Rabu, 14 Jun 2023

RM1,930 Cukup Untuk Hidup Bujang Di Lembah Kelang, Menurut KWSP


Jumlah ini malah merangkumi simpanan bulanan sebanyak RM250 selain perbelanjaan untuk keperluan penting dan tidak penting, menurut garis panduan keluaran KWSP.

PETALING JAYA: Perbelanjaan minimum bulanan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan mampan bagi individu bujang tidak berkereta di Lembah Klang ialah RM1,930, menurut Belanjawanku 2022/2023 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan semalam.

Jumlah ini malah merangkumi simpanan bulanan sebanyak RM250, selain perbelanjaan untuk sewa, keperluan perubatan, pengangkutan, utiliti, penjagaan diri, penglibatan sosial serta perbelanjaan pilihan, antara lainnya.

Sementara itu, mereka yang memiliki kereta dianggarkan memerlukan sebanyak RM2,600.

Panduan ini merangkumi kos sara hidup minimum untuk isi rumah pelbagai saiz di ibu-ibu kota di Malaysia. Minimum tertinggi adalah di Lembah Klang manakala terendah di Alor Setar dalam semua kategori yang dibezakan oleh sama ada berkereta atau menggunakan pengangkutan awam.

Minimum kedua tertinggi adalah di Johor Bahru, manakala ketiga di Kota Kinabalu.

Menurut KWSP, Belanjawanku ialah garis panduan perbelanjaan yang memaparkan anggaran perbelanjaan minimum bulanan untuk setiap kategori barangan dan perkhidmatan bagi pelbagai isi rumah di negara ini.

Belanjawanku diharapkan dapat membantu urusan belanjawan peribadi dan keluarga masing-masing agar orang ramai dapat mencapai gaya hidup yang wajar.

“(Garis panduan) ini diolah berdasarkan kaedah perbelanjaan barangan dan perkhidmatan sebenar oleh isi rumah di kawasan-kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar pilihan,” katanya.

Garis panduan ini diolah dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya (SWRC).


Menurut Belanjawanku, pasangan berkahwin yang tiada anak di Lembah Klang memerlukan minimum RM4,630, namun bertambah kepada RM5,980 jika mempunyai seorang anak.

Dianggarkan pasangan warga emas boleh berbelanja sebanyak RM3,210 sebulan, manakala yang bujang hanya memerlukan RM2,520.

Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, menurut Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, yang dibangunkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan, 76% rakyat Malaysia mempunyai belanjawan, tetapi tidak semua mematuhinya.

“Data juga menunjukkan 47% sukar memperuntukkan RM1,000 untuk kegunaan kecemasan. Data ini mencadangkan rakyat Malaysia perlu meningkatkan literasi kewangan untuk mengukuhkan kewangan dan kesejahteraan persaraan masa depan.

“Oleh itu, kami membangunkan panduan Belanjawanku supaya rakyat Malaysia boleh menjadi lebih bijak dalam menguruskan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, panduan itu telah diterima pakai oleh pegawai khidmat nasihat persaraan KWSP dalam menyediakan bimbingan dan nasihat kewangan bagi ahli, membentuk asas kesejahteraan kewangan yang kukuh dan kualiti hidup yang lebih baik dalam jangka panjang.

Pengarah SWRC Norma Mansor menyebut literasi kewangan yang rendah dan peningkatan kos sara hidup sebagai faktor penting yang menyumbang kepada hakikat bahawa rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang sedikit, terlalu banyak berhutang dan kebankrapan belia.

“Di sinilah Belanjawanku memainkan peranan kerana ia berfungsi sebagai panduan untuk perancangan kewangan dan pengurusan hutang peribadi, selain mengesyorkan jumlah simpanan untuk kegunaan masa depan dan dalam situasi yang tidak pernah dihadapi,” katanya.

Norma berkata, penggubal dasar juga boleh menggunakan Belanjawanku sebagai penanda aras dalam menangani isu kos sara hidup, kesamaan kuasa beli, dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan keterangkuman sosial dalam kalangan rakyat.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "RM1,930 Cukup Untuk Hidup Bujang Di Lembah Kelang, Menurut KWSP" yang ditulis oleh K. Parkaran bertarikh 14 Jun 2023)