Khamis, 13 Februari 2020

Tiada Perkembangan Siasatan Dorong Isteri Pastor Koh Saman Polis


PETALING JAYA: Tiada perkembangan dan penyelesaian daripada pasukan petugas khas yang ditubuh untuk menyiasat kehilangan Raymond Koh menjadi pendorong utama keluarga pastor itu mengemukakan tindakan undang-undang.
Semalam, isteri pastor Koh, Susanna Liew memfailkan saman terhadap polis, selepas waris aktivis Perlis yang hilang menyaman kerajaan dan pasukan keselamatan itu 4 bulan lalu.

Katanya, berita mengenai kehilangan suaminya sudah mencecah 3 tahun dan keluarga hanya diminta bersabar sejak kehilangan paksa itu.

“Kami tidak menerima apa-apa perkembangan daripada pasukan petugas khas walaupun Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) sudah menyarankan agar mereka melaporkan perkembangan kes kepada keluarga dari masa ke masa,” katanya pada sidang media, ditemani 2 peguam bela, Jerald Gomez dan Michelle Wong.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau masih menunggu laporan itu yang sepatutnya diserahkan pada Dis lalu.

Dalam satu dokumen penyataan tuntutan yang diberikan kepada media, antara nama-nama yang disenarai dalam saman terhadap polis ialah bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun; bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2), Cawangan Khas di Bukit Aman Awaludin Jadid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed dan 10 nama lain.

  • Dokumen itu turut menyebut 5 tuntutan iaitu:
  • penculikan Pastor Koh yang salah di sisi undang-undang.
  • kegagalan memberi atau mendedahkan keberadaan Pastor Koh.
  • misfeasans (salah laku) dalam jawatan awam.
  • konspirasi untuk mencederakan.
  • kecuaian.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017, manakala Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 Nov 2016, selepas meninggalkan rumahnya di Kangar.

Pada 3 April tahun lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Pada 18 Nov tahun lalu, Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada Amri Che Mat memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut pelbagai ganti rugi atas penderitaan beliau dan anaknya akibat dakwaan kecuaian dan salah laku pihak berkuasa dalam siasatan kes kehilangan suaminya.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Tiada Perkembangan Siasatan Dorong Isteri Pastor Koh Saman Polis" yang ditulis oleh Nur Hasliza Mohd Salleh bertarikh 12 Februari 2020)