Selasa, 20 September 2022

'Kita Akan Bertemu Lagi': Baca Khutbah Penuh Bishop Besar Canterbury di Kebaktian Pengebumian Ratu Elizabeth


Sambil jutaan orang di sekeliling dunia menyaksikan pengebumian Ratu Elizabeth II, Bishop Besar Canterbury, Justin Welby menyatakan dalam khutbahnya bahawa "sedikit saja pemimpin menerima pencurahan kasih sayang seperti yang kita saksikan" untuk Baginda.

Welby menyatakan juga bahawa Ratu itu telah mengatakan, "kita akan bertemu lagi" sewaktu siaran awamnya semasa penutupan dan penyekatan COVID-19 pada 2020, dan orang-orang yang meratapinya yang "mengikuti teladan dan inspirasi iman dan kepercayaan Ratu pada Tuhan" dapat mengatakan hal yang sama. 

"Perkhidmatan semasa hidup, pengharapan dalam kematian," dia berkata di Westminster Abbey pada hari Isnin. 

Baca seluruh khutbahnya di sini:

"Pola untuk ramai pemimpin adalah dimuliakan semasa kehidupan dan dilupakan selepas kematian. Pola untuk semua orang yang melayani Tuhan, yang terkenal atau tidak dikenali, dihormati atau diabaikan - adalah kematian adalah gerbang kepada kemuliaan. 

Mendiang Baginda dengan mashyur telah mengisytiharkan pada siaran usia 21 tahun bahawa seluruh hidupnya akan didedikasikan untuk berkhidmat bagi negara dan Komanwel.  

Jarang-jarang kita melihat janji yang seperti itu ditunaikan dengan begitu baik sekali! Sedikit saja pemimpin yang menerima pencurahan kasih sayang seperti yang kita saksikan. 

Yesus - yang dalam pembacaan kita tadi tidak memberitahu murid-murid-Nya bagaimana untuk mengikuti, tetapi siapa untuk mengikuti - berkata, 'Akulah jalan, kebenaran dan kehidupan.' Teladan mendiang Baginda tidak ditunjukkan menerusi kedudukannya atau cita-citanya, tetapi menerusi siapa yang diikutinya. Saya tahu Baginda berkongsi iman dan pengharapan pada Yesus Kristus sepertimana ibunya, dengan kesedaran tugas dan perkhidmatan yang serupa. 

Pada 1953, Ratu telah memulakan pertabalannya dengan doa senyap, di Mimbar Tinggi di situ. Kesetiaannya kepada Tuhan diucapkan sebelum sesiapapun mengucapkan kesetiaan kepadanya. Perkhidmatannya kepada begitu ramai orang di negara ini, Komanwel dan dunia, memiliki asasnya dalam dirinya mengikuti Kristus - Tuhan sendiri - yang berkata bahawa dia datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani dan memberi nyawanya sebagai tebusan untuk ramai orang."

Orang-orang yang memberikan perkhidmatan dengan kasih sayang jarang dijumpai dalam apapun lapisan hidup. Pemimpin-pemimpin yang memberikan perkhidmatan dengan kasih sayang lagi jarang dijumpai. Tetapi dalam semua kes, mereka yang melayani akan disayangi dan diingati ketika mereka yang berpaut kepada kuasa dan keistimewaan sudah lama dilupakan. 

Kesedihan hari ini, yang dirasakan bukan saja oleh keluarga mendiang Baginda tetapi juga di sekeliling negara, Komanwel dan dunia - terbit daripada kehidupannya yang berkelimpahan dan perkhidmatan yang disertai kasihnya, yang kini meninggalkan kita. 

Baginda penuh sukacita, hadir dalam kehidupan ramai orang, dan menyentuh ramai jiwa-jiwa.

Kita berdoa terutamanya untuk keluarganya, yang meratap sepertimana setiap keluarga dalam acara pengebumian - termasuklah banyak keluarga di sekeliling dunia yang juga kehilangan seseorang baru-baru ini - tetapi dalam kes keluarga ini melakukannya di bawah perhatian paling ramai orang. 

Semoga Tuhan menyembuhkan kesedihan mereka, semoga ruang kosong yang tertinggal dalam kehidupan mereka akan ditandai dengan ingatan sukacita dan kehidupan. 

Siaran mendiang Baginda semasa penutupan dan penyekatan COVID-19 berakhir dengan, 'Kita akan bertemu lagi' -- kata-kata pengharapan dari sebuah lagu Vera Lynn. Pengharapan Kristian bererti penjangkaan sesuatu yang belum dilihat. 

Yesus bangkit dari maut dan menawarkan kehidupan kepada semua orang, kehidupan yang berkelimpahan sekarang dan kehidupan dengan Tuhan dalam kekekalan. 

Seperti karol Krismas itu mengatakan, 'di mana jiwa-jiwa yang rendah hati sudi menerima-Nya, Kristus yang disayangi akan datang memasuki hidup mereka.'

Kita semua akan menghadapi penghakiman penuh rahmat Tuhan: kita semua boleh berkongsi pengharapan Ratu yang telah dalam kehidupan dan kematian menginspirasikan kepimpinannya yang bersifat melayani. 

Perkhidmatan semasa hidup, pengharapan dalam kematian. Semua yang mengikuti teladan Ratu, dan inpirasinya dalam iman dan kepercayaan kepada Tuhan, dapat berkata bersamanya, 'Kita akan bertemu lagi.'"

Bishop Besar Canterbury membuat bacaan dalam kebaktian
pengebumian Ratu Elizabeth di Westminster Abbey

(Diterjemahkan daripada artikel CTV News bertajuk, "'We will meet again': Read the Archbishop of Canterbury's full sermon at Queen's funeral" yang ditulis oleh Rhythm Sachdeva bertarikh 19 September 2022)