Jumaat, 17 Mei 2019

Setem Rumah Ibadat Telah Dikeluarkan Sejak 2016 - Pos Malaysia


Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menjelaskan ‘setem gereja’ seperti dimuat naik Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya di Facebooknya semalam sudah dikeluarkan secara bersiri sejak 2016 lagi.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Pos Malaysia berkata gambar yang dimuat naik Aminuddin di Facebooknya semalam adalah daripada setem tempat ibadat siri kedua.
“Pos Malaysia telah mengeluarkan siri setem Tempat Ibadat Siri II pada 15 Mei yang lalu.
“Siri pertama dikeluarkan pada November 2016,” katanya melalui satu kenyataan ringkas.
Dalam hantaran semalam, Aminuddin memuat naik sepapan setem yang memaparkan gambar gereja dengan menyifatkannya satu bentuk ‘buli’ kepada umat Islam.
“Selari dengan konsep Rahmatan lil Alamin ini, maka kerajaan telah mengeluarkan setem bergambar gereja. Mungkin nak tarik pelancong agaknya. (Atau sudah habis idea untuk design apa).
“Jadi kalau ada orang luar label Malaysia sebagai negara Kristian esok, kita janganlah marah sebab memang kita dah 'gambarkan' demikian.
“Satu lagi bentuk 'buli' kepada umat Islam. Hmmmmm.... Oh negaraku,” katanya di Facebook.
Bagaimanapun, hari ini, Malaysiakini mendapati hantaran berkenaan tidak dapat lagi ditemui selepas mendapat kecaman warganet.

Menerusi kenyataan terdahulu, Pos Malaysia menjelaskan antara rumah ibadat yang diketengahkan untuk siri kali ini adalah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Kelantan), Tokong Hong San Si (Sarawak), Sri Karthivel Murugan Maha Parasakthi Patchai Amman (Perak), Gereja St. George (Pulau Pinang) dan Gurdwara Sahib (Wilayah Persekutuan Labuan).
Katanya lagi, rumah-rumah ibadat dipilih untuk mengetengahkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan pada masa yang sama memaparkan keunikan seni bina dan sejarah tempat-tempat tersebut.
Menurut Pos Malaysia lagi, sebelum siri pertama tempat ibadat yang dikeluarkan pada 2016, ia juga pernah mengeluarkan siri setem “Masjid di Malaysia” pada tahun 2015 sempena memperingati ulang tahun ke-50 Masjid Negara.
Untuk siri kali ini, katanya, sejumlah 1,000,000 keping setem dikeluarkan dengan 200,000 keping untuk setiap reka bentuk.
“Lima helaian setem bernilai RM80.00 setiap satu dan setiap helaian (papan) mengandungi 20 keping setem,” kata kenyataan itu lagi.
Selain setem, Pos Malaysia memaklumkan turut menghasilkan produk filateli lain seperti Sampul Hari Pertama (FDC), brosur, folder siri dan cap tarikh khas berupa lima kubah rumah-rumah ibadat.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Setem Rumah Ibadat Telah Dikeluarkan Sejak 2016 - Pos Malaysia" yang ditulis oleh M Fakhrull Halim bertarikh 17 Mei 2019)