Khamis, 8 Jun 2023

'Hentikan Polemik Kalimah Allah Hingga Diputuskan Majlis Raja-Raja' - Sultan Selangor


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu kalimah Allah diselesaikan secara berhati-hati dan mestilah berteraskan perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan.

Titah baginda langkah itu juga mestilah bebas daripada memprejudiskan hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain Islam secara aman.

"Beta juga menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga Majlis Raja-Raja Melayu membuat ketetapan muktamad tentang perkara ini.

"Ini adalah untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini," titah baginda.

Kenyataan itu dibuat selepas Sultan Sharafuddin menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Kayangan, Shah Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah Anwar menyembah taklimat kepada baginda mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan berhubung kes penganut Kristian dari Sarawak, Jill Ireland baru-baru ini.

Titah baginda Anwar juga disembah maklum mengenai komitmen kerajaan untuk merujuk isu tersebut kepada Majlis Raja-Raja Melayu bagi tujuan mendapatkan ketetapan dasar berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

"Dalam perbincangan tersebut, beta selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan yang turut dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

"Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab," titahnya.

Sultan Sharafuddin juga memberitahu perdana menteri bersetuju dengan cadangan baginda untuk membawa isu tersebut kepada MKI pada Ogos nanti sebelum ia diangkat kepada Majlis Raja-Raja Melayu pada Okt.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Anwar berkata kerajaan memang bertegas memperaku serta menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu, serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Menurut perdana menteri semasa menghadap Sultan Sharafuddin, dia turut menjelaskan pendirian kerajaan yang menghormati undang-undang di setiap negeri serta kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama.

“Selepas berbincang dengan Sultan Selangor, saya menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan jemaah menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja,” jelasnya.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "'Hentikan Polemik Kalimah Allah Hingga Diputuskan Majlis Raja-Raja'" bertarikh 7 Jun 2023)