Ahad, 17 September 2023

Adakah Mengajar Mengenai Persepuluhan Merupakan Ajaran Injil Kemakmuran?


Kebelakangan ini, saya melihat ada trend untuk melabelkan orang ini dan orang itu mengkhabarkan Injil Kemakmuran. 

Ini adalah cara mudah memburukkan seseorang yang lain dengan gelaran seperti itu.

Di sosial media, saya melihat seorang Kristian menuduh hamba-hamba Tuhan yang mengajar mengenai persepuluhan sebagai pengajar Injil Kemakmuran. 

Saya hairan dan lihat balik dalam Alkitab, di manakah dalam ajaran persepuluhan itu yang merupakan Injil Kemakmuran?

Bawalah seluruh persembahan persepuluhan itu ke dalam rumah perbendaharaan, supaya ada persediaan makanan di rumah-Ku dan ujilah Aku, firman TUHAN semesta alam, apakah Aku tidak membukakan bagimu tingkap-tingkap langit dan mencurahkan berkat kepadamu sampai kelimpahan (Maleakhi 3:10).

Rupa-rupanya orang yang membuat tuduhan itu tidak suka hamba Tuhan mengatakan orang yang memberi persepuluhan akan diberkati oleh Tuhan. Tapi bukankah itu yang diajar dalam Alkitab? Bahawa kepada orang-orang yang memberi persepuluhan, Tuhan akan membuka tingkat-tingkap langit dan mencurahkan berkat kepada mereka sampai kelimpahan?

Kalau Alkitab yang mengajarkan itu dan Tuhan sendiri yang mengatakankan itu, bagaimana kita boleh menggelarkannya sebagai Injil Kemakmuran?

Satu lagi kes yang saya temui di media sosial. Ada orang Kristian yang melabel hamba-hamba Tuhan yang mengajar, "Berilah maka kamu akan diberi" sebagai pengkhabar Injil Kemakmuran.

Mari kita lihat di mana Alkitab mengatakan seperti itu:

Berilah dan kamu akan diberi: suatu takaran yang baik, yang dipadatkan, yang digoncang dan yang tumpah ke luar akan dicurahkan ke dalam ribaanmu. Sebab ukuran yang kamu pakai untuk mengukur, akan diukurkan kepadamu (Lukas 6:38).

Orang yang membuat tuduhan itu menganggap bahawa itulah Injil Kemakmuran apabila hamba Tuhan memberitahu jemaat bahawa mereka yang menghulurkan pemberian akan juga diberi oleh Tuhan.

Tapi bukankah itu yang diajarkan oleh Firman Tuhan, iaitu bahawa jika kita memberi, kita juga akan diberi? 

Tambah lagi yang mengatakan itu dalam Lukas 6:38 adalah Yesus sendiri. Adakah kita juga akan menuduh Yesus sebagai pengajar sesat dan pengajar Injil Kemakmuran? Tentu tidak, bukan?

Kalau begitu, tidaklah cocok untuk menuduh sesiapapun hamba Tuhan sebagai pengajar Injil Kemakmuran apabila mereka mengajar apa yang tertulis dalam Alkitab itu sendiri.

Memang di dunia ada orang yang menyalahgunakan Firman Tuhan untuk kepentingan sendiri, tetapi itu tidak bererti hamba-hamba Tuhan yang mengajar mengenai pemberian dan pemberian persepuluhan adalah guru-guru Injil Kemakmuran.

Sebenarnya Tuhan tidak menentang umatnya makmur, yang ditentang oleh Tuhan adalah sifat tamak manusia. 

Dalam Yosua 1:8, Tuhan memberitahu umat-Nya:

Janganlah engkau lupa memperkatakan kitab Taurat ini, tetapi renungkanlah itu siang dan malam, supaya engkau bertindak hati-hati sesuai dengan segala yang tertulis di dalamnya, sebab dengan demikian perjalananmu akan berhasil dan engkau akan beruntung.

Kalau saya mengajar mengenai Yosua 1:8, adakah saya juga sudah menjadi pengajar Injil Kemakmuran? Kerana saya mengatakan bahawa Tuhan menginginkan kita berhasil dan beruntung berdasarkan ayat itu? Apakah salahnya berhasil (successful) dan beruntung (prosperous)? Sekali lagi, Tuhan tidak menentang umat-Nya makmur, tetapi menentang ketamakan pada umat-Nya.

Lebih baik kita ingat dan mengajar Firman Tuhan dengan betul daripada menuduh orang ini dan orang itu sebagai pengajar sesat dan pengajar Injil Kemakmuran.

Sebenarnya tiada Injil Kemakmuran, yang ada hanyalah Injil Kasih Kurnia, tetapi amatlah mudah untuk melabelkan hamba-hamba Tuhan yang tidak sealiran dengan kita dengan label itu apabila mereka hanya setia mengajar apa yang sudahpun diajar dalam Alkitab.