Khamis, 21 Mei 2020

Adakah Hari Sabat & Persepuluhan Untuk Gereja Masa Kini?



Oleh Si Domba Putih:

Persoalan mengenai Hari Sabat dan Persepuluhan amat menarik. 

Ada orang Kristian yang mengatakan bahawa oleh kerana kita tidak lagi hidup di bawah Taurat, maka kita tidak lagi tertakluk kepada amalan persepuluhan.

Jika itu benar kenapakah orang yang sama itu dengan tekun mengamalkan Hari Sabat? Kalau seseorang itu menolak amalan persepuluhan kerana dikatakan kita bukan lagi di bawah Taurat, mengapakah orang yang sama itu menyatakan kita harus menguduskan sehari dalam seminggu untuk Tuhan? Bukankah itu kelihatan suatu percanggahan, atau paling kurang suatu pendirian yang tidak konsisten?

Jadi adakah Persepuluhan masih sesuai, dan adakah Hari Sabat masih sesuai kepada kita sebagai umat Kristian?

Untuk menjawab soalan ini, saya akan berikan tiga poin utama:

a) Hari Sabat dan Persepuluhan tidak bermula dari Taurat

Untuk mereka yang memberi hujah bahawa kita tidak harus lagi mengamalkan Hari Sabat dan Persepuluhan kerana kita bukan lagi di bawah Taurat, saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa kedua-duanya tidak berasal dari Taurat. Kedua-duanya telah pun dinyatakan lama sebelum Taurat wujud.

Semasa penciptaan langit dan bumi, Allah telah menunjukkan Pola dan Teladan kepada umat manusia dengan berehat pada hari yang ketujuh. Lama sebelum adanya Musa dan Taurat, Allah telah menunjukkan betapa pentingnya untuk berehat sehari dalam tujuh hari. 


Berehat sehari dalam seminggu telah menjadi amalan Kristian selama berkurun-kurun sehingga kini sejak Yesus dibangkitkan dari maut. Sehingga hari ini, dunia modern juga mengikuti sistem rehat sehari dalam seminggu. 

Adakah orang-orang Kristian mengikuti ini kerana Taurat? Tentu sekali bukan, amalan rehat sehari dalam seminggu telah didasari dari Teladan Allah sejak penciptaan dunia. 

Persepuluhan juga tidak bermula dengan Taurat! Lama sebelum adanya Musa dan Taurat, Abrahamlah yang telah menjadi pelopor memberi persepuluhan. Dalam Kejadian 14:17-20, Abraham dicatit telah memberikan persepuluhan kepada Melkisedek, imam Allah. Dengan itu Abraham telah menjadi Pola dan Teladan dalam memberi persepuluhan.

Melkisedek memberkati Abraham (Kejadian 14)

Siapakah Abraham itu? Dia adalah Bapa Iman kita (baik orang-orang Yahudi mahupun orang Kristian mengakuinya demikian). Dan dia telah menunjukkan satu pola yang kemudian juga menjadi sebahagian daripada Taurat.

Siapakah Melkisedek itu? Ibrani fasal 7 mengaitkan Melkisedek dengan Imam Besar kita, Yesus Kristus! Jadi pemberian persepuluhan Abraham itu bukan hanyalah satu pemberian pada zamannya semata-mata, tetapi mempunyai erti perlambangan yang besar bagi kita yang hidup dalam Perjanjian Baru, iaitu pemberian persepuluhan kita adalah kepada Yesus, Imam Besar kita.

