Kenyataan demi kenyataan oleh perdana menteri, menteri dalam
negeri dan pihak-pihak lain mencetuskan kekeliruan berhubung perkara ini dan
mencetuskan reaksi daripada orang Islam dan juga bukan Islam.
Namun, cara kerajaan Madani mengendalikan perkara ini, dan
kesan yang dibawanya, hanyalah satu lagi ketidakcekapan birokrasi yang bermula
sejak dekad 1980-an ketika pentadbiran diketuai Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, beberapa kes bertindih di mahkamah yang
difailkan penganut Kristian untuk menggunakan kalimah itu sejak 15 tahun lalu
turut menambah kekeliruan berhubung keputusan kehakiman dalam hal ini.
Panduankini kali ini meneliti fakta-fakta berkaitan
bagi menjernihkan kekeliruan ini.
Tentang kes Jill Ireland
Jill Ireland adalah seorang Melanau Kristian di Sarawak yang
memiliki lapan cakera padat (CD) yang mengandungi kalimah Allah. CD miliknya
ini dirampas oleh kastam ketika dia pulang ke Malaysia dari Indonesia pada 11
Mei 2008.
Ogos tahun itu, Ireland memfailkan tindakan undang-undang
untuk menuntut CD tersebut dipulangkan serta pengisytiharan mahkamah berhubung
hak perlembagaannya terhadap kesamarataan di sisi undang-undang dan kebebasan
beragama, termasuk hak untuk menggunakan kalimah Allah.
Maka bermulalah kes mahkamah yang berterusan lebih satu
dekad.
Keputusan terbaru adalah yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi
Nor Bee Ariffin pada Mac 2021 yang berpihak kepada Ireland.
Kes ini sekali lagi menjadi perhatian apabila kerajaan pada
18 April lalu menarik
balik rayuan terhadap keputusan tersebut.
Jadi kes ini berkenaan usaha mendapatkan balik CD dengan
kalimah Allah, atau hak seorang penganut Kristian untuk menggunakan kalimah
itu?
Secara ringkasnya, kes ini tentang kedua-duanya.
Namun, pengisytiharan mahkamah yang dituntutnya, di bawah
Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 11 (kebebasan
beragama), bukanlah perkara yang jelas dan mudah.
Ketika dia memulakan tindakan undang-undangnya di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur, dia menuntut tujuh pengisytiharan dan dua daripadanya
berkenaan hak menggunakan kalimah Allah dan memiliki bahan yang mengandungi
kalimah itu.
Namun, sementara Mahkamah Tinggi pada 2014 memerintahkan CD
tersebut dipulangkan, ia tidak membuat keputusan berkenaan tuntutan
pengisytiharan berkenaan hak perlembagaannya.
Ireland membuat rayuan berhubung is keperlembagaan di
Mahkamah Rayuan, manakala kerajaan membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah
Tinggi bahawa tindakan merampas CD tersebut adalah salah.
Apa keputusan Mahkamah Rayuan?
Pada 2015, Mahkamah Rayuan memutuskan lapan CD itu perlu dipulangkan kepada
Ireland dan mengarahkan Mahkamah Tinggi untuk sekali lagi mendengar kes itu,
berkenaan dua daripada tujuh pengisytiharan yang dituntut.
Ia berkaitan jika Ireland ada hak keperlembagaan untuk
mengimport CD tersebut bagi tujuan pendidikan dan amalan agama, dan jika
Perlembagaan Persekutuan melindunginya daripada diskriminasi undang-undang.
Dua pengisytiharan khusus berkenaan haknya untuk menggunakan
kalimah Allah tidak termasuk dalam pendengaran semula di Mahkamah Tinggi.
Tengku Maimun Tuan Mat, yang kini menjadi ketua hakim
negara, mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes itu.
Lapan CD itu dipulangkan semula kepada Ireland pada
September 2015.
Apa yang berlaku ketika pendengaran semula di Mahkamah
Tinggi pada 2017?
