Rabu, 28 September 2022

Brother Andrew, Penyeludup Alkitab Dari Tuhan, Meninggal Dunia Pada Usia 94 Tahun


Anne van der Bijl, seorang Kristian evangelikal Belanda, yang dikenali oleh orang-orang Kristian di sekeliling dunia sebagai Brother Andrew, lelaki yang telah menyeludup Alkitab ke negara-negara Komunis yang tertutup, telah meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Van der Bijl telah menjadi terkenal sebagai "God's smuggler" (Penyeludup dari Tuhan) apabila kisah peribadi perjelajahan misionarinya - melepasi pengawal-pengawal sempadan dengan sejumlah Alkitab yang tersembunyi dalam kereta Volkswagen Beetle berwarna birunya - diterbitkan pada tahun 1967. God's Smuggler telah ditulis dengan wartawan-wartawan evangelikal, John dan Elizabeth Sherrill dan telah diterbitkan dengan nama samarannya "Brother Andrew." Buku itu telah mendapat jualan lebih 10 juta naskah dan telah diterjemahkan ke dalam 35 bahasa. 

Buku itu telah menginspirasikan ramai penyeludup misionari, membekalkan dana untuk pelayanan van der Bijl, Open Doors, dan telah menarik perhatian umat evangelikal kepada keadaan susah orang-orang percaya di negara-negara di mana kepercayaan dan amalan Kristian dilarang. 

Tiada sesiapa tahu berapa banyak Alkitab telah diseludupkan oleh van der Bijl ke dalam Poland, Czhechoslovakia, Yugoslavia, Jerman Timur, Bulgaria dan negara-negara lain blok Soviet pada dekad sebelum kejayaan God's Smuggler memaksanya untuk mengambil peranan sebagai ketua simbolik dan pencari dana untuk Open Doors.  

Van der Bijl sendiri tidak menyimpan rekod dan tidak berfikir bahawa bilangan yang tepat itu adalah penting. 

"Saya tidak peduli mengenai statistik," katanya pada suatu temuramah pada 2005. "Kami tidak menghitung. ... Tetapi Tuhan adalah penyimpan kira-kira yang sempurna. Dia tahu."

Pada waktu kematiannya, pelayanan yang telah dimulakan oleh van der Bijl sedang menolong orang-orang Kristian di lebih daripada 60 negara. Open Doors mengedarkan 300,000 Alkitab dan 1.5 juta buku-buku Kristian, bahan-bahan pelatih, dan buku-buku manual pemuridan setiap tahun. Kumpulan itu juga menyediakan pertolongan kecemasan, bantuan keperluan, pembangunan komuniti, dan kaunseling untuk mangsa trauma sementara bersuara untuk orang-orang Kristian yang teraniaya di sekeliling dunia. 

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Died: Brother Andrew, Who Smuggled Bibles into Communist Countries" yan ditulis oleh Daniel Silliman bertarikh 27 September 2022)