Ahad, 10 Februari 2019

Bagaimana Tuhan Bekerja Melalui Pengalaman Padang Gurun


Tuhan Memimpin Setiap Orang Percaya Ke Padang Gurun Pada Suatu Waktu Atau Ketika

Ya, mungkin tidak setiap orang percaya. Saya tidak dapat berikan suatu ayat Alkitab yang mengatakan itu. Tetapi dalam masa 30 tahun sebagai pastor, saya akan kata bahawa Tuhan memimpin kebanyakan orang percaya ke padang gurun pada suatu waktu atau ketika.

Musa menghabiskan 40 tahun di padang gurun sebelum Allah mengangkatnya untuk memimipin umat Israel keluar dari Mesir. Sebaik sahaja Tuhan melepaskan umat Israel dari perhambaan di Mesir, Dia membawa mereka ke padang gurun. Daud menghabisan banyak masa di padang gurun bersembunyi dari Saul sebelum Tuhan menjadikannya raja. Dan Roh Kudus membawa Yesus ke padang gurun selepas baptisannya selama 40 hari. 

Banyak Keadaan Kita Boleh Menjadi Padang Gurun

Sakit berpanjangan boleh menjadi padang gurun. Berpindah ke tempat baru dan menyertai gereja baru di mana anda tidak mengenali sesiapa boleh menjadi padang gurun. Terperangkap dalam pekerjaan yang teruk atau membosankan dan bukannya kerjaya yang memberi kepuasan seperti yang anda harapkan boleh menjadi padang gurun. Seorang anak yang memberontak atau pasangan suami/isteri yang tidak percaya boleh menjadi padang gurun.

Ketika kita di padang gurun, kita merasa seperti Tuhan tidak melakukan apa-apa. Atau Dia telah melupakan kita. Tettapi Tuhan sentiasa bekerja. Dia menggunakan pengalaman padang gurun dengan banyak cara, seperti yang kita lihat dalam Ulangan 8:2-6:

1) Padang Gurun Merendahkan Hati Kita

Ingatlah seluruh perjalanan yang kamu tempuh dalam pimpinan Tuhan, Allahmu, di gurun selama empat puluh tahun ini. Melalui semua itu Dia bermaksud untuk merendahkan hatimu. (ayat 2, AVB)

2) Padang Gurun Mendedahkan Apa Yang Di Dalam Hati Kita

Menguji kamu, dan mengetahui apa yang ada dalam hatimu, sama ada kamu mahu berpegang teguh pada segala perintah-Nya atau tidak. (ayat 2)

3) Padang Gurun Mengajar Kita Untuk Hidup Oleh Firman Allah

Dia merendahkan hatimu, membiarkan kamu lapar, dan memberi kamu makan manna, iaitu makanan yang belum pernah dikenali, baik oleh kamu mahupun oleh nenek moyangmu, supaya kamu sedar bahawa manusia hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Tuhan. (ayat 3)

4) Padang Gurun Mengajar Kita Bahawa Tuhan Boleh Memberi Kecukupan Kepada Kita Dalam Apa Jua Keadaan

Selama empat puluh tahun ini pakaianmu tidak menjadi usang pada tubuhmu dan kakimu pun tidak menjadi bengkak. (ayat 4)

5) Padang Gurun Mengajar Kita Untuk Takut Akan Tuhan Dan Mentaati-Nya

Maka sedarilah dalam hatimu bahawa seperti seseorang yang mendidik anaknya, demikianlah Tuhan, Allahmu, mendidik kamu. Oleh sebab itu peganglah dengan teguh pada segala perintah Tuhan, Allahmu, dengan cara tetap melangkah mengikut jalan-Nya serta takut kepada-Nya. (ayat 5-6)

Ketika Musa, Israel, Daud dan Yesus berada di padang gurun, Tuhan sedang menyiapkan mereka untuk sesuatu yang lebih besar. Jika anda berada di padang gurun sekarang, ketahuilah bahawa Tuhan sedang bekerja di dalam hidup anda. Jangan putus asa. Percayalah Tuhan. Dia sedang mengerjakan sesuatu yang besar di dalam anda.

(Diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "How God Works Through Desert Experiences" yang ditulis oleh Mark Altrogge bertarikh 21 September 2012)