Isnin, 5 Jun 2023

Agong Gusar Isu Kalimah Allah Jadi Polemik Berlarutan, Jejas Perpaduan


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billahhah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

Al-Sultan Abdullah bertitah ini memandangkan polemik penggunaan kalimah Allah, bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

“Kerajaan beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka bertitah sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani dengan segera, adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah dalam berhadapan dengan isu sensitif sedemikian, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi.

Titah Seri Paduka ini selaras dengan prinsip pertama rukun negara iaitu  ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang antara lain menekankan bahawa konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

Al-Sultan Abdullah bertitah ketinggian dan kesucian agama Islam telah sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia yang merdeka sehingga agama Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan, dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah perpaduan memerlukan resipi yang efektif dengan hati yang terbuka jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja serta negara selain, tidak mempersoal dan mencampuri serta memandang rendah urusan dan kepercayaan agama yang diamalkan bangsa lain.

“Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera.

“Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah, dibaja, disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi.

Pada 17 Mei lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja. 

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023.  

- Bernama

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Agong Gusar Isu Kalimah Allah Jadi Polemik Berlarutan, Jejas Perpaduan" bertarikh 5 Jun 2023)