana pujian atau kejayaan yang menjadikan dua tahun sakit itu berbaloi. Itu bukan cara yang sebetulnya. Kejayaan boleh lenyap secepat ianya datang, dan menderita adalah sebahagian daripada kehidupan. Apa yang benar mengenai hari-hari itu di mana saya menghabiskan waktu berbaring di loteng di bawah sinaran matahari adalah Tuhan telah menunjukkan diri-Nya kepada saya dan dengan pengenalan itu, saya telah menemukan diri saya.



(Diterjemahkan daripada artikel Guideposts bertajuk, "Lauren Daigle: God Showed Me My Future" yang ditulis oleh Lauren Daigle bertarikh 23 Januari 2019)