Kepadanya pun (Melkisedek) Abraham memberikan sepersepuluh dari semuanya. Menurut arti namanya Melkisedek adalah pertama-tama raja kebenaran, dan juga raja Salem, yaitu raja damai sejahtera. Ia tidak berbapa, tidak beribu, tidak bersilsilah, harinya tidak berawal dan hidupnya tidak berkesudahan, dan karena ia dijadikan sama dengan Anak Allah, ia tetap menjadi imam sampai selama-lamanya. Camkanlah betapa besarnya orang itu, yang kepadanya Abraham, bapa leluhur kita, memberikan sepersepuluh dari segala rampasan yang paling baik. (Ibr 7:2-3)

Selain Abraham, Yakub (yang juga hidup sebelum adanya Taurat) juga memberi persepuluhan. Dia bernazar memberi persepuluhannya dalam Kejadian 28:20-22. Ini satu lagi tokoh Bapa leluhur kita yang memberi persepuluhan. Yakub mengikut jejak datuknya, Abraham dalam memberi persepuluhan.

b) Kita masih di bawah Prinsip Hari Sabat dan Persepuluhan sungguhpun kita tidak lagi di bawah Taurat.

Ya, benar kita tidak lagi hidup di bawah Taurat. Namun begitu kita masih di bawah Prinsip Hari Sabat dan Persepuluhan.

Apakah Prinsip di sebalik Hari Sabat dan Persepuluhan?

Sebelum saya jelaskan prinsip Hari Sabat, biarlah saya jelaskan bahawa Allah sebenarnya tidak perlu berehat pada hari ketujuh selepas penciptaan dunia. Bukankah Allah Maha Kuasa? Dia tidak perlukan rehat seperti manusia. Yesaya 40:27 menyatakan:

Tidakkah kautahu, dan tidakkah kaudengar? TUHAN ialah Allah kekal yang menciptakan bumi dari ujung ke ujung; Ia tidak menjadi lelah dan tidak menjadi lesu, tidak terduga pengertian-Nya.

Allah berehat pada hari ketujuh untuk memberi Pola dan Teladan kepada umat manusia. Allah memberikan Petunjuk dan Prinsip untuk diikuti oleh manusia. Dan oleh kerana manusia yang keras kepala mungkin tidak memahami Petunjuk dan Prinsip yang telah Dia berikan melalui Teladan-Nya, Allah kemudiannya telah memasukkan amalan Hari Sabat sebagai Perintah dalam Taurat supaya diikuti umat-Nya. 

Apakah yang merupakan Prinsip di sebalik Hari Sabat? Ianya adalah bahawa manusia harus berehat sekali seminggu. Walaupun kita bukan lagi hidup di bawah Taurat, tetapi kita masih di bawah Prinsip yang telah ditunjukkan dari Teladan Allah sendiri - bahwa kita perlu rehat sehari dalam seminggu.

Begitu juga halnya dengan Persepuluhan. Kita tidak lagi tinggal di bawah Taurat tetapi kita masih di bawah prinsip Persepuluhan. Apakah Prinsip di sebalik Persepuluhan? Ianya adalah bahawa umat-Nya harus mengembalikan satu bahagian daripada sepuluh kepada Tuhan.

Bawalah seluruh persembahan persepuluhan itu ke dalam rumah perbendaharaan, supaya ada persediaan makanan di rumah-Ku dan ujilah Aku, firman TUHAN semesta alam, apakah Aku tidak membukakan bagimu tingkap-tingkap langit dan mencurahkan berkat kepadamu sampai berkelimpahan. (Maleakhi 3:10)

c) Prinsip Hari Sabat Bukan Hanya Berehat, dan Prinsip Persepuluhan Bukan Hanya Memberi

Ada orang yang mengatakan bahawa prinsip Hari Sabat adalah Rehat, dan prinsip Persepuluhan adalah Memberi. Itu tanggapan yang hanya separuh benar. Prinsip Hari Sabat bukan semata-mata Berehat, ianya memiliki petunjuk yang sangat khusus yang telah diberikan oleh Allah. Petunjuknya yang khusus adalah manusia harus berehat sehari dalam seminggu.

