Selasa, 31 Disember 2019

Sediakah Anda Untuk... Cabaran Saat Teduh 20 Hari Tahun 2020?


Shalom! Saya sedang menjalankan cabaran "Saat Teduh 2020" bersama rakan-rakan segereja dan juga kawan-kawan di Facebook. 

Bagaimana untuk menyertainya?

Mudah saja. Anda hanya perlu menjalankan saat teduh minima 20 minit setiap hari selama 20 hari pertama 2020.

Untuk saling mendorong, anda boleh menyatakan petikan Alkitab yang anda telah baca sewaktu saat teduh itu di ruangan Facebook domba2domba (di bawah).

Beberapa soalan yang biasa ditanya:

Mengapakah hanya menjalankan selama 20 minit? Cukupkah itu?

Untuk cabaran ini, telah diletakkan 20 minit sebagai minima supaya mudah dicapai. Anda tentu saja boleh melakukan dengan masa yang melebihi 20 minit! 

Mengapakah hanya 20 hari? Bukankah kita harus melakukannya setiap hari?

Untuk tujuan cabaran ini, hanya diletakkan 20 hari sebagai matlamatnya. Itu adalah kerana ramai pengkaji yang menyatakan bahawa kita perlu melakukan sesuatu secara berterusan selama 21 hari untuk menjadikannya suatu "tabiat baru" (new habit) atau "amalan baru harian."

Angka 20 itu adalah angka yang paling dekat kepada 21, jadi difikirkan bahawa cabaran 20 hari ini akan membawa kita lebih dekat untuk membina amalan baru saat teduh secara harian. 

Adakah cabaran ini akan berakhir pada 20 Januari 2020?

Tidak, cabaran ini tidak akan berakhir pada 20 Januari.

Kami percaya bahawa kawan-kawan akan terus mengadakan saat teduh mereka sehingga hujung Januari.

Namun begitu kami akan anjurkan lagi cabaran baru pada 1 Februari (ya untuk 20 hari lagi di bulan Februari!). 

Sebabnya kami percaya bahawa kebanyakan orang gagal mencapai Tekad Tahun Baru mereka adalah kerana hanya mengfokuskan dengan tindakan mereka selama minggu-minggu pertama tahun baru. Apabila mereka gagal melaksanakan rancangan mereka, mereka akan kecewa dan melepaskan tekad tahun baru itu sebagai tidak realistik dan tidak dapat dicapai.

Ramai orang gagal apabila hanya bertekad sekali setahun. Saya percaya bahawa kita perlu ada tekad baru setiap bulan! Ertinya pada setiap bulan kita akan memperbaharui tekad untuk melakukan apa yang kita impikan.

"Kita perlukan bukan saja Tekad Tahun Baru,
Kita juga perlukan Tekad Bulan Baru,
Malahan kita perlu ada Tekad Hari Baru!"


Malahan kita perlu ada tekad baru setiap hari! Sebabnya Tuhan menciptakan hari baru bagi kita setiap hari. Sekalipun kita gagal mencapai dengan sempurna apa yang kita rancangkan hari ini, esoknya adalah hari baru untuk kita berusaha lagi. 

Oleh itu kita akan pakai pendekatan tekad tahun baru, tekad bulan baru dan tekad hari baru untuk kempen saat teduh ini. 

Bukankah dalam kitab Kejadian, Allah telah menciptakan matahari, bulan dan bumi:

  • di mana putaran harian bumi mengelilingi matahari akan menciptakan hari baru setiap hari? 
  • di mana pergerakan bulan yang lengkap (28 hari) mengelilingi bumi akan menciptakan bulan baru?
  • di mana pergerakan bumi yang lengkap mengelilingi matahari (365 hari) akan menciptakan tahun yang baru?

Oleh itu kami mengajak anda untuk sama-sama mengikuti cabaran Saat Teduh 2020 ini dengan menggunakan pendekatan tekad tahun baru, bulan baru dan hari baru.

Bagaimana untuk mengadakan Saat Teduh secara peribadi?

Ada banyak artikel yang menjelaskan mengenai bagaimana mengadakan saat teduh. tetapi saya hanya ringkaskan dengan 4 langkah mudah ini:

gihkan masa untuk Saat Teduh
aca satu petikan Alkitab
atit apa yang dipelajari dalam buku nota
oakan apa yang telah dipelajari

Bilakah waktu yang baik untuk memulakan Saat Teduh?

Kita cuba mulakan bersama-sama pada 1 Januari 2020! Tetapi kita boleh memulakan pada bila-bila waktu saja (tak semestinya 1 Januari saja!). Hari ini adalah hari yang terbaik untuk memulakan Saat Teduh kita. 

"Kerana kasih setia Tuhan tidak pernah lenyap,belas kasihan-Nya tidak akan pudar.
Semuanya baru setiap pagi.
Besarnya kesetiaan-Mu!"(Ratapan 3:22-23, AVB)

Mari sertailah kempen ini bersama kami hari ini! (Tak kira anda memulai dari 1 Januari atau hari yang lain, ikut saja bersama kami!). Untuk saling mendorong, tuliskan rujukan petikan Alkitab yang anda telah baca sewaktu saat teduh itu di ruangan komen Facebook domba2domba di bawah (sila tuliskan juga waktu dan tempat anda melakukannya, contoh: "Yohanes 1, pada 6 pagi di rumah").