Selasa, 24 Disember 2019

Kementrian Pendidikan Sahkan Surat Tular Rakan Siswa Yadim Diizin Jalankan Aktiviti Dakwah Di Sekolah & Institusi Pendidikan


Kementrian Pendidikan telah mengesahkan kewujudan surat kementrian yang memberikan kebenaran kepada 'Rakan Siswa' Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjalankan aktiviti dakwah di sekolah, institusi pendidikan guru, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan beberapa universiti swasta yang terpilih di Malaysia. Namun begitu, Kementrian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan perkara itu. Berikut liputan dari artikel Malaysiakini:

Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa aktiviti 'Rakan Siswa' Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sekolah dan institusi pengajian tinggi bukan satu langkah Islamisasi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kebenaran untuk menjalankan aktiviti Rakan Siswa Yadim masih tertakluk kepada kebenaran institusi dan sekolah serta terhad kepada pelajar beragama Islam yang ingin terlibat secara sukarela.

"KPM ingin menegaskan bahawa aktiviti ini bukannya langkah Islamisasi dan tidak melibatkan murid bukan Islam serta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah mubaligh.

"KPM memberi jaminan bahawa Rakan Siswa YADIM bertanggungjawab mematuhi peraturan sedia ada dan prinsip kebebasan beragama bagi murid bukan Islam.

"Pihak sekolah juga diminta memantau dan memastikan aktiviti tersebut tidak sama sekali melibatkan murid yang bukan beragama Islam," jelas kenyataan tersebut.

Surat Kementrian Pendidikan kepada pengarah pendidikan negeri-negeri

Semalam, Presiden MCA Wee Ka Siong mendedahkan surat Kementerian Pendidikan kepada semua pengarah pelajaran negeri mengenai aktiviti Rakan Siswa Yadim untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan universiti swasta terpilih.

Wee mempersoalkan mengapa penyebaran agama dicampuradukkan di sekolah.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan hari ini berkata ia memandang serius penularan surat berkenaan yang boleh menyebabkan salah faham di kalangan orang ramai.

"KPM ingin memaklumkan bahawa surat tersebut merupakan dokumen pentadbiran antara KPM dengan institusi pendidikan untuk menggalakkan program kepimpinan dalam kalangan murid.

"Kebenaran untuk menjalankan aktiviti Rakan Siswa Yadim adalah tertakluk kepada kebenaran institusi/sekolah dan terhad kepada murid beragama Islam yang mahu terlibat secara sukarela," katanya.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "KPM: Aktiviti Rakan Siswa Yadim Di Sekolah Bukan Islamisasi" bertarikh 24 Disember 2019)