Isnin, 11 September 2023

Sabah Mengalu-Alukan Kehadiran Kapal Doulos Hope

Christina (dua kiri) ketika mewakili Ketua Menteri merasmikan pesta berkenaan.

KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan Pesta Buku Terapung Doulos Hope yang kini berlabuh di Jeti Selatan Pelabuhan Kota Kinabalu selama dua minggu bermula, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri sangat berbesar hati kerana kapal Doulos Hope memilih Kota Kinabalu sebagai destinasi terakhir.

Katanya, mungkin ramai yang masih ingat, kapal Logos Hope juga pernah berlabuh ke negeri ini pada November 2011 lalu.

“Pesta buku terapung ini pastinya memberikan kegembiraan kepada penduduk di sini dan acara ini memang sangat dialu-alukan.

“Kami sangat berterima kasih kepada penganjur Pesta Buku Terapung Doulos Hope ini kerana sekali lagi memilih Kota Kinabalu sebagai destinasi pilihan,” katanya.

Kapal Doulos Hope

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis berkenaan. Hajiji diwakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Hajiji berharap pelawat yang menaiki kapal Doulos Hope akan menemukan buku pilihan yang dianggarkan lebih 2,000 tajuk termasuk sains, perubatan, seni, bahasa, kepercayaan, hobi, memasak, sukan dan banyak lagi.

“Saya juga menjemput semua krew Doulos Hope yang terdiri pelbagai warganegara untuk menerokai Sabah selama dua minggu mereka di sini,” katanya.

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "Sabah Mngalu-Alukan Kehadiran Doulos Hope" yang ditulis oleh Hamzah Sanudin bertarikh 9 September 2023)