Selasa, 1 Disember 2020

4 Peranan Muzik Dalam Penyembahan



Sambil kita bangun setiap pagi, sambil kita memandu pergi balik kerja, sambil kita bersenam di gim, dan sambil kita menjalani hari-hari kita, apakah yang kita sering dengar? Setiap Ahad sambil kita berkumpul bersama untuk menyembah Tuhan, apakah yang menjadi rangka kebaktian kita? Anda meneka dengan betul: muzik.

Muzik memiliki beberapa tujuan yang jelas dalam kehidupan kita dan terutamanya dalam tradisi Kristian kita. Mari kita menyelidiki beberapa di antaranya.  

1. Muzik mengajar kita mengenai Injil

Lagu-lagu hymn dan rohani menjelaskan iman kita. Sesungguhnya, melodi dan senikata yang menyertai muzik menyatakan iman kita dengan cara yang sangat dapat diingati. Sebelum kita mendengar sesuatu ayat Firman Tuhan dibaca atau dikhutbahkan dalam kebaktian, kita telah menjelajah halaman demi halaman melalui nyanyian kita. Lagu-lagu hymn dan bentuk-bentuk lain muzik mengajar kita mengenai Berita Baik, menyentuh hati dan juga minda kita.

2. Muzik menghubungkan kita dengan Tuhan dengan cara-cara yang istimewa

Tujuan muzik bagaimana pun menjangkau lebih jauh daripada pengajaran semata-mata. Dalam banyak cara, ianya membolehkan satu hubungan secara terus dengan Tuhan dengan cara yang tidak dapat dan tidak dilakukan oleh khutbah. Menyanyi membukakan laluan untuk sebahagian hati kita berbicara dengan Tuhan dengan suatu cara yang tidak terjadi ketika kita mendengar Firman yang diucapkan. 

Pernahkan anda memperhatikannya? Sesuatu yang menakjubkan terjadi apabila kita menyanyi. Anda boleh merasakannya apabila anda menyanyi seorang diri, tetapi terutamanya apabila anda menyanyi sebagai sebahagian daripada sesuatu komuniti, suatu jemaat dalam penyembahan. Sesuatu terbangun bukan saja dalam hati setiap peribadi, tetapi juga dalam hati keseluruhan tubuh Kristus, menghubungkan kita satu dengan lain dan kepada Tuhan dengan sedalam-dalamnya diri kita.

Menyanyi sebagai sebahagian daripada penyembahan Kristian adalah jauh lebih daripada latihan minda semata-mata. Tuhan telah menciptakan kita untuk berkomunikasi dengan kedalaman roh kita, dan menyanyi adalah satu cara kita dapat melakukan ini dengan cara yang amat mendalam dan bermakna.

3. Muzik membolehkan kita mengungkapkan cinta kita kepada Tuhan dengan seluruh keberadaan kita

Alkitab memerintahkan kita untuk, "Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu" (Ulangan 6:5 AVB). Ayat ini menekankan mengenai seluruh tubuh, bukan melalui perbuatan luaran tetapi penyerahan dan cinta.

Dalam Perjanjian Baharu, Yesus menjawab seorang pengajar Taurat yang menanyakannya mengenai hukum yang terutama dengan menunjuk balik kepada petikan yang sama ini, sambil mengatakan, "Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu" (Matius 22:37).

Menyanyi adalah salah satu cara di mana kita mengungkapkan cinta kita terhadap Tuhan dengan seluruh keberadaan kita. Kita melibatkan setiap bahagian diri kita dalam penyembahan kepada Tuhan. 

Menyembah menerusi muzik mengubah dan mentransformasikan kita. Ianya mencenderungkan hati kita kepada Tuhan dengan cara kaedah-kaedah lain tidak dapat lakukan. Penyembahan menguatkan kita, menginsafkan kita, membina kita, dan juga memulihkan kita. Dengan perkataan lain, apabila kita menyanyi dan menyerahkan seluruh diri kita kepada Tuhan. sesuatu yang ilahi terjadi di dalam kita.

4. Muzik sebagai penyembahan memenuhi perintah Tuhan

Dalam seluruh Kitab Suci, kita diperintahkan untuk menyanyi. Dalam Mazmur (doa-doa yang dituliskan untuk muzik, lagu-lagu hymn Perjanjian Lama) kita membaca, "Aku ke tempat menyembah-Mu, ya Tuhan, supaya aku dapat mengisytiharkan dengan suara kesyukuran segala perbuatan-Mu yang menakjubkan" (Mazmur 26:6-7); "Menyanyilah kepada Tuhan dengan kecapi, dengan kecapi dan nyanyian mazmur" (Mazmur 98:5); dan "Sembahlah Tuhan dengan sukacita; datanglah ke hadirat-Nya dengan nyanyian" (Mazmur 100:2).

Tuhan memanggil kita menyanyi pujian kepada Tuhan dan untuk menyanyi dalam hadirat-Nya. Perjanjian Baharu mengesahkan panggilan ini. Paulus menggesa orang-orang di Efesus (dan kita) untuk, "penuhi diri dengan Roh. Berkata-katalah sesama sendiri dengan mazmur, lagu pujian serta nyanyian rohani, menyanyi dan berlagu untuk Tuhan dalam hatimu. Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Tuhan kita Yesus Kristus." (Efesus 5:18-20).

Dari Hati

Menyanyi adalah sebahagian penting siapa diri kita, yang telah diciptakan oleh Tuhan. Kita telah dibentuk secara istimewa. Kita memiliki kurnia-kurnia, kekuatan dan kegemaran gaya muzik yang berbeza. Alkitab menggalakkan kita untuk mencari muzik yang memperbolehkan hati kita menyanyi dan berhubung dengan Tuhan. Apa yang menyentuh hati kita mungkin muzik dari Kings College Cambridge, lagu doa Kirk Franklin, suasana jazz ketika Perjamuan Kudus, atau mana-mana genre yang luas. 

Muzik yang memuliakan Tuhan akan membuat hati kita menyanyi. Dan ketika kita menyanyi, penyembahan terjadi. Kita ditransformasikan di dalam kita sambil kita dipenuhi Roh Kudus dan menyerahkan seluruh diri kita dalam penyembahan, dan kesyukuran kepada Bapa syurgawi.

Pernahkah Tuhan menggunakan muzik dalam penyembahan untuk menyentuh hati dan hidupmu dengan cara yang istimewa? Saya suka mendengarkannya. 

(Diterjemahkan daripada adaptasi khutbah Bishop Brewer pada hari Ahad, 4 Oktober, 2015 di St Mark's Haines City, semasa Sambutan Ulangtahun ke-125 dan Pesta Hymn)