Selasa, 28 Mac 2023

6 Alasan Orang Kristian Takut Akan Roh Kudus


Oleh J. Lee Grady:

Ketika saya dipenuhi oleh Roh Kudus bertahun-tahun yang lalu, saya tahu bahwa ibu saya yang merupakan anggota Southern Baptist mungkin tidak akan senang dengan pengalaman Pentakosta saya. Dia dan saya memiliki inti kepercayaan yang sama tentang Yesus dan keselamatan, tentunya. Tetapi saya tahu bahawa beberapa denominasi Kristian tidak mendorong orang percaya untuk dibaptis dalam Roh Kudus atau mempraktikkan kurnia-kurnia rohani yang disebutkan dalam Perjanjian Baru.

Jadi saya tidak mengongsikan kesaksian saya dengannya selama beberapa tahun. Saya tidak akan pernah melupakan hari di mana ibu saya mengetahui pengalaman saya. Setelah dia menceritakan kepada saya sebuah kisah dari masa kecilnya, di mana dia menyaksikan beberapa orang Kristian "berguling-guling di atas lantai berhabuk kayu" di sebuah pertemuan Pentakosta di pedalaman, dia membesarkan matanya dan bertanya: "Kamu tidak berbicara dalam bahasa roh, kan, Lee?"

"Ya, mama, saya lakukan," kata saya. Saya tidak meminta maaf atas pengalaman saya, meskipun dia kelihatannya merasa cemas. Dan saya mengingatkannya bahawa saya menerima baptisan Roh Kudus ketika berdoa di gereja Southern Baptist di pinggir kota Atlanta. Saya pertama kali berbicara dalam bahasa roh di bangunan milik Baptis!

Sejak saat itu saya telah menceritakan kisah saya kepada ramai orang, menulis buku-buku tentang kesaksian saya dan mendoakan ratusan orang agar dipenuhi dengan Roh Kudus. Tetapi saya juga dijauhi, ditolak, disalah anggap, diejek dan diperlakukan dengan penuh kecurigaan oleh saudara-saudari di dalam Kristus kerana saya menerima sebuah pengalaman yang membawa saya lebih dekat kepada Tuhan.

Saya telah belajar untuk tidak tersinggung dengan reaksi-reaksi ini. Saya mengasihi keluarga Allah, dengan segala kekurangan dan perbezaannya. Saya tidak hanya mengasihi orang-orang Kristian yang setuju dengan saya. Saya mengasihi orang-orang Kristian yang berfikir bahawa saya tertipu atau bahkan berbahaya. Kerana kasih adalah buah dari Roh Kudus, maka akan menjadi tidak produktif jika saya melepaskan kemarahan saya kepada saudara di dalam Kristus.

Tetapi mengapa begitu ramai orang Kristian yang takut akan Roh Kudus? Dari pengamatan saya, ada enam alasan:

1. Tradisi keagamaan. Ramai orang Yahudi yang berpendirian keras pada zaman Yesus tidak dapat menerima ketika Dia menyentuh orang kusta, menyembuhkan seorang wanita yang mengalami pendarahan, atau berbicara kepada orang Samaria kerana Dia melanggar aturan agama yang lama. Tradisi menghalangi kita untuk terbuka terhadap sesuatu yang baru, meskipun Tuhanlah yang menyediakan jalan yang baru. Ramai orang Kristian telah diajarkan bahawa karunia-karunia rohani dalam Perjanjian Baru tidak akan berlaku lagi, jadi mereka mempunyai sikap sangsi.

2. Takut akan hal-hal bersifat ajaib. Kitab Kisah Para Rasul penuh dengan kisah-kisah tentang penyembuhan, lawatan malaikat, pintu-pintu yang terbuka dengan sendirinya dan syaitan-syaitan yang keluar - disertai dengan jeritan. Saya tidak pasti mengapa orang Kristian tidak ingin melihat mukjizat seperti itu di zaman sekarang. Mungkin mereka terlalu banyak menonton filem seram tentang syaitan? Ketakutan dapat menyebabkan seseorang hidup dalam kotak keterbatasan. Saya berharap lebih ramai orang percaya saat ini akan meminta Roh Kudus untuk melakukan pekerjaan ajaib-Nya melalui mereka, kerana kita memerlukan mukjizat seperti dalam Perjanjian Baru sekarang ini lebih daripada sebelumnya!