Mahkamah Tinggi mengendalikan dua pengisytiharan yang
dituntut - bahawa hak keperlembagaan Ireland untuk mengamalkan agamanya telah
dicabuli dan penggunaan undang-undang persekutuan untuk merampas CD miliknya
melanggar hak kesamarataan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang yang terlibat adalah Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984 (PPPA) dan Akta Kastam 1967.
Semasa pendengaran semula, pasukan peguam Ireland mendapati
masalah asas adalah arahan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986
yang melarang sama-sekali penggunaan kalimah 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan
'Solat' oleh orang bukan Islam.
Justeru, dia menuntut satu lagi pengisytiharan iaitu arahan
itu tidak selaras dengan undang-undang dan bertentangan dengan hak
keperlembagaannya untuk kebebasan beragama.
Walaupun pendengaran semula bermula pada 2017, disebabkan
beberapa percubaan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, keputusan yang
dibuat pada 10 Mac 2021.
Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan arahan
Kementerian Dalam Negeri - yang dibuat mengikut PPPA dan digunakan untuk
merampas CD Ireland - tiada asas statutori dan maka menyalahi undang-undang dan
tidak rasional.
Nor Bee berkata arahan Disember 1986 melangkaui niat
kabinet, dalam satu memorandum berkenaan perkara itu yang bertarikh 16 Mei
1986.
Berkenaan pendirian kabinet dan arahan Kementerian Dalam
Negeri pada 1986 dan bagaimana ia menjadi faktor penentu kes
Pada 19 Mei 1986, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri
ketika itu menegaskan dia menugaskan timbalannya, Ghafar Baba untuk menentukan
apa perkataan yang boleh dan tidak boleh digunakan dalam agama Kristian. Surat
itu diserahkan kepada mahkamah ketika perbicaraan kes Jill Ireland.
Turut dilampirkan adalah nota daripada Ghafar bertarikh 16
Mei 1986 berkenaan perkataan Islamik dalam Alkitab yang tidak boleh digunakan.
AlKitab merujuk kepada kitab Bible yang diterbitkan dalam
Bahasa Melayu dan Indonesia.
Nota itu menyenaraikan 12 perkataan yang boleh dipakai dan
empat yang dilarang, iaitu ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’.
Namun, di bawah empat perkataan yang dilarang itu, tertera:
Dengan syarat di kulit luar (muka depan) buku-buku itu ditulis perkataan 'Untuk
Ugama Kristian'".
Selain itu, syarat yang ditetapkan Ghafar bahawa muka depan
buku ditulis 'Untuk Ugama Kristian' diletakkan di bawah senarai 12 perkataan
yang boleh digunakan, bukan di bawah empat perkataan yang dilarang - seperti
nota yang dibuatnya.
Katanya, nota itu jelas menyatakan 12 perkataan tersebut
boleh digunakan tanpa syarat manakala empat perkataan itu boleh digunakan hanya
jika muka depan penerbitan ditulis 'Untuk Ugama Kristian'.
Pada masa sama, Nor Bee berkata kabinet tidak mungkin
berhasrat untuk mengenakan larangan secara keseluruhan terhadap empat perkara
itu kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan yang diwartakan empat tahun
sebelumnya, iaitu pada 22 Mac 1982.
Arahan pada 1982 - yang dibuat di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) - membenarkan AlKitab yang menggunakan kalimah 'Allah' untuk
digunakan dalam ruang lingkup gereja Kristian di seluruh negara.
Jika kabinet mahu melarang penggunaan empat perkataan itu
dalam penerbitan Kristian, pastinya arahan 1982 dimansuhkan terlebih dahulu
namun ia tidak dilakukan, kata Nor Bee.
Justeru, dia memutuskan arahan itu tidak sah dan melanggar
undang-undang.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata
percanggahan yang dibangkitkan hakim ini menjadi sebab kerajaan
menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.
Jadi adakah hakim kata penganut Kristian boleh guna
kalimah Allah?
Hal ini rumit.
