Isnin, 28 Ogos 2023

MKI Bincang Penggunaan Kalimah Allah, Titah Sultan Selangor


SHAH ALAM: Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini membincangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan lengkap dan komprehensif, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda, yang juga pengerusi MKI, bertitah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah isu sensitif dalam kalangan umat Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di Sabah dan Sarawak perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

“Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hadir sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga timbalan pengerusi majlis itu.

(Dipetik daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "MKI Bincang Penggunaan Kalimah Allah, Titah Sultan Selangor" bertarikh 28 Ogos 2023)