3. Kebergantungan pada logik dan akal. Ramai orang Kristian hari ini telah membina iman mereka sepenuhnya di atas asas intelektual. Mereka menyukai apologetika dan khutbah-khutbah yang bagus, tetapi mereka lupa bahawa rasul Paulus - yang adalah seorang sarjana yang luar biasa - sebenarnya lebih menekankan pada bidang subjektif Roh Kudus daripada ilmu pengetahuan. Paulus menulis: "... perkhabaran serta pengajaranku tidak disampaikan dengan kata-kata hikmah yang meyakinkan. Sebaliknya aku menyampaikannya secara menunjukkan kuasa Roh" (1 Korintus 2:4). Tuhan memberi anda akal budi, tetapi jika Anda terus-menerus bergantung pada pemahaman anda sendiri, anda akan membatasi-Nya!

4. Takut berbicara kepada orang lain tentang Allah. Ketika seseorang dibaptis dalam Roh Kudus, mereka dipenuhi dengan keberanian dan mula menyatakan iman mereka secara terbuka. Hal ini dapat menjadi hal yang menakutkan bagi seseorang yang pemalu atau bersifat tertutup, sehingga mereka secara alami akan mundur ketika ada kesempatan untuk menerima lebih banyak kuasa Allah. Tuhan tidak memberikan kita roh penakut (2 Timotius 1:7), tetapi ramai orang Kristian yang merasa puas untuk hidup dalam kekuasaan perasaan takut.

5. Luka emosi yang belum diselesaikan. Saya telah berdoa dengan ramai orang Kristian yang pernah mengalami gangguan seksual, pengabaian oleh ibu bapa, kekerasan, perceraian atau bentuk-bentuk permasalahan lain dalam perhubungan. Kadang-kadang orang dapat menjadi begitu lumpuh secara emosi oleh kehidupan sehingga mereka tidak dapat membuka hati mereka kepada kuasa Roh Kudus yang mengubahkan. Mereka ingin Roh Kudus menyembuhkan mereka, tetapi mereka harus didorong dengan penuh kasih untuk keluar dari tempat persembunyian mereka.

6. Takut akan penyerahan diri sepenuhnya. Ini mungkin adalah alasan paling umum mengapa ramai pengikut Yesus tidak ingin berenang di dalam air Roh Kudus yang lebih dalam. Kehidupan yang dipenuhi Roh Kudus menuntut penyerahan diri sepenuhnya kepada kehendak Allah. Kita harus menjadi kosong jika kita ingin dipenuhi oleh-Nya. Kita harus dapat berkata, "Bukan kehendakku, tetapi kehendakMu yang terjadi," atau Dia tidak dapat bekerja di dalam kita. Kita harus memberikan jawaban "ya" tanpa syarat kepada Allah.

Ramai orang telah mengatakan kepada saya bahawa mereka tidak dapat sepenuhnya berserah kepada Tuhan kerana (1) mereka takut Dia akan meminta mereka untuk bertukar pekerjaan, dan mereka menginginkan kestabilan kewangan; (2) mereka tidak mahu melepaskan hubungan percintaan yang mereka ketahui salah; (3) mereka takut Tuhan akan menghantar mereka ke benua yang jauh sebagai penginjil; (4) mereka bimbang bahawa Dia akan menghendaki mereka mendamaikan hubungan yang rosak; atau (5) mereka tidak mahu rakan-rakan dan rakan sekerjanya mengetahui bahawa mereka adalah orang Kristian.

Jika anda ingin dipenuhi dengan Roh Kudus saat anda memulakan Tahun Baru ini, saya berharap anda akan menyerahkan semua ketakutan anda dan memberikan ruang bagi kuasa-Nya yang ajaib. Anda dapat berdoa seperti ini: "Bapa, saya meninggalkan semua ketakutan dalam nama Yesus. Ampuni saya kerana telah membuat-Mu jauh dari saya. Saya ingin semua yang Engkau miliki untuk saya, bahkan hal-hal yang saya tidak mengerti. Penuhi saya dengan Roh-Mu, dan berikanlah saya keberanian sehingga saya dapat menjadi saksi-Mu. Dan biarlah tanda-tanda, keajaiban dan mukjizat-Mu mengikuti saya saat saya memberitakan Injil Yesus. Amin."

J. Lee Grady adalah editor Charisma selama 11 tahun dan sekarang bertugas sebagai senior contributing editor. Dia memimpin Mordecai Project (themordecaiproject.org), sebuah pelayanan anatarabangsa yang melindungi kaum perempuan dari kekerasan berdasarkan jantina. Buku-buku terbarunya adalah "Follow Me" dan "Let's Go Deeper" (Charisma House).

Diterjemahkan oleh Sabrina Abigail dari artikel Charisma Magazine bertajuk, "6 Reasons Christians Are Afraid of the Holy Spirit" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 18 Januari 2023)