Marni Pengeran, 38, mendakwa dia tidak pernah memohon untuk
memeluk Islam dan hanya menyedari status agamanya dalam pangkalan data pihak
berkuasa agama menunjukkan dia beragama Islam sejak 2009.
“Saya tak pernah menandatangani apa-apa borang atau memberi
persetujuan, malah saya juga tidak pernah melafazkan syahadah.
“Saya hanya menyedari hal ini apabila suami saya menyemak
senarai pemeluk Islam di daerah kami yang disediakan oleh seorang pegawai agama
tempatan.
“Tahun saya dikatakan masuk Islam, saya bekerja di Nabawan.
Mereka gunakan gambar saya memakai tudung. Saya langsung tiada sebarang
interaksi dengan pihak berkuasa agama,” katanya seperti dipetik Daily Express.
Isu ini dilaporkan mula timbul pada awal tahun ini apabila
nama Marni tersenarai dalam program untuk mualaf di Nabawan.
Walaupun dokumen pengenalannya menyatakan dia beragama
Kristian, rekod Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah menunjukkan sebaliknya.
Ibu kepada empat anak berusia antara enam hingga 13 tahun
itu berkata situasi ini sangat memberi tekanan kepada keluarganya.
“Anak-anak saya beragama Kristian. Rekod palsu ini mengancam
perpaduan dan masa depan keluarga saya,” katanya.
‘Cap jari orang lain’
Peguam Marni, Sazalye Donol Abdullah berkata proses
penukaran agama tersebut tidak sah dari segi undang-undang.
“Satu penukaran agama yang sah perlu melibatkan
pengisytiharan jelas dan sukarela, termasuk satu akuan bersumpah. Tiada satu
pun daripada perkara ini dibuat.
“Malah, cap jari dalam dokumen rasmi itu tidak sepadan
dengan cap jari Marni. Polis perlu menyiasat individu yang dinamakan dalam
dokumen berkenaan, termasuk seorang pegawai agama dan dua orang saksi.
“Kami mengesyaki ini mungkin sebahagian daripada sindiket
yang lebih besar yang memalsukan rekod penukaran agama di kawasan pedalaman,”
katanya.
Menurutnya, kes ini akan diteruskan sebagai siasatan jenayah
berkaitan pemalsuan dokumen serta sebagai isu sivil yang memerlukan tindakan
lanjut di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan status agama Marni.
“Buat masa ini, MyKad beliau masih tertera agama Kristian,
tetapi rekod dalaman jabatan agama menyatakan sebaliknya – dan ini boleh
menjejaskan kedudukan undang-undang beliau pada masa hadapan,” jelas Sazalye.
Keluarga Marni juga mendapati mendiang ibu saudaranya – yang dikebumikan mengikut upacara Kristian – turut disenaraikan sebagai beragama Islam dalam rekod kerajaan.
Abang ipar Marni, Raymond Ahuar berkata perkara ini
menimbulkan kebimbangan terhadap salah representasi selepas kematian dan
kecuaian pentadbiran.
Misteri tukar agama
Terdapat juga kaitan politik dalam dakwaan penukaran agama
ini.
Daily Express melaporkan Sangkar Rasam @ Sharudin direkodkan
sebagai saksi kedua dalam dokumen penukaran agama Marni.
Sangkar suami kepada Rufinah Pangeran, yang dilaporkan telah
menggantikan Raymond sebagai ketua Cabang PKR Pensiangan pada April lalu.
Sazalye merupakan bekas ketua Cabang PKR Kota Marudu dan
kini setiausaha PKR Sabah manakala Sangkar ahli Majlis Pimpinan Negeri parti
itu dan Raymond pula naib pengerusinya.
Bagaimanapun, Raymond menegaskan isu ini tidak harus
dipolitikkan.
“Kita mesti menegakkan keadilan, walaupun melibatkan ahli
keluarga atau tokoh politik. Ini isu hak asasi manusia dan kepercayaan agama,”
katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Didaftar Islam Tanpa Izin - Wanita Sabah Lapor Polis" bertarikh 20 Mei 2025)