Isnin, 11 Februari 2019

Alkitab Berusia 1,200 Tahun Dilaporkan Ditemui Semasa Serbuan Oleh Pegawai-Pegawai Turki


Semasa suatu serbuan anti penyeludupan baru-baru ini, pegawai-pegawai kerajaan di Turki telah menjumpai dan merampas sebuah Alkitab yang dipercayai berusia 1,200 tahun. 

Kitab suci kuno itu telah dirampas pada hari Isnin dan dalam keadaan rapuh, menurut sebuah syarikat berita Turki. Teks yang dalam keadaan rapuh itu dipercayai hanya mengandungi 34 muka surat dengan tulisan emas dan dijilid dengan kulit binatang.


Pihak berkuasa di Diyarbakir, salah satu bandaraya terbesar di tenggara Turki, berkata mereka telah merampas Alkitab itu daripada tiga suspek yang didakwa cuba menjual kitab agama itu.

Serbuan yang dramatik itu telah dirakam kamera.



Kitab kuno yang didakwa adalah Alkitab itu memaparkan imej-imej salib Kristian dan bintang Daud orang Yahudi.

Menurut Daily Sabah, asal-usul manuskrip keagamaan itu tidak diketahui, walaupun Diyarbakir terletak di persempadanan Syria-Turki. Turki baru-baru ini telah menjadi destinasi utama penyeludupan barangan antik berkaitan iman dari Syria.

Oleh itu, pihak berkuasa di Turki telah semakin berwaspada dalam usaha mereka menghalang penyeludupan dan penjualan haram barangan artifak.

Berikutan serbuan terbaru ini, pegawai-pegawai kota telah menahan enam suspek. Tiada maklumat lanjut mengenai Alkitab itu pada waktu ini.

(Diterjemahkan daripada artikel Faith Wire bertajuk, "1,200-Year-Old Bible Reportedly Found During Raid By Turkish Officials" yang ditulis oleh Tre-Goins-Phillips bertarikh 6 Februari 2019)