Cuba bayangkan apa akan terjadi jika kita tidak mengikut Prinsip Hari Sabat seperti yang ditunjukkan oleh Allah? Kalau setiap orang kata yang penting adalah Rehat, tak kiralah nak rehat sekali seminggukah, atau sekali dalam sebulankah, itu terserah masing-masing. Apakah yang akan terjadi kepada manusia?

Manusia akan berehat mengikut sesuka hatinya tanpa apa-apa panduan. Ada orang yang mungkin terlebih banyak rehat, dan ada ramai orang yang akan terlalu kurang rehatnya sehingga menjejaskan kesihatan tubuh badan dan mental manusia.

Ahli-ahli sains mendapati bahawa manusia perlu berehat sekurang-kurangnya sekali seminggu supaya dapat memulihkan serta memperbaharui kecergasan tubuh dan minda. Tuhan tak perlu diberitahu oleh ahli-ahli sains, Dialah Pencipta manusia, dan Dia sudah tahu bahawa tubuh dan minda manusia perlukan rehat sehari dalam seminggu.

Begitu juga halnya dengan Persepuluhan. Ada orang yang katakan bahawa yang penting kita memberi, tak perlu kita nak bagi persepuluhan. Namun begitu, firman Allah jelas menunjukkan bahawa Allah telah memberikan kita contoh dari Abraham yang memberi persepuluhan, dan yang kemudiannya itu juga diperintahkan dalam Taurat.

Cuba bayangkan apa akan terjadi jika kita tidak mengikut Prinsip Persepuluhan seperti yang ditunjukkan oleh Allah? Kalau setiap orang kata yang penting adalah Memberi, tak kiralah nak bagi persepuluhankah atau seperatusankah, atau apa-apa sahaja jumlah, itu terserah masing-masing. Apakah yang akan terjadi kepada pelayanan di rumah Tuhan?


Manusia akan memberi mengikut sesuka hatinya tanpa apa-apa panduan. Kemungkinan besar ramai yang akan memberi jauh lebih rendah daripada persepuluhan yang ada padanya. Persepuluhan adalah cara yang paling adil yang telah diberikan Tuhan. Sebabnya adalah semua orang samada orang yang miskin atau yang kaya dapat memberi sepersepuluh daripada hasilnya.

Orang miskin yang memberi RM10 (kerana pendapatannya RM100) tidak perlu merasa malu akan pemberiannya sebab Tuhan menilai pemberiannya sama seperti seorang kaya yang memberi RM1,000 (kerana pendapatan RM10,000).

Orang kaya juga tidak dapat bermegah kerana persepuluhannya yang RM1,000 sebab Tuhan menilai persepuluhannya sama dengan persepuluhan RM10 dari seorang yang miskin.

Jika saya menetapkan sumbangan pemberian RM100 sebulan daripada setiap ahli gereja, itu tidak akan adil, sebab jumlah itu sangat sedikit untuk orang-orang kaya tetapi sangat besar bagi orang-orang miskin. Maka Tuhan telah memberikan sistem yang paling adil dan yang dapat dilaksanakan oleh setiap orang walau apa kedudukannya.

Seperti mana Tuhan telah menetapkan sehari dalam seminggu untuk kita berehat dan beribadah di rumah-Nya, Dia juga telah menetapkan sepersepuluh untuk kita memberi kepada pekerjaan di Rumah Tuhan.

Kesimpulan

Tuhan telah meletakkan prinsip Hari Sabat supaya manusia berehat secukupnya untuk memelihara kesihatan tubuhnya. Tuhan juga telah meletakkan prinsip Persepuluhan untuk memelihara kecukupan keperluan pelayanan di rumah Tuhan.

Tuhan tidak meletakkan prinsip rehat semata-mata, Dia telah meletakkan prinsip rehat yang khusus iaitu sehari dalam tujuh hari. Begitu juga, Tuhan tidak hanya meletakkan prinsip memberi semata-mata, tetapi juga telah meletakkan prinsip pemberian persepuluhan.