Soliman Wan, 52, yang dilahirkan di Long Banga, Miri, terpaksa memegang status pemastautin sementara atau kad pengenalan hijau sejak berusia 12 tahun berpunca daripada status kerakyatan ibu bapanya yang tidak dapat ditentukan kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.
Ketika menerima MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Putrajaya, beliau mengakui seakan-akan tidak percaya selepas menghabiskan
ribuan ringgit dan hampir berputus asa mencari jalan penyelesaian mengenai
status kewarganegaraannya.
"Bila saya pergi ke JPN baru-baru ini, apabila saya
baca surat itu, lima kali saya baca macam orang tak tahu membaca kerana berasa
seolah-olah bermimpi.
"Sebelum ini, saya pernah terfikir akan meninggal dunia
sebagai orang tanpa kewarganegaraan kerana sudah hilang harapan," katanya
semalam.
![]() |
| Soliman Wan dan isteri |
Menyifatkan kelulusan permohonan itu sebagai satu keajaiban,
Soliman merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail atas keprihatinan meneliti permohonannya yang mula dikemukakan
kepada JPN sejak 1993 dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1998.
Mengimbas pelbagai kesukaran yang dilalui meskipun memiliki
sijil kelahiran, beliau berkata status tanpa kewarganegaraan mengekang
pergerakannya untuk keluar dari Sarawak, selain berdepan kesukaran membuka
akaun bank, halangan memperbaharui lesen memandu serta syarat tidak munasabah
untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Meskipun berdepan pelbagai kekangan sosial, beliau
menzahirkan rasa syukur kepada Jabatan Imigresen Sarawak yang memberikan surat
sokongan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang biokimia di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1994.
Soliman bertekad untuk membantu dan menjadi suara kepada
individu tanpa kewarganegaraan yang lain, khususnya dalam kalangan komuniti
pribumi Sarawak seperti Iban dan Kenyah bagi mendapatkan dokumen pengenalan
diri.
"Yang paling dekat adalah keluarga saya sendiri, tiga
orang adik-beradik saya masih lagi tanpa kewarganegaraan dan ibu saya yang
berusia 72 tahun baru saja menerima sijil lewat pendaftaran kelahiran tiga
bulan lalu," katanya.
(Diambil daripada artikel Bernama bertajuk "Lelaki Sarawak Terima MyKad Selepas Penantian 33 Tahun" yang ditulis oleh Mohd Adli Shahar bertarikh 4 Mac 2026)

