Jumaat, 31 Januari 2020

Ikon Tinju Manny Pacquiao: Hidup Terlalu Singkat. Baca Alkitab, Buku Panduan Kehidupan


Senator Filipina, Manny Pacquiao telah berjaya mempertahankan kejuaraan WBAnya dua kali pada tahun lepas, mengalahkan Adrien Broner dan Keith Thurman dan membuktikan kehebatannya dalam gelanggang tinju meskipun pada usia 41 tahun. Tetapi bagi Pacquiao, ada satu lagi kecintaan yang lebih besar berbanding menjadi seorang ikon tinju, dan itu adalah menyebarkan Firman Tuhan.

Pacquiao menganggap kejayaannya dalam gelanggang adalah berpunca dari Tuhan dan kerja keras, dan dia sering menyuarakan secara lantang mengenai iman Kristiannya.

Sebagai seorang anggota Dewan Negara Filipina, Manny Pacquiao telah mengusulkan perundangan yang mengisytiharkan Isnin terakhir Januari sebagai Hari Alkitab Kebangsaan di Filipina. Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat - kerajaan, dunia hiburan, perniagaan, dan gereja - bersatu pada hari ini untuk meraikan Kitab Suci Alkitab sebagai asas iman Kristian. Dan 100,000 Alkitab telah dicetak bagi acara ini untuk diberikan kepada pelbagai sektor masyarakat. 

100,000 Alkitab dicetak untuk acara Hari Alkitab Kebangsaan di Filipina

Pada acara Hari Alkitab Kebangsaan pada minggu ini, Pacquiao telah berkongsi kesaksiannya dan mengingatkan semua orang betapa berkuasanya Firman Tuhan. Dia juga memberi mereka cabaran untuk mengongsikan Alkitab sekerap yang mereka dapat, terutamanya pada waktu ini ketika begitu banyak bencana di Filipina dan di sekeliling dunia.

Pacquiao berucap kepada para hadirin dengan berkata, "Alkitab adalah satu-satunya buku yang kita perlukan untuk mengetahui kebenaran asas bagaimana untuk mengenali dan hidup berhubungan dengan Tuhan."

Pacquiao merasa sedih kematian secara mengejut sahabatnya, Kobe Byrant. Dia berharap laporan-laporan bahawa Byrant telah menerima Kristus adalah benar. "Hidup terlalu singkat di bumi. Jadi pastikan anda memiliki hubungan peribadi dengan Tuhan. Anda perlu memiliki hubungan yang kuat dan mentaati Tuhan," katanya.

Sekali lagi dia menekankan kepentingan membaca Firman Tuhan, "Bacalah Alkitab sebab ianya akan memimpin anda ke dalam segala kebenaran. Alkitab adalah buku panduan kehidupan."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel CBN News bertajuk, "Boxing Icon Manny Pacquiao: Life Is Too Short. Read the Bible, the Manual to Life" yang ditulis oleh Lucille Talusan bertarikh 30 Januari 2020)