Selasa, 6 Jun 2023

Penculikan Pastor Koh Kelihatan Seperti ‘Profesional’, Saksi Beritahu Mahkamah


KUALA LUMPUR: Seorang saksi penculikan Pastor Raymond Koh memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa peristiwa pada 2017 itu kelihatan seperti dilakukan secara ‘profesional’.

Roeshan Celestine Gomez berkata penculikan itu dilakukan dalam tempoh masa kurang satu minit. Peguam itu berada di kawasan kejadian kerana membawa kawannya ke tempat membakar mayat di Kampung Tunku.

“Apabila kereta saya keluar dari Jalan Bahagia, saya ternampak kekecohan di depan kami. Kira-kira empat kenderaan utiliti sukan (SUV) mengelilingi sebuah Proton Waja warna perak.”

“Kelihatan lima lelaki, bertopeng dan berpakaian ala tentera warna hitam, menarik keluar seorang lelaki daripada Waja itu,” kata Gomez kepada mahkamah.

Beliau berkata lelaki itu cuba melawan manakala kawannya cuba merakam kejadian itu menggunakan telefon.

“Seorang lelaki muncul di depan kereta saya, kelihatan terganggu. Dia beritahu kawan saya supaya hentikan rakaman dan beri isyarat kepada kami supaya meninggalkan kawasan itu.

“Seorang lagi lelaki mendekati kereta saya. Dia tidak bersenjata dan meminta saya mengundurkan kereta,” katanya, dan menambah beliau patuhi permintaan itu.

Gomez berkata ketika beliau mengundur kereta, dia ternampak seorang individu merakam penculikan itu menggunakan telefon.

Satu jam kemudian beliau ke Balai Polis Kelana Jaya untuk melaporkan kejadian itu. Katanya, seorang pegawai polis yang dinamakan sebagai Ali Asra mengambil keterangannya.

“Ketika dia mengambil keterangan saya, dia berkata modus operandi nampak seperti operasi polis, kerana ia berlaku pada siang hari, rakaman video, dan keseluruhan persediaannya kelihatan sangat profesional,” katanya.

Katanya, Ali memberitahunya bahawa dia akan membuat pertanyaan sama ada ia operasi polis.

“Saya rasa sedikit lega apa yang saya nampak itu mungkin operasi polis dan bukan penculikan,” katanya.

Keesokannya, Gomez terima mesej di WhatsApp mengenai penculikan Koh di kawasan sama.

“Ali juga menghubungi saya dan meminta saya temuinya di balai polis, di mana dia bertanya soalan-soalan lanjut mengenai kejadian itu.

“Kami juga melakonkan semula peristiwa itu. Saya tanya Ali siapa yang pada pandangannya mungkin menculik mangsa.

“Dia menjawab ia mungkin kerja pelampau agama,” katanya.

Gomez berkata dia juga bertemu seorang lagi pegawai polis, Supari Muhammad, untuk membina semula gambar-gambar lelaki-lelaki terbabit.

“Saya sekali lagi bertemunya pada Julai, apabila dia menghubungi saya dan kawan saya untuk melakukan pengecaman, bagi mengenalpasti individu-individu yang berpotensi menjadi suspek.

“Tiada seorang pun yang kelihatan seperti lelaki-lelaki yang kami nampak.

“Saya tanya Supari kenapa kami dipanggil untuk melakukan pengecaman. Dia kata polis serbu sebuah rumah di Kedah, di mana mereka temui plat nombor kereta pastor itu,” katanya.

Pada 12 Feb 2020, isteri Koh, Susannah Liew, memfailkan tindakan undang-undang terhadap polis, ketua polis negara, dan beberapa bekas pegawai tinggi polis berhubung penculikan suaminya.

Senarai itu termasuk bekas KPN Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun; bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas, Awaluddin Jadid; dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed, dan bekas ketua JSJ Selangor, Fadzil Ahmat.

Liew menuntut ganti rugi atas kehilangan Koh, serta mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan akan penculikan tidak sah itu, dan misfeasans.

Terdahulu, Gurdial Singh Nijar selaku peguam yang mewakili keluarga Koh berkata pihaknya akan menampilkan lima saksi.

Suhakam dalam inkuiri awam ke atas kehilangan Koh dan seorang lagi aktivis, Amri Che Mat, pada 2017 dan 2019, menyimpulkan mereka mangsa kehilangan paksa.

Pendengaran di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo akan bersambung esok.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Penculikan Pastor Koh Kelihatan Seperti ‘Profesional’, Saksi Beritahu Mahkamah" yang ditulis oleh Ho Kit Yen bertarikh 6 Jun 2023)