Isnin, 29 Mei 2023

Alkitab Bahasa Ibrani Paling Awal Telah Dijual Pada Harga USD38 Juta Di Rumah Leongan Sotheby's


Rumah lelongan Sotheby's baru-baru ini telah menjual senaskah Alkitab bahasa Ibrani yang berusia 1,100 tahun pada harga USD38 juta. Ianya salah satu daripada manuskrip alkitabiah yang paling tua dijumpai di dunia dan telah mendapatkan harga kedua paling tinggi di rumah lelongan untuk sebuah dokumen bersejarah.

Kitab yang seberat 26 paun itu, dengan lembaran manuskrip setebal 5 inci yang mengandungi 396 muka surat, telah dijual selepas persaingan sepanjang lima minit oleh dua orang pembida yang membida melalui telefon. Harga terakhir dengan yuran Sotheby's, tidak dapat memecahkan rekod yang kini dipegang oleh naskah Perlembagaan Amerika Syarkat berharga USD43.2 juta yang telah dibeli oleh jutawan Ken Griffin dua tahun yang lalu, menurut The Wall Street Journal. 

Codex Leicester milik Leornado da Vinci telah dijual dengan harga USD31 juta pada 1994 atau sekitar USD60 juta pada nilaian dolar hari ini. 

Dikenali sebagai Codex Sassoon, naskah salinan tangan ini yang dijilid dengan kulit binatang mengandungi Alkitab bahasa Ibrani yang hampir lengkap telah dibeli oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Romania, Alfred H. Moses bagi pihak American Friends of ANU dan telah didermakan kepada Muzium ANU untuk Umat Yahudi di Tel Aviv, di mana ianya akan diletakkan bersama koleksi muzium itu, Sotheby's menyatakan dalam satu kenyataan.

Naskah kuno Alkitab ini dipercayai telah dihasilkan di antara 880 dan 960 Tahun Masihi. Rumah lelongan itu menyenaraikan dalam laman lelongannya sebagai "Circa 900" (bertarikh lebih kurang 900 Tahun Masihi) dan sebagai "Alkitab lengkap bahasa Ibrani yang paling awal."

Penjual Alkitab ini, Jaqui Safra, telah membelanjakan wang untuk melakukan ujian karbon untuk mengenal pasti tarikh asal manuskrip itu. Ujian telah mengesahkan bahawa kitab itu bertarikh di antara hujung abad kesembilan dan awal abad kesepuluh, kata Sotheby's. 

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Earliest Hebrew Bible Sells For $38M At Sotheby's, Now Headed Home To Israel" yang ditulis oleh James Lasher bertarikh 28 Mei 2023)