Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya memohon maaf atas hantaran Facebooknya semalam tentang ‘setem bergambar gereja’.Dalam hantaran terbaru yang ditujukan untuk ‘kawan dan lawan’,
Aminuddin berkata dia mengambil keputusan untuk memadam hantaran tersebut setelah ada pihak yang tidak selesa dengan hantarannya itu.
“Memandangkan hantaran saya pasal setem mendapat liputan yang begitu meluas dan ada pihak rasa tak selesa, maka saya mengambil keputusan untuk padam hantaran berkenaan.
“Terima kasih atas komentar-komentar semua dan pandangan yang diberi walaupun saya tak sempat baca.
“Kepada yang terasa hati, marah, kecewa dan sedih, saya memohon maaf,” katanya di Facebooknya.
Dalam hantarannya semalam, Aminuddin memuat naik gambar sepapan setem dengan imej gereja sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk ‘buli’ kepada umat Islam.
Dalam nada menyindir, Aminuddin menyifatkan setem itu dikeluarkan mungkin kerana kerajaan mahu ‘menarik pelancong’ atau ‘sudah habis idea untuk mereka bentuk setem'.
“Jadi kalau ada orang luar label Malaysia sebagai negara Kristian esok, kita janganlah marah sebab memang kita dah 'gambarkan' demikian.
“Satu lagi bentuk 'buli' kepada umat islam. Hmmmmm.... Oh negaraku,” katanya.
Hantaran tersebut bagaimanapun dipadam hari ini setelah berdepan teguran dan kecaman warganet.
Sementara itu, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini menjelaskan ‘setem gereja’ itu merupakan siri setem tempat ibadat yang sebenarnya dikeluarkan sejak 2016 lagi.
Menurut Pos Malaysia, Setem Tempat Ibadat siri pertama dikeluarkan pada November 2016 manakala siri kedua dikeluarkan pada 15 Mei lalu.
Jelas Pos Malaysia, untuk siri kali ini, antara rumah ibadat yang diketengahkan ialah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Kelantan), Tokong Hong San Si (Sarawak), Sri Karthivel Murugan Maha Parasakthi Patchai Amman (Perak), Gereja St. George (Pulau Pinang) dan Gurdwara Sahib (Wilayah Persekutuan Labuan).
Menurut Pos Malaysia lagi, rumah-rumah ibadat dipilih untuk mengetengahkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan pada masa yang sama memaparkan keunikan senibina dan sejarah tempat-tempat tersebut.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Setem Gereja: Presiden Isma Padam Hantaran, Mohon Maaf" bertarikh 17 Mei 2019)