Walaupun tuntutan Ireland khusus berkenaan haknya untuk
menggunakan kalimah itu, ia tidak termasuk dalam dua tuntutan yang diarahkan
Mahkamah Rayuan agar didengar semula di Mahkamah Tinggi.
Ini bermakna hal ini tidak pernah dihakimi dan tiada
keputusan yang khusus berkenaannya.
Keputusan mahkamah hanya berkenaan jika rampasan CD
melanggar hak keperlembagaan Ireland untuk mengamalkan agamanya tanpa
diskriminasi.
Dalam berbuat demikian, hakim Nor Bee membuat keputusan
berhubung kesahan arahan untuk merampas CD - iaitu larangan terhadap penggunaan
empat perkataan dalam penerbitan agama Kristian.
Ini bermakna dia tidak membuat keputusan berkenaan hak
penganut Kristian untuk menggunakan kalimah 'Allah' secara umumnya, tetapi sama
ada penerbitan agama Kristian boleh menggunakan kalimah itu dan penganutnya
boleh memiliki bahan tersebut atau tidak.
Namun, Nor Bee maklum bahawa Bahasa Melayu menjadi lingua
franca untuk masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak dan penganut Kristian di
dua negeri itu telah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk Tuhan sejak sekian
lama.
"Bukti sejarah yang tidak dapat disangkal bahawa
penggunaan kalimah Allah oleh pemohon (Ireland) dan komuniti Kristian di
Sarawak selama 400 tahun, sejak 1629, tidak boleh diabaikan," katanya.
Dia memutuskan fakta itu juga menyangkal hujah kerajaan
bahawa arahan itu perlu untuk menjaga ketenteraman awam.
Jadi, apa keputusan Mahkamah Persekutuan yang didakwa
kerajaan membatalkan keputusan Nor Bee?
Dalam menangkis kritikan terhadap keputusan untuk menarik
balik rayuan, kerajaan beberapa kali merujuk kepada keputusan Mahkamah
Persekutuan pada 2014 yang menurutnya masih berkuat kuasa.
Walaupun kerajaan tidak menyatakannya secara spesifik, ia
kemungkinan besar merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penerbitan
Katolik, The Herald untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan
yang tidak membenarkan mereka menggunakan kalimah 'Allah'.
Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan - dalam keputusan 4-3
- mendapati Mahkamah Rayuan antara lain telah membuat ujian objektif untuk
mencapai keputusan itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan bahawa
kenyataan yang dibuat panel hakim Mahkamah Rayuan bahawa aspek teologi hanyalah
"obiter" - iaitu kenyataan sampingan yang tidak mengikat mahkamah.
Ia dipercayai berkenaan pandangan hakim Mahkamah Rayuan
bahawa kalimah Allah bukanlah sesuatu yang 'integral' (teras) dalam agama
Kristian.
Pendirian
kerajaan pada masa itu adalah keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan adalah hanya untuk The Herald dan tidak melibatkan penganut
Kristian di Malaysia secara keseluruhan.
Namun, keputusan Mahkamah Rayuan tetap memberi kesan kepada
kes serupa yang difailkan Sidang Injil Borneo (SIB).
Tentang kes SIB
Seperti Jill Ireland, kes SIB bermula selepas Kementerian
Dalam Negeri merampas buku agama Kristian yang mengandungi kalimah 'Allah' pada
2007.
SIB menang perbicaraan dan buku mereka dipulangkan pada 2008
namun pertubuhan ini tetap menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa mereka ada
hak untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan dan untuk tujuan
pendidikan.
Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2014 menolak permohonan mereka
dan berkata ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes The Herald.
Pada bulan lalu, SIB menamatkan tindakan
undang-undang mereka selama 14 tahun demi "kepentingan keharmonian
negara".
Jadi keputusan mana jadi duluan berkenaan penggunaan
kalimah 'Allah'?
Para peguam berpandangan kes Jill Ireland menjadi duluan
berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian bagi tujuan agama
dan pendidikan.
