Khamis, 11 Mac 2021

Kalimah Allah: Kerajaan Perlu Rayu Keputusan Mahkamah Tinggi, Kata PPBM


PUTRAJAYA: Seorang pemimpin PPBM berpandangan kerajaan sepatutnya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”.

Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau sudah menyuarakan pandangan itu kepada sebilangan menteri Kabinet.

“Saya telah menghubungi beberapa rakan dalam Kabinet untuk menyuarakan pandangan saya dan saya harap kita akan dapat penyelesaian terbaik. Saya juga merasakan kerajaan perlu membawa isu ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan.

Pendirian PPBM itu senada dengan gesaan Muafakat Nasional (MN) semalam terhadap kerajaan supaya mencabar keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi itu.

Wan Saiful berkata, sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terus tegas untuk tidak mencampuri urusan mahkamah harus dipuji, namun begitu, sistem perundangan perlu mengambil kira suasana dan adat setempat dalam negara.

“Maka dalam hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam sebegini, ada keperluan untuk ia ditangani dengan cermat dan teliti,” kata beliau.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah serta tidak berperlembagaan.

Justeru, hakim Noor Bee Ariffin membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, penganut Kristian dari Sarawak, menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kalimah Allah: Kerajaan Perlu Rayu Keputusan Mahkamah Tinggi, Kata PPBM" bertarikh 11 Mac 2021)