Ini kerana keputusan dalam kes The Herald perlu dianggap
spesifik kepada penerbitan Katolik tersebut, seperti mana pendirian pentadbiran
Najib Razak pada masa itu.
Pada 2013, beberapa menteri - termasuk menteri dalam negeri
ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi - juga mengambil pendirian yang keputusan
Mahkamah Rahuan berkenaan kes The Herald tidak terpakai ke atas AlKitab
yang terus menggunakan kalimah
'Allah'.
Ia konsisten dengan arahan kerajaan pada 1982, yang dirujuk
hakim Nor Bee dalam kes Jill Ireland.
Adakah larangan ini ada asas dari sisi agama
Islam?
Penggunaan kalimah ini, iaitu perkataan Bahasa Arab bagi
'Tuhan' oleh orang bukan Islam adalah amalan biasa dalam kalangan penganut
Kristian dan Yahudi di negara-negara Arab.
Ini dinyatakan dalam rencana Mufti Perlis Mohd Asri Zainul
Abidin pada 2021 di mana dia berhujah yang Islam dan Quran tidak
melarang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah 'Allah' -
memandangkan ia merupakan nama Tuhan.
Sebaliknya, Mohd Asri berkata apa yang dilarang adalah
penyalahgunaan kalimah tersebut, seperti menggunakannya ke atas berhala, patung
atau manusia.
Anwar kata keputusan hanya terpakai di Sarawak. Adakah ia
benar?
Dalam usaha untuk meredakan rasa tidak puas hati ekoran
keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland, Perdana Menteri
Anwar Ibrahim berkata keputusan mahkamah itu hanya terpakai di Sarawak.
Namun pendirian itu dilihat tanpa asas yang kukuh, dengan
bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin dan beberapa lagi berkata keputusan
hakim Nor Bee bukan tertakluk kepada Sarawak sahaja.
Ada juga yang membangkitkan keputusan itu dibuat oleh
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sama seperti selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada
2014, menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, Idris Jala berkata
pendirian kabinet bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah'
juga terpakai kepada salinan AlKitab di Semenanjung Malaysia.
Idris merupakan arkitek penyelesaian 10 perkara yang
dirangka pentadbiran Najib yang membenarkan kitab Injil bahasa Melayu dicetak.
Namun bagaimana dengan undang-undang syariah negeri yang
melarang orang bukan Islam guna kalimah itu?
Secara teori, Perlembagaan Persekutuan menyatakan apabila
berlaku pertembungan antara undang-undang persekutuan dan negeri, undang-undang
persekutuan yang terpakai.
Namun, selain peruntukan perlembagaan yang menjamin
kebebasan beragama, tiada akta atau perkara khusus dalam Perlembagaan
Persekutuan berkenaan penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam.
Berbeza dengan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia,
misalnya Selangor, yang ada enakmen bagi melarang perkara itu.
Ia menyebabkan keadaan seperti rampasan kitab Injil bahasa
Melayu oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais), walaupun dengan
penyelesaian 10 perkara oleh kerajaan persekutuan yang membenarkan penganut
Kristian di Semenanjung untuk menggunakan AlKitab.
Percanggahan ini masih tidak diselesaikan.
Satu negeri di Semenanjung yang tidak melarang penggunaan
itu adalah Perlis.
Jadi, apa seterusnya?
Pentadbiran Anwar berkata ia merancang untuk meminda undang-undang yang membenarkan percanggahan berhubung isu ini agar ia tidak lagi boleh dicabar di mahkamah.Kerajaan juga merancang untuk membataskan penggunaan kalimah itu dalam kalangan orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak sahaja.
Belum jelas bagaimana ia akan memberi kesan kepada
penggunaan AlKitab dan pengamalan agama oleh penganut Kristian berbahasa Melayu
dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "PANDUANKINI | Melihat Dari Awal Isu Penggunaan Kalimah 'Allah'" yang ditulis oleh Geraldine Tong dan Zikri Kamarulzaman bertarikh 26 Mei 2023)